YTL Foundation dan PEMIMPIN GSL Lancarkan Anugerah “Malaysia Teacher Prize”

Kuala Lumpur, 10 Mei 2022 – PEMIMPIN GSL dengan kerjasama YTL Foundation pada hari ini telah melancarkan Malaysia Teacher Prize, anugerah edisi Malaysia bagi Global Teacher Prize dari Varkey Foundation. Dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, anugerah yang dilancarkan buat julung kalinya ini meraikan guru-guru dan usaha luar biasa mereka yang sering tidak dilihat dan diiktiraf dalam mendidik minda-minda muda negara.

Anugerah itu bertujuan untuk memartabatkan status para guru dan meraikan pencapaian guru cemerlang di Malaysia. Ini merupakan anugerah pertama seumpamanya di Malaysia yang akan mempamerkan guru di peringkat kebangsaan bersama-sama dengan pelan perkembangan profesional jangka panjang dan hadiah wang tunai lumayan untuk guru-guru yang terpilih.

Dengan sasaran penyertaan sebanyak 10,000 guru di seluruh Malaysia, pemenang hadiah utama akan menerima RM50,000 manakala 4 lagi peserta akhir akan menerima RM5,000 setiap seorang. Selain itu, 10 peserta akhir terbaik juga akan menerima perkembangan profesional untuk membantu guru-guru tersebut memahami impak mereka dengan lebih baik dengan potensi untuk membawa hasil kerja keras mereka ke dunia di luar pagar sekolah.

Memperkasa dan Meraikan Guru-Guru Malaysia

Malaysia Teacher Prize dinspirasikan objektif untuk meningkatkan status guru dan menarik bakat berpotensi ke dalam bidang perguruan Malaysia.

Cheryl Ann Fernando, Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN GSL berkata, “Anugerah ini akan menjadi platform permulaan untuk guru-guru berkongsi kisah mereka, terutamanya kegigihan mereka semasa zaman pandemik dalam menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah dan berusaha dengan terbaik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang cemerlang untuk murid mereka. Dalam jangka masa panjang, kami berharap anugerah ini menjadi motivasi kepada guru untuk terus gigih berusaha di dalam bilik darjah untuk mendidik anak murid dengan lebih cemerlang. Kami berharap ini juga akan menggalakkan golongan muda untuk melihat perguruan sebagai bidang pekerjaan pilihan dan memilih untuk menjadi guru bagi mengukuhkan lagi sistem pendidikan kita.”

Anugerah ini pada asasnya bertujuan untuk mengiktiraf kerja seharian yang dilakukan oleh guru dalam mendidik generasi masa depan. “Kami tahu bahawa seorang guru boleh membawa perubahan dan kami perlu menunjukkan hasil kerja mereka kepada dunia. Anugerah ini meraikan para guru dan meningkatkan prestij pekerjaan mereka,” kata Samuel Isaiah, Pengarah Program PEMIMPIN GSL.

Dunia perguruan tidak asing bagi Samuel. Sebagai guru pertama di Malaysia yang telah disenarai pendek sebagai 10 Guru Terbaik bagi Anugerah Global Teacher Prize, beliau menekankan bahawa anugerah itu akan menampilkan pencapaian unik guru-guru di seluruh negara dan memperkasakan usaha murni mereka untuk membimbing generasi akan datang.

“Guru-guru perlu tahu bahawa mereka amat dihargai dan disanjungi masyarakat. Kita perlu menggalakkan dan mempamerkan usaha keras yang telah mereka laksanakan dan memberikan mereka motivasi untuk meneruskan kerja mereka bagi memberikan impak positif kepada murid mereka dan juga kepada masyarakat,” tambah Samuel.

Komitmen YTL Foundation Ke Arah Membina Masyarakat yang Lebih Baik Melalui Pendidikan yang Lebih Baik.

Bagi YTL Foundation, yang akan meraikan Ulang Tahunnya yang ke-25 tahun ini, anugerah Malaysia Teacher Prize akan mewakili antara pencapaiannya dalam komitmen berterusan yayasan itu terhadap pendidikan untuk memperkasa individu dan masyarakat akan menjadi pemangkin perubahan.

