Rai kejayaan berganda dengan merangkul enam anugerah berprestij
Kuala Lumpur, 11 September 2024 – Zurich Malaysia telah meraih pengiktirafan melalui enam anugerah berprestij di ‘Insurance Asia News Awards’ dan ‘Asia Insurance Awards’, sekaligus membuktikan komitmen syarikat terhadap inovasi digital serta inisiatif yang mengutamakan pelanggan. Penghargaan ini menyerlahkan kepimpinan Zurich Malaysia dalam sektor insurans dan takaful.
Meraikan kecemerlangan di Insurance Asia News Awards
Zurich Malaysia dinobatkan sebagai ‘Best Life Insurer’, bukti dedikasinya dalam menyediakan penyelesaian insurans hayat dan takaful keluarga yang terbaik. Fokus syarikat terhadap kemampanan, penglibatan komuniti, dan penawaran produk yang inovatif telah menjadikannya berbeza.
Di bawah kepimpinan Junior Cho, Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, syarikat itu telah mengutamakan keperluan pelanggan dan transformasi digital. Junior melahirkan penghargaannya terhadap anugerah ‘Outstanding CEO’ yang diterima, dengan berkata, “Anugerah ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap usaha kami yang terdahulu tetapi juga motivasi untuk kami terus melangkau sempadan. Selain itu, anugerah ini juga adalah untuk 1,500 kakitangan Zurich di seluruh Malaysia, yang mendedikasikan usaha serta kerja keras mereka dalam meletakkan pelanggan sebagai keutamaan. Kami akan terus komited untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang memenuhi kepelbagaian keperluan rakyat Malaysia, memastikan mereka dilindungi dan diperkasa dalam semua aspek kehidupan.”
Dedikasi Zurich Malaysia terhadap perkhidmatan pelanggan terus diiktiraf dengan anugerah ‘Outstanding Claims Management’. Penekanan syarikat terhadap pemprosesan tuntutan yang pantas, adil, dan lancar telah meningkatkan pengalaman pelanggan serta memupuk hubungan pelanggan yang kukuh.
Membuktikan nilai yang mengutamakan pelanggan di Asia Insurance Awards
Komitmen Zurich Malaysia terhadap inovasi digital merupakan pemacu utama kejayaannya. Pengenalan sistem Pemprosesan Langsung (STP) telah mengubah cara pelanggan menguruskan pelan berkaitan pelaburan mereka, membolehkan pelarasan masa nyata dan lebih ketelusan. Inisiatif ini menggondol anugerah ‘Customer Service Initiative of the Year’, mengiktiraf pendekatan Zurich Malaysia untuk menjadikan perlindungan lebih mudah diakses dan mesra pengguna.
Tambahan lagi, usaha syarikat dalam menambah baik proses tuntutan insurans perjalanan turut menerima anugerah ‘Travel Insurance Initaitive of the Year’. Dengan memanfaatkan teknologi untuk mengurangkan masa pemprosesan tuntutan, Zurich Malaysia memastikan pengalaman yang lancar dan efisien untuk pelanggan.
Manakala, kempen jenama Zurich Malaysia, “Care For What Matters,” yang meraih anugerah ‘Marketing Initiative of the Year’, menekankan dedikasi syarikat dalam membantu rakyat Malaysia mengharungi masa yang mencabar. Kempen berkenaan bukan sahaja selari dengan aspirasi komuniti untuk mencapai masa hadapan yang lebih cerah dan terjamin, malah mencerminkan pemahaman mendalam Zurich Malaysia terhadap tekanan yang dihadapi oleh individu dan keluarga, seperti peningkatan kos sara hidup serta tekanan emosi.
Junior Cho, Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia berkata, “Melangkah ke hadapan, kami akan terus membina kejayaan ini dengan memberi tumpuan terhadap inovasi digital, pengalaman pelanggan, dan penglibatan komuniti, dengan memastikan keutamaan ini sentiasa di barisan hadapan dalam landskap insurans serta takaful di Malaysia. Misi kami adalah untuk menyokong rakyat Malaysia dalam apa jua keadaan, membantu mereka melindungi segala perkara yang bermakna.”