KUALA LUMPUR, 28 Mei 2021 – Funding Societies Malaysia, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, bersama-sama foodpanda, peneraju platform penghantaran atas talian, mengumumkan satu usahasama strategik untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan digital jangka pendek bagi rakan niaga dalam rangkaian foodpanda.
Usahasama tersebut yang telah berjaya menyalurkan RM1 juta secara keseluruhan, membolehkan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan mendapat lebih akses kepada peluang pembiayaan perniagaan, agar dapat memudahkan keperluan operasi perniagaan, memperluaskan perniagaan, di samping memastikan kelangsungan PMKS terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kesan dari pandemik ketika ini. Sebanyak 20,000 hingga 30,000 rakan niaga dari pelbagai segmen di dalam rangkaian foodpanda dijangka akan menerima manfaat daripada penyelesaian pembiayaan bersesuaian yang ditawarkan oleh Funding Societies.
Wong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, berkata, “Kami didorong oleh tujuan bersama foodpanda untuk memberi lebih sokongan kepada sektor PMKS yang pastinya paling terkesan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang berpanjangan ini. Menerusi kerjasama ini, rakan niaga dalam rangkaian luas mereka akan memperoleh penyelesaian pembiayaan jangka pendek, tanpa cagaran, dengan manfaat tambahan iaitu pengalaman aplikasi penuh atas talian yang serba pantas dan lancar. Malah, jumlah pembiayaan RM1 juta yang telah berjaya dicapai sehingga kini khusus menerusi usahasama ini adalah bukti keyakinan PMKS terhadap pembiayaan digital sebagai pilihan pembiayaan berdaya maju, seterusnya mengukuhkan lagi komitmen kami dalam berkhidmat untuk perniagaan yang dicicir (underserved) dan tidak dibantu (unserved) dari semua segmen.”
“Seluruh negara telah mengalami waktu yang sukar sepanjang tahun lepas. Kami ingin memastikan bahawa kami dapat menyediakan peluang pembiayaan kepada rakan niaga bagi membolehkan mereka untuk meneruskan kelangsungan perniagaan di sebalik cabaran yang dihadapi. Usahasama yang dimeterai bersama Funding Societies ini membolehkan kami menawarkan bantuan pembiayaan yang amat diperlukan oleh rakan niaga kami. Maklum balas yang kami terima daripada rakan niaga kami setakat hari ini juga adalah amat positif, dan kami gembira kerana dapat menjadi sebahagian dari kejayaan perniagaan mereka,” kata Sayantan Das, Pengarah Urusan foodpanda.
“Cabaran utama yang dihadapi pengusaha kecil makanan dan minuman sepanjang pandemik Covid-19 ini adalah untuk memastikan perniagaan masih dapat diteruskan – dan inisiatif dari Funding Societies dan foodpanda ini telah berjaya mengatasi masalah ini. Pembiayaan ini membantu saya untuk menampung kos-kos seperti stok harian, sewa bulanan dan bil utiliti sepanjang pandemik. Di waktu sebegini, di mana perniagaan dan strategi pemasaran kami terjejas teruk, saya percaya inisiatif seperti ini berupaya membantu saya dan ramai pengusaha lain yang bertungkus-lumus untuk memastikan kelangsungan perniagaan,” kata Abdul Rahman dari Al-Raudah Arabian Food.
Manakala Saiful dari Dapur Seri Buluh, turut berkata, “Inisiatif dari foodpanda Malaysia dan Funding Societies ini membolehkan saya mendapatkan modal pusingan secara harian dan bulanan sepanjang tempoh yang sukar ini. Dalam keadaan pandemik sekarang, amat sukar bagi saya untuk mendapatkan aliran tunai harian, namun dengan adanya inisiatif seperti ini, peluang untuk kami meneruskan perniagaan dan menyimpan lebihan tunai bagi persediaan sekiranya situasi bertambah teruk kini lebih tinggi.”
Pembiayaan digital kini menjadi semakin popular di Malaysia disebabkan manfaatnya dalam memberikan keterangkuman kewangan, khususnya untuk PMKS yang sering tercicir atau tidak dibantu oleh medium pembiayaan tradisional. Pembiayaan digital bertujuan mengatasi isu-isu lazim dalam proses permohonan sistem kewangan tradisional seperti keperluan cagaran, dokumentasi yang rumit serta tempoh pemprosesan yang lama, seterusnya membolehkan PMKS untuk mendapatkan pembiayaan secara pantas untuk tujuan mengembangkan perniagaan. Satu kelebihan unik usahasama ini adalah pra-kelulusan pembiayaan yang ditawarkan oleh Funding Societies, dengan menggunakan maklumat dari pangkalan data PMKS di foodpanda seperti transaksi jualan rakan niaga dalam penilaian kredit mereka.
Rakan niaga dalam rangkaian foodpanda yang layak berpeluang untuk menikmati manfaat pembiayaan dari Funding Societies seperti berikut:
- Pengalaman aplikasi atas talian sepenuhnya
- Keperluan dokumentasi yang minima
- Pembayaran pantas setelah mendapat kelulusan (sepantas 3 hari bekerja)
- Tempoh bayar balik yang fleksibel, sehingga 18 bulan
- Tiada keperluan cagaran
Sebagai sebahagian daripada usahasama terbabit, Funding Societies turut menawarkan salah satu produk terbaharu mereka, Micro Credit Line kepada rakan niaga foodpanda yang layak. Kemudahan Micro Credit Line ini membolehkan PMKS untuk mendapatkan tempoh kredit pendek antara 30 hingga 90 hari dalam satu-satu masa yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan perniagaan seperti pembelian bahan-bahan, bayaran kepada pembekal, mahupun sebagai dana kecemasan.
Untuk maklumat lanjut tentang usahasama ini, sila layari:
https://fundingsocieties.com.my/micro-credit-line/foodpanda