DILEMA DIABETES

Kadar diabetes meningkat di Malaysia, tetapi mengapa? Pakar menjelaskan, perbezaan fisiologi antara populasi Barat dan Asia adalah ketara dengan memberi penekanan kepada keperluan mendesak untuk mengadakan data tempatan bagi membimbing pembangunan dasar kesihatan awam yang berkesan.

DILEMA DIABETES

“Kurangkan makanan berkarbohidrat dan kurangkan gula!”

Seorang daripada lima orang dewasa di Malaysia didiagnosis menghidap diabetes[1], maka nasihat ini dilakukan secara bebas tetapi adakah setakat itu sahaja?

Pakar berkata sebenarnya banyak lagi pesanan yang mahu disampaikan tetapi diabetes adalah satu keadaan kompleks dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi skalanya, termasuklah sejarah keluarga, fisiologi dan aktiviti fizikal, selain diet yang turut memainkan peranan.

Selepas bertahun-tahun peningkatan jumlah yang berterusan, seperti yang ditunjukkan dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, kadar diabetes di Malaysia telah mencapai tahap yang membimbangkan dan, jika dibiarkan, akan meningkat daripada 3.9 juta pada 2019 kepada 7 juta orang pada 2025.[2] Kira-kira 34.38% daripada penduduk negara mencapai paras gula darah tinggi (HbA1c) melebihi 6.5%, yang merupakan ambang untuk mendiagnosis diabetes.

Namun, itu bukan satu-satunya kebimbangan kita. Laporan Pendaftaran Diabetes Kebangsaan 2013-2019 mencatatkan peningkatan komplikasi berkaitan diabetes seperti pengudungan (amputation), buta (retinopati diabetik), mati pucuk dan penyakit buah pinggang[3], yang menyumbang kepada hasil kesihatan dan kualiti hidup yang buruk dalam kalangan pesakit diabetes di Malaysia.

DILEMA DIABETES

Beban dan kesan diabetes juga dirasai secara global. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kelaziman diabetes telah meningkat secara mendadak di negara-negara dalam semua peringkat pendapatan.[4] Lebih-lebih lagi, walaupun prevalens diabetes adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 75-79 tahun[5], namun diabetes jenis 2 (dahulunya dikenali sebagai permulaan diabetes dewasa dan mewakili lebih daripada 95% kes diabetes) lebih kerap berlaku pada kanak-kanak[6].

Apakah maksudnya kepada kita dan apa yang boleh kita lakukan mengenainya?

Pertama, adalah penting untuk memahami epidemiologi diabetes yang dinamik, dengan pasang surut global yang menunjukkan kisah kejayaan dan ruang untuk penambahbaikan, kata Profesor Edward Gregg, Ketua Fakulti Kesihatan Populasi di Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI).

Sebagai contoh, di antara tahun 1960 dan 1980, terdapat trend menaik yang jelas dalam penyakit diabetes dengan peningkatan risiko komplikasi. Sebagai tindak balas, peningkatan dalam kualiti penjagaan membantu mengurangkan kedua-dua kejadian diabetes dan komplikasi yang berkaitan dengannya pada tahun-tahun berikutnya. Data semasa mendedahkan pengurangan kematian kardiovaskular di kalangan orang dewasa yang lebih tua, di samping peningkatan obesiti yang membimbangkan di kalangan orang dewasa yang lebih muda, seiring komplikasi yang lebih pelbagai yang disebabkan oleh banyak faktor. Situasi kompleks ini bermakna lebih ramai orang hidup dengan satu atau lebih keadaan kronik dalam tempoh yang lebih lama. Ini memberikan cabaran ketara kepada pengamal penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa trend ini tercermin di negara barat seperti United Kingdom, manakala data dari bahagian lain dunia tidak tersedia.

