Video Peluang Kedua Sarat Dengan Iklan

Ada orang putih cakap “Less is More”. Maksudnya kalau dalam keadaan tertentu, bila kita kurangkan sesuatu, kesannya boleh menjadi lebih dari biasa. Contoh bila ambik gambar dengan seseorang, mungkin lebih sesuai ambik gambar orang itu saja tanpa prop dan latar belakang yang terlalu kompleks. Sebab dengan itu fokus akan lebih kepada subjek utama iaitu orang tersebut. Bukan pada prop berlebihan dan latar belakang yang huru hara.

Ini adalah berlawanan dengan apa yang saya rasa bila menonton klip video Peluang Kedua Nabila Razali. Sarat sangat dengan iklan. Awal-awal klip video lagi penonton sudah di saji dengan ayat hikmat dari penaja utama, Presented by …

Selepas itu saat ke 44, video terus fokus pada produk A. Masa ni saya sudah merasa agak pelik tentang kaitan produk ini dengan cerita Peluang Kedua.

Kemudian saat ke 45 pula terus fokus pada produk B. Masa ini baru saya sedar yang Produk A dan B adalah tajaan.

Saya faham memang ada banyak tajaan dalam video klip atau drama bersiri, terutamanya tajaan pakaian. Tetapi apabila berlebihan seperti ini akan mengganggu dan tidak membantu dari segi penceritaan dari pandangan penonton. Pada pendapat saya ia akan menyebabkan fokus pada video terganggu dan penonton akan mengambil masa untuk kembali menghayati cerita yang disampaikan.

Tapi adegan yang saya rasa sangat lemah ialah adegan kedua-dua watak utama duduk di meja sambil beristirehat dan menikmati juadah. Cuma agak kekok sebab juadah tersusun cantik tapi dalam susunan yang agak pelik. Makanan, minuman dan aksesori lain semua di bahagian yang paling jauh dari kedua-dua watak utama. Ya memang saya tahu itu semua prop sahaja tetapi sekurang-kurangnya wujudkanlah suasana yang lebih realistik dan susun prop ikut keadaan yang sesuai.

Bila masuk adegan ini pula di mana kamera fokus pada watak lelaki yang memegang kotak cincin, boleh dilihat yang watak wanita sedang mengambil gambar. Tetapi sebaik saja fokus pergi kepada watak wanita, rakaman video ini seolah-olah diambil dari rakaman beberapa saat sebelumnya yang menunjukkan watak wanita baru keluar dari kereta dan memusingkan kepala ke arah kamera. Sepatutnya menunjukkan watak wanita masih memegang kamera dan mengambil gambar watak lelaki. Baru lah lebih realistik dan sesuai. Mungkin boleh ditambah dengan senyuman silih berganti disamping mengambil gambar.

Walaupun sudah sampai dipenghujung video, penonton masih lagi dipersembahkan dengan tajaan kereta T dengan tulisan plat kereta yang berkaitan dengan tajuk lagu. Pada masa ini saya sudah mula rasa bosan.

Rumusan
Video klip ini tersekat dengan tajaan dan menyebabkan penghayatan penonton dan penceritaan terganggu. Bila jalan cerita agak cliche, sekurang-kurangnya dipersembahkan dengan gaya yang baik untuk tetap menarik minat penonton. Rap watak lelaki memang sangat bagus. Sayang tak mampu tebus kerapuhan keseluruhan video.

Klip Video Peluang Kedua Nabila Razali
© 2023 BlackButterfly DesignArts