Triumph Mengumumkan Evolusi Visi Jenama Globalnya

Triumph, jenama pakaian dalam terkemuka dunia, mengumumkan evolusi visi jenama serta identiti visual globalnya.

Bakal dilaksanakan di semua pasaran Triumph termasuk Malaysia, strategi tersebut menjiwai falsafah Triumph bahawa semua wanita harus menerima diri, keindividuan dan keunikan mereka dengan sepenuh hati. Ia merupakan falsafah yang memperkasakan wanita tidak kira di mana sahaja mereka berada. Visi jenama ini meraikan keunikan setiap individu menerusi penampilan baharu yang asli, segar dan moden.

Triumph, jenama dengan warisan sejarah yang panjang, memahami kepentingan untuk berkembang dan kekal relevan seiring dengan peredaran masa. Sungguhpun begitu, ia akan terus memanfaatkan ciri-ciri kekuatan yang telah mengukuhkan kesetiaan jenamanya selama ini, seperti kefungsian, kebolehpercayaan dan keanggunan – di samping memberikan suntikan nafas baharu merentasi kesemua titik sentuh visual dan komunikasi serta reka bentuk produknya demi menjalin ikatan emosi yang sejati dengan penggunanya.

Perubahan semula jadi dalam masyarakat dan budaya menjadi sumber inspirasi jenama ini. Zaman bersilih ganti, begitu jua dengan Triumph. Kehidupan, sikap dan keperluan wanita sentiasa berubah-ubah. Justeru, mereka mahukan jenama yang berevolusi dan memberi makna dalam kehidupan mereka. Usaha menumpukan fokus pada keperluan wanita serta perubahan trend semasa menjadi inspirasi di sebalik pembangunan produk Triumph dan ia terserlah dalam reka bentuk produk-produk baharunya.

Seiring dengan evolusi jenamanya, Triumph telah menjalankan kajian dan ujian konsep secara meluas, termasuk maklum balas dan input daripada 20,000 wanita di seluruh dunia yang menunjukkan perubahan mendadak dalam cara hidup, persepsi dan keperluan mereka.

Kajian turut mendapati wanita hari ini bukan sahaja menilai semula perkara-pekara yang benar-benar penting dalam kehidupan mereka, malahan mereka tidak mahu diri mereka digambarkan secara generik atau tidak realistik. Industri pakaian dalam telah sekian lama mewujudkan stereotaip yang memaksa wanita untuk mencapai apa yang ditakrifkan oleh industri sebagai ‘seksi’ atau ‘selesa’.

Tanggapan ini sudah lapuk dan tidak lagi relevan. Wanita kini lebih serasi dengan jenama yang mendekati mereka sebagai individu serta memahami kerumitan kehidupan moden mereka, bukannya untuk dinilai berdasarkan bentuk tubuh mereka. Malah, mereka lebih serasi dengan jenama yang menentang stereotaip dan meraikan keunikan individu mereka. Justeru, evolusi visi jenama Triumph bertujuan meraikan semua perbezaan yang menjadikan wanita serta kehidupan mereka unik.

Paul Gautier, Ketua Jenama Global Triumph mengulas, “Visi kami adalah untuk mewujudkan dunia di mana semua wanita dapat menerima keindividuan masing-masing dengan sepenuh hati. Ini dilakukan dengan memupuk hubungan individu dan pengalaman emotif dengan pengguna kami melalui setiap titik sentuh – daripada produk yang dibeli, imej yang dilihat, sehinggalah pengalaman pembelian mereka, baik atas talian mahupun di butik kami. Kami berazam untuk mencipta pengalaman pengguna yang tidak dapat dilupakan secara konsisten dengan menjadi tersendiri, berinspirasi dan relevan”.

Natasha Mooy, Pengurus Pemasaran Kanan Malaysia dan Singapura menambah, “Kami teruja untuk melancarkan visi jenama baharu kami di Malaysia. Meraikan kuasa lembut (soft power) wanita Malaysia yang membentuk identiti unik mereka, kami ingin memperkasakan wanita untuk menzahirkan keunikan individu mereka dengan cara yang paling peribadi. Justeru, kami akan terus menawarkan pengalaman dan inovasi produk dengan fleksibiliti dan kebebasan bentuk, agar wanita dapat menjiwai kebebasan dalam pergerakan serta ekspresi diri mereka, dengan cara mereka yang tersendiri, ke mana jua kuasa lembut itu membawa mereka.”

Kempen

Keunikan individu akan memacu naratif visual jenama, manakala kempen pula tidak terhad kepada produk sahaja. Reka bentuk produk melambangkan penghormatan sebenar kepada wanita, selain meraikan keunikan individu, pelbagai aspek kehidupan serta perbezaan mereka demi mewujudkan sudut pandangan yang berbeza secara dasarnya yang mencabar tanggapan tradisional selama ini. Dengan mencipta imej realistik yang mendalami jiwa wanita, Triumph berharap dapat menjalinkan ikatan emosi yang mendalam, baik dengan pelanggan baharu mahupun yang sedia ada.

E-Dagang

Platform e-dagang akan diberikan suntikan nafas baharu dengan penampilan moden sebagai tempat yang menyatukan kandungan dengan komuniti. Pelanggan akan dapat menyemak halaman butik berhampiran mereka dan mendaftar untuk acara dan aktiviti di butik, menempah pakaian dalam di butik atau secara maya, serta mendapatkan akses kepada kandungan yang relevan dan dijana oleh jenama.

Kuasa pemilihan akan dikembalikan kepada pengguna kerana mereka akan dapat melihat dan memilih saiz pakaian dalam yang mewakili saiz sebenar mereka.

Jualan Runcit

Konsep butik baharu yang direka untuk mewujudkan pengalaman jenama yang lebih kukuh dan mendalam juga bakal dilancarkan. Paparan modular produk yang baharu akan menggabungkan ciri digital dan komponen sentuhan untuk menawarkan pengalaman runcit premium yang mengubah dan mengangkat percubaan bra kepada satu pengalaman peribadi. Setiap aspek konsep butik baharu telah direka secara teliti untuk mencipta ruang di mana setiap wanita akan berasa istimewa dan unik.

© 2023 BlackButterfly DesignArts