Turki Muncul Sebagai Destinasi Utama Bagi Pelancongan Sukan

13 September 2021 Bidang sukan sedang berkembang pesat dengan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang hebat oleh negara-negara di seluruh pelusuk dunia. Turki juga merupakan salah satu destinasi pelancongan sukan yang terbesar di dunia dengan tempat-tempat seperti Antalya, Erzurum, Trabzon, İstanbul, Bolu, Burdur, Isparta, dan Kocaeli yang menjadi tarikan pelancongan berasaskan sukan dengan adanya kemudahan penginapan, teknologi canggih, padang latihandan stadium.

Iklim sederhana di Turki membolehkan para pelawat merancang sesi-sesi latihan mengikut sukan pilihan mereka. Turki merupakan destinasi sukan yang hebat di mana pasukan-pasukan boleh mencari pasukan pesaing, berlatih di lapangan latihan antarabangsa, menggunakan stadium-stadium bertaraf dunia dan menginap di tempat-tempat penginapan yang berpatutan atau mewah mengikut kemampuan masing-masing dengan mudah. Turki juga memiliki keupayaan mantap dalam menguruskan pertandingan dan juga kem-kem latihan bola sepak. Pegawai yang berkelayakan di dalam fasiliti ini turut mempunyai pengalaman sebagai tuan rumah kepada banyak perlawanan belia UEFA serta perlawanan khas bagi pasukan-pasukan antarabangsa. Justeru, ia menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding hotel-hotel biasa.

Baru-baru ini, Kelab Bola Sepak RANS Cilegon, sebuah kelab bola sepak Indonesia yang berpangkalan di Cilegon, Banten, telah berkunjung ke Turki untuk menjalani sesi latihan bola sepak dan juga bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Fenerbahce SK di Topuk Yaylasi, Bolu. Perlawanan yang mendebarkan berkeputusan seri 3-3 ini telah distrimkan melalui YouTube dan mencapai lebih daripada 1.4 juta tontonan. Walaupun dunia masih lagi dilanda pandemik, Turki telah dipilih sebagai lokasi latihan kerana adanya pendekatan selamat untuk pelancongan sukan dan kemudahan-kemudahan yang hebat disediakan.

Turki Muncul Sebagai Destinasi Utama Bagi Pelancongan Sukan
Fenerbahçe Football training complex in Bolu

Para pemain, ahli-ahli jawatan kuasa pentadbiran dan teknikal RANS telah melakukan lawatan di stadium selepas perlawanan dan mereka merasa amat kagum dengan stadium tersebut. Mereka juga telah melawat muzium Fenerbahçe di mana mereka berpeluang untuk mempelajari sejarah Fenerbahçe.

“Dengan adanya kemudahan-kemudahan bertaraf dunia dan padang latihan yang terbaik, kami dapat mempelajari bagaimana cara pengurusan sebuah kelab bola sepak profesional Eropah. Ia merupakan suatu pengalaman serta peluang yang baik untuk menjalinkan hubungan di antara pihak berkepentingan di dalam industri bola sepak. Budaya bola sepak Eropah yang terdapat di sini telah menjadikan Turki sebagai salah sebuah destinasi pra-musim terbaik untuk pasukan kami bagi persediaan musim baharu,” kata Darius Sinathrya, Ketua Pegawai Operasi Kelab Bola Sepak RANS Cilegon.

Turki Muncul Sebagai Destinasi Utama Bagi Pelancongan Sukan
Fenerbahçe Football training complex in Bolu

Turki juga menawarkan pelbagai tempat peranginan golf yang telah direka oleh pereka-pereka terkemuka dunia. Para peminat golf boleh menikmati padang-padang golf dengan piawaian PGA yang berlatarbelakangkan alam semula jadi dan pantai yang indah serta penginapan bertaraf 5 bintang. Akademi dan kemudahan bola keranjang di Turki turut memberi kejutan dan menarik perhatian para peminat bola keranjang dari segi kualiti dan pengetahuan manakala kemudahan sukan renang bertaraf Olimpik, memberikan suasana latihan yang terbaik bagi para perenang. Turki juga semakin menjadi pilihan untuk pelancongan musim sejuk dan menjadi saingan hebat kepada destinasi-destinasi luncur salji yang popular di Eropah. Turki bukan sahaja memberi keutamaan kepada sukan berpasukan seperti bola sepak dan bola keranjang tetapi juga sukan perseorangan. Penekanan turut diberikan untuk melatih pemain-pemain tenis muda di kemudahan-kemudahan bertaraf dunia yang disediakan sementara ibu bapa dan adik-beradik mereka keluar bercuti.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelancongan dan kemudahan sukan di Turki,  sila layari https://www.goturkiye.com/

© 2023 BlackButterfly DesignArts