Yayasan AIDS Malaysia menggembleng sokongan sektor korporat untuk kelestarian anggota komuniti terjejas dengan HIV/AIDS

Kuala Terengganu, 22 Mei 2022 – Yayasan AIDS Malaysia (MAF) menyokong penuh Komuniti Cakna Terengganu (CAKNA) – NGO berasaskan HIV/AIDS yang terbesar di Terengganu dalam usaha mereka untuk meningkatkan kualiti kehidupan komuniti Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV) di negeri ini.

Program Baitul Cakna di Kuala Berang beroperasi sebagai rumah perlindungan peralihan untuk anggota komuniti bekas pengguna dadah dan mereka yang hidup dengan HIV. Baitul Cakna menjalankan program integrasi sosial melalui pembangunan kemahiran vokasional yang turut sama menawarkan peluang pekerja untuk klien-klien yang telah pulih.

Profesor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman, Pengerusi MAF, berkata;

“Kajian telah menunjukkan bahawa kemiskinan juga merupakan salah satu faktor utama yang memacu penularan epidemik HIV/AIDS. Ia bukan sahaja meningkatkan risiko jangkitan  HIV,  tetapi juga akses kepada ujian, rawatan dan pencegahan.”

“MAF amat menghargai sokongan yang telah dihulurkan oleh rakan-rakan kerjasama korporat seperti  Mydin, Karex dan Zus Coffee untuk membina kelestarian komuniti PLHIV di bawah jagaan CAKNA. Sokongan ini adalah selari dengan matlamat mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030.”

Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Malaysia, berkata;

“Perkongsian kami dengan MAF adalah sejajar dengan inisiatif CSR utama kami, MYDIN Prihatin. Komitmen kami untuk mewujudkan impak positif kepada masyarakat setempat adalah tidak berbelah bahagi. Kami nampak keperluan kritikal untuk membantu komuniti PLHIV, dan kami berharap penajaan bekalan barangan runcit selama 1 tahun kepada CAKNA akan membawa kestabilan kepada operasi harian mereka, dan membantu klien untuk membina kehidupan baharu.”

Encik Goh Miah Kiat, Pengarah Urusan, Karex Berhad berkata;

“Sokongan Karex untuk CAKNA adalah kesinambungan daripada perkongsian jangka panjang kami dengan MAF. Inisiatif CAKNA dalam menjana pendapatan dan membina kemahiran vokasional adalah terpuji dan wajar mendapat sokongan daripada masyarakat sekeliling. Ia akan mempergiat usaha CAKNA membantu komunitinya untuk melepaskan diri daripada lingkaran kemiskinan.

Venon Tian, ​​Pengurus Besar ZUS Coffee, berkata;

“Terima kasih kepada MAF dan CAKNA di atas undangan kerjasama untuk membantu mereka yang terjejas dengan HIV dan AIDS. Di ZUS Coffee, semua yang kami lakukan adalah berpaksikan kepada tunggak utama kami iaitu komuniti. Seperti yang selalu kami katakan, tiada ZUS tanpa U.”

“ZUS Coffee telah menyumbang sebanyak RM 10,000 untuk membantu mereka yang terjejas dengan HIV/AIDS. Walau pun kami adalah penggiat industri F&B, kesejahteraan komuniti juga tanggungjawab kami, dan kami ingin turut sama terlibat dalam usaha membanteras stigma dan diskriminasi berkaitan HIV/AIDS.”

Penyerahan sumbangan Mydin, Karex dan Zus Coffee telah diadakan pada hari ini di Rumah Perlindungan Baitul Cakna di Ajil, Hulu Terengganu. Majlis tersebut merupakan sebahagian daripada Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran MAF dengan sokongan Yayasan Sime Darby dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi meraikan pelanggan CAKNA. Ia turut dihadiri oleh Dato’ Dr.Hjh Kasemani binti Embong, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anita Binti Suleiman, Ketua Sektor HIV/STI/Hep C Kementerian Kesihatan Malaysia, Hajjah Farihah bt Che Husin, Pengarah PERKESO Terengganu dan Suzana Romeli, Pengurus Mydin Cawangan Kuala Terengganu.

© 2023 BlackButterfly DesignArts