Kuala Lumpur, 2 Oktober 2024 – Zurich Malaysia baru-baru ini telah mengakhiri sambutan ‘Bulan Iklim’ tahunan kali keempat dengan mengukuhkan komitmennya terhadap kemampanan demi memelihara bumi. Diadakan pada setiap September sejak tahun 2021, ‘Bulan Iklim’ yang disambut oleh kumpulan Zurich di seluruh dunia mencerminkan misi berterusan jenama itu untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan perubahan iklim, serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi membina masa depan yang lebih cerah dan lebih hijau untuk semua.
Ketika mengulas mengenai titik sentuh kemampanan Zurich Malaysia, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Jenama Zurich Malaysia, Erin Hwang berkata, “Semasa kami mengakhiri sambutan ‘Bulan Iklim’ tahun ini, kami merenung kembali kemajuan yang telah kami capai dalam usaha menuju ke arah masa depan yang lebih mampan. Daripada memperkasakan komuniti menerusi inisiatif pembinaan rumah yang mampan hinggalah kepada projek pemuliharaan alam sekitar, kami sentiasa fokus dalam mengambil tindakan yang bermakna, berimpak besar, dan berkekalan. Melalui usaha yang konsisten, kita boleh dan akan menyaksikan perubahan positif dari segi kualiti kehidupan komuniti kita dan kesejahteraan bumi kita, dalam misi kami untuk melindungi segala perkara yang bermakna buat rakyat Malaysia.”
Ke arah mencapai matlamat sifar bersih menjelang 2050 menerusi Pelan Peralihan Iklim Zurich
Kesan perubahan iklim dijangka menjadi semakin kerap dan lebih buruk dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Sebagai penyedia insurans global, menangani punca perubahan iklim dan membina daya tahan terhadap kesannya menjadi tonggak utama misi Zurich dalam membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Oleh itu, Kumpulan Insurans Zurich telah melancarkan Pelan Peralihan Iklim, mengukuhkan lagi komitmen jenama itu ke arah mencapai matlamat pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang merangkumi semua pelan perlindungan, pelaburan, dan operasinya.
Pelan itu menggariskan bagaimana Zurich akan menyokong peralihan seluruh ekonomi kepada masa depan sifar bersih, meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap risiko iklim, menyokong dasar peralihan ekonomi, dan dengan mengembangkan operasi Zurich menerusi usaha penyahkarbonan serta pelaburan insan dan budaya.
Membina daya tahan komuniti dengan EPIC Homes
Sejak memulakan kerjasama dengan EPIC Homes pada tahun 2019, Zurich terus melangkah ke hadapan dalam membina kediaman mampan untuk komuniti kurang berkemampuan. Sambutan ‘Bulan Iklim’ tahun ini menampilkan dua binaan rumah untuk komuniti tempatan di Kampung Orang Asli Bukit Manchung, Bukit Beruntung.
Lebih 50 kakitangan Zurich Malaysia turut menyumbangkan tenaga dalam projek ini, membanting tulang bagi membina rumah yang lebih selesa dan selamat untuk mereka yang memerlukan. Usaha ini mempamerkan komitmen Zurich Malaysia ke arah mewujudkan impak positif dan memupuk semangat kemasyarakatan yang tinggi. Sehingga September 2024, Zurich Malaysia telah berjaya menyiapkan enam buah rumah, menunjukkan komitmen Zurich bukan sahaja terhadap produk dan perkhidmatannya, tetapi juga kepada kesejahteraan komuniti, di samping menekankan tentang kepentingan kerjasama dalam melindungi segala perkara yang bermakna. Pembinaan sebuah lagi rumah dijadualkan pada bulan Oktober 2024.
Memelihara dan melindungi pesisir pantai negara
Sebagai sebahagian daripada sambutan ‘Bulan Iklim’, Zurich Malaysia turut menganjurkan program gotong-royong pembersihan pantai di Pantai Cunang, di mana para sukarelawan memeras keringat bagi memulihara kecantikan alam semula jadi pesisir pantai Malaysia. Dengan menumpukan kepada usaha mengutip dan mengitar semula sisa buangan, inisiatif ini bukan sahaja berjaya membersihkan kawasan tersebut, malah ia turut mengembalikan keindahan alam semula jadi pantai itu. Aktiviti ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Zurich Malaysia terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar, tetapi turut menekankan tentang kepentingan penglibatan komuniti dalam amalan mampan.
Mengubah dunia menerusi aktiviti penanaman pokok
Dalam memupuk keprihatinan yang lebih mendalam terhadap kemampanan di kalangan generasi muda, Zurich Malaysia turut memperluaskan inisiatif alam sekitarnya menerusi kerjasama dengan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TARUMT). Selaras dengan misi memperjuangkan alam sekitar mereka, kakitangan Zurich Malaysia dan sukarelawan mahasiswa bersama-sama berkumpul untuk acara menanam pokok, menekankan tentang kepentingan mengambil langkah proaktif dalam menuju ke arah masa depan yang lebih hijau.
Menerusi inisiatif universiti itu, Zurich Malaysia mengukuhkan lagi komitmennya dalam usaha mengetengahkan dan menangani risiko iklim, dengan mendedahkan pemimpin muda kepada kepentingan mengambil tindakan terhadap isu perubahan iklim. Sebagai lanjutan daripada kerjasama ini dalam aspek sosial, Zurich Malaysia turut merangka kerjasama strategik mengenai peluang penempatan kerjaya untuk mahasiswa TARUMT, menyediakan laluan profesional untuk mereka dalam sektor insurans dan takaful.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendekatan holistik Zurich Malaysia ke arah membina masa depan yang lebih cemerlang, sila layari www.zurich.com.my/CareForWhatMatters.