Menjelaskan lebih lanjut, Profesor Datuk Dr Lokman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan di IMU berkata, walaupun trend penjagaan kesihatan global memberikan petunjuk yang baik, namun kebanyakan penyelidikan sedia ada mengenai diabetes adalah berdasarkan populasi Barat. Oleh sebab itu, hasil kajian ini secara langsung tidak ditafsirkan sebagai diet, genetik, budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, memandangkan kurangnya kajian jangka panjang dan membujur di Malaysia dan banyak negara Asia lain, maka kebanyakan garis panduan yang ditetapkan untuk pencegahan dan pengurusan diabetes juga berdasarkan demografi Barat.

Memandangkan diet Asia mengandungi lebih banyak makanan kaya karbohidrat dalam bentuk nasi, mi dan roti, penyelidik melihat perbezaan utama antara diet dan fisiologi Barat dan Asia. Hasil kajian mereka mendapati makanan, terutamanya gula dan karbohidrat ringkas, mempengaruhi tahap glukosa darah secara berbeza di antara orang keturunan Kaukasia dan Asia. Tindak balas glisemik pula lebih tinggi di kalangan orang Asia berbanding orang Kaukasia selepas mengambil jumlah karbohidrat yang sama.

Walaupun paras glukosa darah meningkat selepas makan adalah normal, insulin membantu mengawal paras glukosa darah. Walau bagaimanapun, mereka yang menghidap diabetes mengalami tahap glukosa darah yang sangat tinggi kerana insulin yang tidak mencukupi atau berkurangan.

Memandangkan Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia, adalah penting untuk melihat dengan lebih mendalam lagi rangkaian genetik, budaya, gaya hidup dan pemakanan yang saling berkaitan yang mempengaruhi perkembangan diabetes di Malaysia.

Kohort Diabetes Seremban (SeDia) ialah kajian membujur pertama Malaysia mengenai diabetes yang bertujuan memberikan pandangan penting dan menghasilkan data yang lebih relevan kepada penduduk tempatan, jelas Prof Lokman, yang juga Penyiasat Utama Kohort SeDia. Lama-kelamaan, data yang dikumpul daripada beribu-ribu pesakit diabetes yang sudah didiagnosis serta ahli keluarga mereka akan mendedahkan cerapan yang lebih besar dan membantu memperbaiki garis panduan untuk merawat dan mengurus diabetes, sambil membentuk dasar kesihatan awam yang lebih tersasar.

Dalam pada itu, wajar untuk rakyat Malaysia membuat beberapa perubahan dalam tabiat pemakanan mereka bagi mengurus kesan budaya makanan berkarbohidrat dengan lebih baik.

Terdapat bukti yang baik bahawa perubahan kecil pada urutan dan masa pengambilan karbohidrat boleh membantu menguruskan tindak balas glisemik seterusnya, kata Profesor Dr Christiani Jeyakumar Henry, Penasihat Kanan Majlis Penyelidikan Bioperubatan (BMRC) di A*STAR. Beliau menawarkan nasihat berikut:

  • Bersarapanlah seperti seorang raja, makan tengah hari seperti putera raja dan makan malam seperti orang miskin. Secara ringkasnya, makan sarapan pagi yang lazat dan makan malam yang rendah karbohidrat lebih awal untuk menguruskan paras gula darah dengan lebih baik sepanjang hari.[7] [8]
  • Makan makanan berkarbohidrat kemudian. Makan sedikit sayur-sayuran dan protein sebelum karbohidrat boleh membantu mengawal tindak balas glisemik badan. Begitu juga asid amino yang terdapat dalam pati ayam. Boleh dimakan 30 minit sebelum hidangan kaya karbohidrat dan mempunyai kesan yang sama.
  • Ambillah masa anda semasa makan. Suapan kecil memberi impak besar kepada paras gula dalam darah. Daripada memenuhkan sudu anda, cuba gunakan penyepit makanan.

Akhir sekali, menyokong pendekatan yang lebih sihat terhadap makanan memberikan anjakan paradigma untuk menghargai makanan dengan nilai terapeutik dan pencegahan, dalam menangani tabiat makan berlebihan yang menjadi kebiasaan dalam banyak budaya. Ia sangat relevan untuk penjagaan dan pengurusan diabetes.

© 2024 BlackButterfly DesignArts