Ubah Pengalaman Penangguhan Penerbangan: Delay Lounge Pass untuk Pelanggan Insurans Perjalanan AirAsia

Kuala Lumpur, 19 Disember 2024 – Tune Protect Group Berhad (“Tune Protect” atau “Kumpulan”) mengumumkan pelancaran manfaat baharu Delay Lounge Pass untuk pelanggan Insurans Perjalanan AirAsia yang menawarkan akses ke lebih daripada 1,500 lounge lapangan terbang di seluruh dunia apabila penerbangan tertangguh selama dua jam atau lebih. Merentasi rangkaian global AirAsia[1], manfaat eksklusif ini tersedia untuk pelanggan yang memilih salah satu daripada pelan Insurans Perjalanan AirAsia, seperti Value Pack, Premium Flex, dan AirAsia Plus[2] untuk penerbangan yang berlepas dari, atau akan tiba di Malaysia dan Thailand.

Delay Lounge Pass mentransformasi pengalaman penangguhan penerbangan dengan menyediakan lounge (ruang istirahat) lapangan terbang yang lengkap dengan kemudahan seperti Wi-Fi berkelajuan tinggi, stesen pengecasan, dan pelbagai kemudahan tambahan seperti rawatan spa serta diskaun di bar dan restoran. Inisiatif ini melangkaui manfaat insurans perjalanan biasa yang dinikmati oleh pelanggan AirAsia, seterusnya meningkatkan pengalaman perjalanan tanpa kebimbangan. Selain daripada pampasan kewangan yang menjadi sebahagian daripada perlindungan Insurans Perjalanan AirAsia, pelanggan kini juga dapat menikmati keselesaan lounge lapangan terbang untuk memanfaatkan masa menunggu dengan lebih baik.

“Penangguhan perjalanan merupakan sesuatu yang tidak diingini, dan kami memahami cabaran yang dihadapi pengembara terutamanya apabila melancong dengan keluarga besar atau menguruskan jadual yang padat, lebih-lebih lagi semasa musim puncak seperti hujung tahun dan cuti sekolah. Di Tune Protect, matlamat kami adalah untuk memastikan perjalanan yang lebih selesa dan bebas tekanan. Sama ada bagi ibu bapa yang memerlukan ruang untuk menguruskan anak-anak, ahli perniagaan yang perlu menyiapkan kerja, atau pelancong solo yang mahukan tempat untuk berehat, akses ke lounge lapangan terbang ini akan memenuhi keperluan semua jenis pengembara,” kata How Kim Lian (“How”), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect.

Ubah Pengalaman Penangguhan Penerbangan Delay Lounge Pass untuk Pelanggan Insurans Perjalanan AirAsia

Pelanggan dapat menikmati faedah Delay Lounge Pass melalui langkah-langkah mudah berikut:

  1. Pembelian atau Pemilihan Insurans Perjalanan: Pelanggan mesti membeli mana-mana pelan Insurans Perjalanan AirAsia (Value Pack, Premium Flex, atau AirAsia Plus) semasa membuat tempahan penerbangan.
    1. Lengkapkan Pendaftaran: Selepas pembelian, pelanggan akan menerima emel pengesahan bersama emel pendaftaran lounge. Pelanggan perlu mendaftar penerbangan mereka menggunakan kod unik yang diterima melalui emel pendaftaran sebelum tarikh berlepas.
    1. Pengesahan Penjejakan Penerbangan: Setelah pendaftaran selesai, pelanggan akan menerima emel pengesahan bahawa penerbangan mereka sedang dipantau melalui FlightStats.
    1. Terima Baucar Akses ke Lounge: Jika penerbangan ditangguh selama dua jam atau lebih, pelanggan secara automatik akan menerima notifikasi kelewatan bersama dengan baucar digital untuk akses ke lounge apabila tiba di lapangan terbang. Baucar ini boleh digunakan serta-merta.

“Inisiatif terbaru ini mencerminkan komitmen Tune Protect untuk menyediakan penyelesaian inovatif yang berpaksikan-pelanggan untuk para pengembara. Penggabungan produk utama bersama dengan pengalaman tambahan adalah amalan biasa dalam industri lain, dan kini kami mengadaptasikan pendekatan ini ke dalam industri insurans untuk menjadikannya lebih menarik bagi pelanggan sasaran kami, iaitu para pengembara. Tawaran akses ke lounge lapangan terbang ini merupakan titik permulaan dalam aspirasi kami untuk menjadi pemain yang relevan dalam ekosistem perjalanan di rantau ini,” tambah How.

Jika pelanggan tidak menggunakan baucar akses ke lounge yang diberikan semasa penerbangan ditangguh, ia masih sah untuk digunakan sekali sahaja dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengeluaran di mana-mana satu daripada 1,500 lounge lapangan terbang di seluruh dunia. Baucar Delay Lounge Pass ini adalah unik kepada pengembara yang telah didaftarkan dan tidak boleh dipindah milik. Pelanggan yang membeli pelan Insurans Perjalanan AirAsia untuk rakan perjalanan mereka perlu memastikan setiap tetamu didaftarkan dengan betul untuk memastikan pengalaman yang lancar.

Selain daripada Delay Lounge Pass, Tune Protect turut menambahbaik ciri insurans dalam pelan Insurans Perjalanan AirAsia dengan memperkenalkan TravelFlex Lite, yang merupakan manfaat pembatalan fleksibel untuk situasi yang tidak dijangka[3]. TravelFlex Lite akan memberikan pembayaran balik sehingga RM500 untuk kos tiket penerbangan jika pelanggan tidak dapat meneruskan perjalanan. Antara  ciri utama lain yang disediakan dalam pelan Insurans Perjalanan AirAsia adalah seperti On-Time-Guarantee, yang memberikan pampasan RM100 untuk kelewatan dua jam, serta Kelewatan Bagasi, yang memberikan pampasan RM120 bagi setiap kelewatan enam jam, sehingga RM360.

Untuk maklumat lanjut mengenai Delay Lounge Pass dan pelan Insurans Perjalanan AirAsia, termasuk terma dan syarat, sila layari https://delayloungepass.tuneprotect.com/airasia dan https://www.tuneprotect.com/airasia/AABundlePackage/.


[1] Tidak termasuk penerbangan keluar dari China

[2] Untuk penerbangan yang berlepas dari Terminal Subang SkyPark

[3] Tertakluk kepada terma dan syarat.

© 2024 BlackButterfly DesignArts