Tourism Selangor Meterai Perjanjian Persefahaman (MOU) Bersama PKNS Real Estate Sdn. Bhd.

MoU sebagai Permulaan kepada Projek “SACC Walk Retail Container”; Sebuah Tarikan Pelancongan Baharu di Shah Alam bermula Ramadan 2022

Shah Alam, 16 November 2021 – Tourism Selangor hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pihak PKNS Real Estate (PREC) dalam usahasama membina dan membangunkan projek “SACC Walk Retail Container”. Memorandum yang dimeterai menyaksikan satu lagi langkah strategik dalam mengukuhkan lagi sinergi dan kerjasama dinamik untuk merancakkan kembali bidang peruncitan dan pelancongan negara. Majlis pemeteraian yang berlangsung di Black Box@SACC Mall yang turut disiarkan secara atas talian telah disempunakan oleh Tuan Encik Azrul Shah bin Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif, Tourism Selangor dan Tuan Sr. Fakru Radzi bin Ab Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif PREC.

Selain penyediaan tapak untuk kontena runcit, pelan perlaksanaan turut menyokong kerja pemasangan penuh kontena, keperluan teknikal, perlesenan dan perkara berbangkit. Sokongan kewangan turut disediakan kepada bakal penyewa dan atau mana-mana syarikat yang berminat untuk membeli kontena atau menjadi sebahagian daripada kandungan Kontena Runcit SACC Walk. Pemasangan sebanyak 10 kontena runcit ini dijangka siap menjelang bulan Ramadan 2022.

Bagi menyokong usaha tersebut, pihak Tourism Selangor akan bertanggungjawab menyalurkan maklumat atau hebahan kepada pihak berminat untuk tujuan pembelian atau penyewaan, selain mengadakan acara atau aktiviti mempromosikan SACC Walk kepada orang ramai dalam mewujudkan kesedaran tentang daya tarikan di kawasan ini.

Tuan Azrul Shah Mohamad dalam sebuah kenyataan berkata, “Memorandum Persefaham atau MoU yang dimeterai pada hari ini menandakan sebuah lagi pencapaian pihak Tourism Selangor, terutamanya dalam pemerkasaan sektor peruncitan yang merupakan antara elemen terpenting dalam sektor pelancongan Negeri. Pihak Tourism Selangor sedia maklum tentang potensi besar sektor ini, serta mengalu-alukan idea-idea baharu serta di luar kotak, yang disambut-baik oleh orang awam”.

“Inisiatif ini juga adalah bertepatan dengan visi Kempen “Pusing Selangor Dulu” yang mengajak orang ramai ke tempat-tempat tumpuan seperti ke SACC Walk bagi merasa sendiri inovasi kepada pengalaman runcit dan beli-belah di sini”, tambah Tuan Azrul Shah.

En. Sr. Hj. Fakru Radzi Ab Ghani, dalam ucapannya berkata “Majlis ini menjadi saksi kepada kesepakatan kami untuk membangunkan “SACC Walk Retail Container” bertempat di SACC Walk, Shah Alam.  Fenomena kontena terpakai yang dikomersialkan untuk tujuan “homestay”, ruang pejabat, kedai makan, dan peruncitan bukanlah sesuatu yang baharu. Justeru, kami percaya bahawa kolaborasi bersama Tourism Selangor dalam mengadakan kontena terpakai ini di tapak yang strategik seperti SACC Walk mampu menjadi daya tarikan tambahan kepada para pengunjung. Apatahlagi dengan kepelbagaian dan kelainan produk dan perkhidmatan yang bakal ditawarkan, kami percaya ia mempunyai kelebihan daya saing yang mampu memenangi hati orang ramai.”

Sebagai salah sebuah usaha proaktif dalam menetapkan semula atau “reset” industri pelancongan domestik Negara khususnya di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor telah melancarkan Kempen Pusing Selangor Dulu”” pada Disember tahun lalu. Seorang selebriti tempatan; Che Puan Juliana Evans telah dilantik sebagai Duta Kempen ini yang digerakkan menerusi landasan digital, terutamanya laman media sosial rasmi Tourism Selangor; Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok dan saluran YouTube.

Apa yang membanggakan, sejak dilancarkan, tandapagar #PusingSelangorDulu telah menerima sebanyak 22 juta reach di laman media sosial. Dalam masa yang sama, sasaran Kempen “Pusing Selangor Dulu” bakal diperluas dalam mencapai objektif menjadikan SACC Walk sebagai kawasan nukleus pelancongan baharu bagi Negeri Selangor.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

© 2023 BlackButterfly DesignArts