Yayasan Alpro Bekerjasama dengan Pelukis Autisme Terkemuka Untuk Membantu Komuniti Autisme di Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 SEPTEMBER 2021 – Yayasan Alpro, badan amal rantai farmasi preskripsi terbesar di Malaysia, Alpro telah bekerjasama dengan pelukis terkenal, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri atau lebih dikenali sebagai ARTJAMILA bagi mengumpulkan dana untuk komuniti Autisme di negara ini.

Inisiatif tersebut menyaksikan Yayasan Alpro melancarkan koleksi tisu basah edisi terhad Alpro X ARTJAMILA yang memaparkan tiga ilustrasi unik yang dilukis oleh Wan Jamila sendiri. Untuk setiap pembelian tisu basah tersebut, Alpro telah menyumbang sebanyak RM0.60 kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).
Sehingga kini, Alpro telah berjaya menjual lebih dari 21,000 paket tisu basah tersebut dan berjaya mengumpulkan sekitar RM13,000 untuk menyokong kanak-kanak yang menghidap autisme.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Alpro, Ostwin Paw Yen Thng menyatakan bahawa organisasi tersebut amat bersuka hati untuk bekerjasama dengan Wan Jamila yang juga merupakan seorang penghidap autisme.

“Kejayaan Wan Jamila di dalam bidang seni lukis adalah bukti bahawa kanak-kanak dengan autisme juga mampu mencapai kejayaan di dalam hidup mereka jika diberi peluang dan kebebasan untuk mengekspresikan diri masing-masing,” kata beliau.

“Kami berasa gembira kerana projek yang dianjurkan khas untuk komuniti Autisme ini diterima baik oleh orang ramai. Selaku organisasi yang mengutamakan pemberdayaan komuniti dan kebajikan masyarakat, kami akan terus menyalurkan pelbagai usaha demi membawa perubahan, khususnya untuk golongan kanak-kanak,” tambahnya.

Dikenali secara profesional dengan nama ARTJAMILA, Wan Jamila yang berumur 19 tahun, pertama kali menceburi industri seni lukis pada tahun 2017 dan semenjak itu pelukis istimewa ini telah memenangi pelbagai anugerah, pengiktirafan dan pujian di peringkat antarabangsa untuk pelbagai karya seni dan lukisannya.

Yayasan Alpro Bekerjasama dengan Pelukis Autisme Terkemuka Untuk Membantu Komuniti Autisme di Malaysia
Three unique designs by ARTJAMILA on the Alpro wet tissues

“Saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini bersama Yayasan Alpro. Saya pasti sumbangan yang disalurkan kepada pihak NASOM ini akan membantu mengembangkan lagi potensi kanak-kanak Autisme di tanah air,” kata Jamila.

“Nasihat dan harapan saya adalah untuk semua orang memahami bahawa autisme bukanlah suatu kecacatan, malah ia hanya sejenis kemampuan yang berbeza,” tambahnya.

Julian Wong, Pengerusi NASOM memuji usahasama Yayasan Alpro dan ARTJAMILA dalam membantu menyebarkan kesedaran tentang autisme di kalangan rakyat Malaysia.

“Autism Spectrum Disorder (ASD) sering disalahfaham sebagai sejenis penyakit, padahal sebenarnya ia tidak benar. Mereka yang menghidap autisme adalah sama seperti kita, kecuali mereka dikurniakan denagn kemampuan untuk melihat dan mengekspresikan diri dengan cara berbeza,” kata Wong.

“Kisah kejayaan individu seperti Wan Jamila dan penglibatan pertubuhan seperti Yayasan Alpro mampu memberikan kesedaran yang amat penting mengenai pemerkasaan komuniti istimewa ini”,
katanya lagi.

Selain inisiatif tersebut, Yayasan Alpro juga sedang giat berusaha untuk memberikan sokongan kerja amal yang lain termasuk pembiayaan pendidikan untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik menerusi kempen ‘Growing Stars Project’.

“Ramai kanak-kanak yang kurang berkemampuan tidak mampu menyambung pembelajaran kerana tidak memiliki alat teknologi mahupun sambungan internet yang stabil di kawasan mereka untuk mengambil bahagian dalam Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dikendali secara atas talian di masa
PKP,” kata Ostwin.

“Untuk menjamin pendidikan pelajar yang terjejas oleh pandemik, projek terbaru kami bertujuan untuk mengumpulkan dana sebanyak RM1.3 juta untuk menyokong sekurang-kurangnya 1000 isi rumah dengan pakej data ‘tablet’ dan internet,” tambahnya.
Untuk menyokong inisiatif Yayasan Alpro dan mengikuti semua informasi terkini mengenai kempen dan usaha amal yang dianjurkan, sila layari www.Alpro-foundation.com atau hubungi 019-388-1923.

Scroll to Top