Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (Mdec) Bekerjasama Dengan I-Lead, Impact Malaysia Dan Talentcorp Untuk Menyediakan Peluang Pekerjaan Dan Peningkatan Kemahiran Digital Untuk Rakyat Malaysia

Cyberjaya, (24 OGOS 2020) – Sempena dengan kempen #SayaDigital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menganjurkan Minggu #MyDigitalWorkforce bersama-sama i-LEAD, Impact Malaysia dan TalentCorp. Acara ini selaras dengan keutamaan strategik MDEC untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital bagi menyumbang kepada ekonomi digital Malaysia.

Acara ini menandakan pelancaran rasmi Gerakan #MyDigitalWorkforce yang bertujuan menyepakati tindakan dan kerjasama antara sektor awam dan swasta, melatih semula tenaga kerja Malaysia untuk pekerjaan ekonomi digital dan memudahkan pemadanan pekerjaan. Inisiatif yang pertama ialah Digital Skills Training Directory yang bertujuan untuk memberi panduan kepada warga Malaysia berkenaan kursus atau pensijilan yang boleh mereka sertai bagi melengkapkan diri untuk kerjaya dalam bidang digital. Direktori ini boleh dilawati melalui pautan www.mdec.my/digitalskillstrainingdirectory.

Kursus dan pensijilan yang terpilih dalam direktori ini turut diiktiraf oleh PENJANA Perkeso. Inisiatif lain yang turut dilancarkan ialah #MyDigitalWorkforce Jobs Platform, sebuah platform agregator pekerjaan digital yang bertujuan memadankan peluang kerjaya digital dengan bakal pekerja yang berpotensi. Platform pekerjaan ini boleh diakses di https://mdec.my/digital-economy-initiatives/for-the-people/mydigitalworkforce-jobs/

Minggu #MyDigitalWorkforce berlangsung selama lima hari mulai 24 hingga 28 Ogos dengan pelbagai aktiviti menarik seperti ekspo pekerjaan digital di mana lebih daripada 5,000 peluang pekerjaan digital dari lebih 100 syarikat yang meliputi pelbagai industri seperti DHL, Motorola Solutions, AirAsia, Lenovo, TNG Digital, DIALOG dan banyak lagi.

Bagi mereka yang mahu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, pelbagai webinar oleh 62 pakar industri digital disediakan. Mereka akan berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam subjek seperti sains data, keselamatan siber, animasi, pembangunan permainan digital dan perisian serta banyak lagi. Ceramah-ceramah ini bertujuan memberikan peserta gambaran yang menyeluruh tentang permintaan pekerjaan, peluang kerjaya dan peluang meningkatkan kemahiran dalam industri digital.

Bagi peluang peningkatan kemahiran, lebih daripada 21 rakan kongsi termasuk Sunway iLabs, Fusionex Academy dan Intel Microelectronics menjalankan acara satelit tentang pelbagai topik seperti Tableau R Integration, Fintech, CompTIA Security + dan banyak lagi. Acara satelit ini telah berlangsung sejak 17 Ogos dan berakhir pada 4 September 2020.

“Pendigitalan pelbagai industri di Malaysia telah membuka peluang keemasan untuk rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat jurang antara kemahiran yang dimiliki dan kemahiran yang diperlukan untuk mengisi peluang ini. Adalah matlamat MDEC memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital untuk membantu mereka kekal relevan dan bersedia untuk memacu ekonomi digital Malaysia,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Awal tahun ini pada bulan Mei, MDEC dan rakan strategiknya, Coursera, telah melancarkan kempen ‘Let’s Learn Digital’, yang mencatat 17,000 pendaftaran. Sebagai sebahagian daripada Gerakan #MyDigitalWorkforce, kempen ini diadakan untuk memastikan rakyat Malaysia bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam pasaran pekerjaan yang menjadi lebih tertumpu kepada digital.

Webinar dan ekspo pekerjaan digital Minggu #MyDigitalWorkForce bermula dari 24 hingga 28 Ogos 2020. Acara satelit untuk peningkatan kemahiran pula, telah pun berlangsung dan akan berakhir pada 4 September 2020. Untuk maklumat lebih lanjut dan pendaftaran sebagai peserta, sila layari mydigitalworkforceweek.my/

© 2023 BlackButterfly DesignArts