Yoodo Meneruskan Sokongan Untuk Liga Premier Futsal Malaysia

4 Mei 2021, KUALA LUMPUR – Yoodo, perkhidmatan mudah alih digital sepenuhnya dan boleh ubahsuai yang pertama di Malaysia, sekali lagi meneruskan sokongan untuk komuniti futsal Malaysia dengan pengumuman Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Musim 3, di mana Yoodo merupakan Telco Digital Rasmi bagi tahun ketiga berturut-turut sejak 2019.

“Yoodo amat berbangga untuk meneruskan komitmen dan sokongan kami kepada MPFL serta komuniti futsal tempatan,” kata Chow Tuck Mun, Ketua Yoodo. “Meskipun kami juga merupakan Telco Digital Rasmi untuk MPFL tahun lepas, liga terpaksa ditunda akibat pandemik COVID-19. Kami gembira diberi peluang untuk menyokong MPFL sekali lagi, dan juga tidak sabar untuk menyaksikan aksi-aksi hebat apabila liga bermula.”

MPFL 2021 bermula pada 12 Jun 2021 untuk kategori lelaki, manakala kategori wanita, akan bermula pada 12 Ogos 2021. Liga tersebut disertai 32 pasukan dari seluruh negara.  Pasukan yang berjaya ke perlawanan akhir akan bertanding pada 22 Ogos bagi kategori wanita dan pada 28 Ogos bagi kategori lelaki.

“Kami tahu ramai daripada komuniti futsal tempatan kecewa atas penundaan liga pada tahun lepas – ini adalah bukti bahawa peminat futsal di Malaysia amatlah bersemangat,” tambah Tuck Mun. “Sebagai jenama yang amat komited kepada pertumbuhan dan perkembangan bakat-bakat tempatan, dan dalam konteks ini arena futsal tempatan, Yoodo amat berbangga untuk bersama MPFL 2021.”

“Kami amat gembira untuk meneruskan kerjasama dengan Yoodo sekali lagi untuk membawakan aksi-aksi hangat kepada peminat futsal di seluruh negara. Kami amat berbesar hati atas sokongan dan komitmen dari rakan Telco Digital kami, Yoodo yang melambangkan kredibiliti MPFL dalam memberi nilai tambahan kepada produk dan jenama Yoodo,” kata Datuk Seri Haji Rosmadi bin Ismail, Pengerusi Jawatan Kuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, FAM. “Setelah lama menyepi sejak 2020, jaguh-jaguh futsal kami tidak sabar untuk kembali beraksi, dan kami jangkakan musim yang akan datang adalah sangat menarik!”

“Yoodo amat yakin dengan bakat tempatan dan kami sentiasa gigih mencari peluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan bakat-bakat ini, bukan sahaja dalam arena sukan malah, dalam bidang eSukan, muzik, hiburan dan banyak lagi. Kami berharap agar dapat terus memperluaskan lagi komitmen kami ke segmen-segmen lain sepanjang tahun 2021,” tambah Tuck Mun.

Untuk maklumat lanjut tentang Yoodo, ikuti Yoodo di www.facebook.com/yoodoMY atau layari www.yoodo.com.my.

© 2023 BlackButterfly DesignArts