“YTL Foundation percaya bahawa kepimpinan yang kuat dan berkesan di sekolah adalah asas dalam transformasi di sekolah dan bilik darjah. Malaysia Teacher Prize adalah peluang yang baik untuk mengiktiraf guru-guru yang menunjukkan kepimpinan yang hebat. Memandangkan tahun ini merupakan Ulang Tahun ke-25 kami sebagai yayasan yang berusaha untuk meningkatkan tahap pendidikan di negara ini, kami berbesar hati untuk menaja anugerah ini sebagai salah satu acara penting kami,” kata Dato’ Kathleen Chew, Pengarah Program Yayasan YTL.

YTL Foundation merupakan pencetus idea program pembangunan kepimpinan sekolah yang membawa kepada penubuhan PEMIMPIN GSL. “YTL telah menyokong PEMIMPIN GSL dalam program kepimpinan sekolah sejak penubuhannya dan kami percaya Malaysia Teacher Prize merupakan satu lagi program cemerlang bagi mereka,” tambah Dato’ Kathleen.

Disokong Kementerian Pendidikan Malaysia

Malaysia Teacher Prize dilancarkan berdasarkan kejayaan Global Teacher Prize yang telah memperkasakan usaha guru-guru dan meningkatkan status mereka di peringkat global, dan meraikan pencapaian guru-guru tempatan.

Berucap pada majlis pelancaran itu, Yang Berhormat Dato’ Dr Mah Hang Soon, Timbalan Menteri Pendidikan I berkata, “Guru merupakan nadi dan jiwa sistem pendidikan Malaysia, mereka mencerminkan kualiti sistem pendidikan kita. Pandemik COVID-19 telah mengetengahkan guru-guru sebagai barisan hadapan dan penyumbang utama kepada masyarakat kita.”

“Saya memuji YTL Foundation dan PEMIMPIN GSL atas usaha mereka dalam menganjurkan anugerah Malaysia Teacher Prize untuk memartabatkan dan meraikan lagi profesion yang disandarkan harapan untuk membangunkan potensi penuh murid-murid mereka. Saya berharap guru-guru di seluruh Malaysia akan mengambil peluang ini untuk membuat permohonan untuk anugerah ini dan mempamerkan semua kerja hebat yang telah mereka jalankan di dalam dan di luar bilik darjah mereka.”

Proses Permohonan Bagi Malaysia Teacher Prize

Permohonan untuk Malaysia Teacher Prize akan dibuka secara rasmi kepada guru yang sedang bekerja di Malaysia di https://www.malaysiateacherprize.org pada 10 Mei 2022 sehingga 30 Jun 2022

Guru-guru yang berminat untuk membuat permohonan bagi anugerah ini boleh membuat akaun dan memulakan permohonan melalui portal khas untuk anugerah ini. Setiap calon hanya dibenarkan mengemukakan satu permohonan dan dikehendaki untuk:

  • Melengkapkan 5 esei sepanjang 300-500 patah perkataan setiap satu.
  • Muat naik bahan sokongan dalam bentuk dokumen, grafik atau video untuk melengkapkan permohonan mereka.

Bagi mereka yang berminat untuk mencalonkan guru yang telah memberi inspirasi kepada mereka, mereka boleh berbuat demikian dengan menghantar pencalonan mereka dan memberikan maklumat asas mengenai penama mereka. Penama masing-masing akan menerima e-mel yang menjemput mereka untuk membuat permohonan. Setiap individu dibenarkan mencalonkan seberapa ramai calon yang dikehendaki.

Pengumuman 10 guru terbaik yang disenarai pendek dijangka dikeluarkan pada Ogos 2022. Selepas itu, 5 guru terbaik dan pemenang hadiah utama akan diumumkan dalam majlis anugerah pada Oktober 2022. Untuk maklumat lanjut tentang Malaysia Teacher Prize, sila layari https://www.malaysiateacherprize.org.

© 2023 BlackButterfly DesignArts