Tourism Selangor Umum 20 Pemenang Pertandingan “Pitch” Pelan Pemulihan Pelancongan Domestik Negeri Selangor

Pelaksanaan Geran Projek dengan Jumlah Keseluruhan RM 150,000 Dijangka Mampu Merancakkan Industri Pelancongan Negeri dalam Era Norma Baharu

Shah Alam, 24 September 2021 – Tourism Selangor menerusi satu sesi streaming secara atas talian pada Jumaat telah mengumumkan barisan pemenang bagi Pertandingan “Pitch” Pelan Pemulihan Sektor Pelancongan Domestik Negeri Selangor yang telah berjaya membawa pulang Geran Projek dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 150,000.00. Dari 20 orang pemenang yang telah diumumkan,10 pemenang utama membawa pulang Geran Projek bernilai RM 10,000.00 setiap satu, manalaka 10 pemenang berikutnya membawa pulang Geran Projek bernilai RM 5,000 setiap satu.

Pihak Tourism Selangor menerusi Jabatan Pembangunan Industri menganjurkan Pertandingan tersebut yang telah berlangsung dari 14 Jun hingga 31Julai lalu bagi menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik di Negeri Selangor melalui pendekatan yang efektif berdasarkan norma baharu atau melalui inisiatif yang menjurus ke arah mengatasi impak dari pandemik Covid-19, yang kini hampir memasuki ke fasa endemik.

Para pemenang juga turut berpeluang membentangkan hasil Projek mereka di Tourism Selangor Global Convention 2021; sebuah Konvensyen yang menampilkan penyertaan Badan dan Agensi Promosi Pelancongan Rasmi dan penggiat industri pelancongan dari seluruh Negara serta orang awam dan  dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 November ini, tertakhluk kepada SOP semasa.

Pertandingan “pitch”  ini juga telah membuka ruang kepada penggiat industri pelancongan dan seluruh masyarakat untuk tampil dengan idea-idea menarik dalam mengekalkan kelansungan industri ini terutamanya di Negeri Selangor. Kertas Kerja yang dihantar juga perlu merangkumi aspek usaha mengembalikan keyakinan rakyat dan pelancong untuk melancong ke Negeri Selangor; serta menjadikan Negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Sepanjang Pertandingan berlangsung, sebanyak 101 penyertaan Kertas Kerja telah diterima. Dari jumlah ini, 34 adalah masing-masing dari kategori “Kreatif dan Inovasi Pelancongandan “Kelansungan Pelancongan atau Sustainable Tourism”, manakala baki 33 Kertas Kerja pula memfokuskan pada “Digitalisasi Pelancongan.

Manakala, dari 101 jumlah Kertas Kerja tersebut, 40 telah dihasilkan oleh universiti tempatan, 35 dari syarikat swasta, 16 dari syarikat berfokuskan sektor pelancongan, serta baki penyertaan datang dari Non-Profit Organization (NGO) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tourism Selangor Umum 20 Pemenang Pertandingan “Pitch” Pelan Pemulihan Pelancongan Domestik Negeri Selangor
Y.B Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor

Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Pertandingan ini telah menerima sambutan yang menggalakkan dari penggiat industri pelancongan di Negeri Selangor. Saya yakin, penganjuran pertandingan ini mampu mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Negeri dengan para penggiat industri pelancongan  dalam usaha menggalakkan serta memulihkan industri pelancongan Negeri di ambang pandemik Covid-19”.

Tourism Selangor Umum 20 Pemenang Pertandingan “Pitch” Pelan Pemulihan Pelancongan Domestik Negeri Selangor
Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor

Tuan Azrul Shah Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan lain berkata, “Tujuan pertandingan ini dianjurkan adalah bagi menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik Negeri Selangor, di samping menjadi landasan untuk perkongsian pengalaman serta perbincangan ke arah usaha pemulihan sektor pelancongan Negeri Selangor melalui kaedah norma baharu ketika tempoh pandemik Covid-19. Mewakili Tourism Selangor, saya dengan berbesar hati, bersedia untuk membuka ruang kepada penggiat industri pelancongan Negeri serta orang awam yang mempunyai idea-idea yang bernas untuk dikongsikan ke arah melestarikan sektor pelancongan Negeri ini”.

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor akan menjalankan inisiatif seumpamanya dari masa ke masa. Yang terbaharu, Permohonan untuk Geran Bantuan Kewangan Pelan Pelan Pemulihan Negeri Selangor telah dibuka kepada umum bermula 23 September sehingga 31 Disember ini. Untuk informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel. Anda juga boleh ikuti kemas-kini pihak Tourism Selangor di laman media sosial rasmi; Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan YouTube channel.

© 2023 BlackButterfly DesignArts