You are currently viewing Warna-Warni Kebudayaan Negeri Selangor Di Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022!

Warna-Warni Kebudayaan Negeri Selangor Di Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022!

Tourism Selangor Sertai Program Bertemakan “Temasya Kepelbagaian Budaya” bagi Memperkukuh Kempen “Pusing Selangor Dulu”

Kuching, 23 Februari, 2021 – Tourism Selangor meneruskan inisiatif promosi dalam negara dengan penyertaan dalam Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang akan berlangsung selama 4 hari bermula 24 sehingga 27 Februari ini di Waterfront Kuching, Sarawak.

Program Citrawarna Keluarga Malaysia ini merupakan sebuah program anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mempromosikan pelancongan yang bertemakan akar budaya tempatan dengan mengetengahkan tradisi seni dan budaya autentik yang merupakan wadah penyemarakan pelancongan, seni dan budaya di Malaysia.

Program ini juga sejajar dengan objektif utama pihak penganjur bagi mempromosikan kepada masyarakat di dalam dan di luar negara tentang kepelbagaian seni budaya, adat resam, kraftangan tempatan serta keunikan makanan warisan dan permainan tradisional di Malaysia, seterusnya menyemarakkan dan merancakkan lagi sektor pelancongan domestik Negara.

Mengangkat tema “Temasya Kepelbagaian Budaya”, Tourism Selangor menyahut seruan pihak MOTAC dengan mengetengahkan keunikan warna-warni kebudayaan Negeri Selangor di Program ini yang tidak terhad kepada elemen kebudayaan, kraf tangan dan busana, tradisi serta warisan, malah juga gastronomi yang merupakan salah satu tarikan pelancongan Negeri ini.

Tourism Selangor turut mempromosikan Program Hos Komuniti Selangor sebagai pengisian pameran untuk pakej dan perkhidmatan yang berasaskan pelancongan eko dan warisan di Negeri Selangor secara terus kepada para pengunjung. Ianya juga merupakan satu program kerjasama bersama pihak MOTAC yang akan diketengahkan oleh pihak Tourism Selangor kepada orang ramai.

Delegasi Negeri Selangor ke Negeri Sarawak diketuai oleh Tuan Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, dan inisiatif ini adalah bertepatan dengan visi Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor ini dalam memperkukuh Kempen Pelancongan Domestik; “Pusing Selangor Dulu”, yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya pengguna media sosial.

Justeru, untuk warga Negeri Sarawak dan yang berada di sekitar Bandar Kuching, jangan lepaskan peluang untuk menyertai dan melilhat sendiri keunikan kebudayaan Negeri Selangor secara terus, mahupun mendapatkan pakej pelancongan menarik yang ditawarkan khas, hanya di Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 ini. Jumpa di sana!

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel atau ikuti kemas-kini Tourism Selangor di laman media sosial Facebook, Instagram, Twitter, saluran YouTube dan aplikasi TikTok. #PusingSelangorDulu!