Tng Digital Membawakan Teknologi Lebih Inklusif Untuk Komuniti Di Kampung Kerinchi Menerusi Penggunaan Qr Di Masjid Ar-Rahah

  • Peluang untuk masjid-masjid di seluruh negara meningkatkan operasi serta derma yang diterima daripada orang ramai.
  • Terdapat susunan program bersama Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi yang akan dijalankan selama setahun, yang merangkumi empat perkara utama.

Kuala Lumpur, 22 Januari 2019 – Sebagai salah satu usaha untuk menjadikan teknologi lebih inklusif, TNG Digital mengumumkan kerjasama dengan Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi, dengan memperbaharui cara orang ramai menghulurkan sumbangan serta derma dengan menggunakan Touch ‘n Go eWallet.

Para jemaah masjid tersebut kini boleh menghulurkan sumbangan serta derma dengan hanya menekan butang pada telefon pintar mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin ketika ditemui di majlis tersebut berkata, “Kami mahu menjadikan teknologi lebih inklusif dan membantu ahli komuniti di Kampung Kerinchi menerusi platform yang mudah dan selamat.”

Kerjasama ini turut menandakan permulaan program selama setahun yang merangkumi beberapa aktiviti seperti berikut:

  • Generasi 13 (G13)
    • Satu kelas khas untuk golongan remaja yang menekankan aspek kesempurnaan dan falsafah 13 Rukun Solat, sebagai asas pembangunan insan. Program ini dibentuk bagi membina jati diri golongan remaja dalam menghadapi pelbagai cabaran sosial yang dinamik dan melahirkan pemimpin generasi akan datang yang seimbang.
  • Ar-Rahah De Hearty (Gotong-royong)
    • Bertemakan Go Green: Clean Mosque, Clean Heart, program kemasyarakatan ini memberikan penekanan kepada aktiviti seperti senamrobik, gotong-royong dan pencarian harta karun bagi mengeratkan lagi hubungan antara ahli komuniti Kampung Kerinchi melalui pengisian aktiviti yang kreatif.
  • e-Keusahawanan (i-Entrepreneur)
    • Seminar keusahawanan yang bertumpukan kisah-kisah kejayaan tokoh-tokoh korporat, cabaran di dalam dunia keusahawanan, inovasi produk dan kepentingan penggunaan teknologi di dalam rangkaian Syariat Islam.
  • Kembali ke Sekolah (Back-to-School)
    • Inisiatif tanggungjawab sosial korporat(CSR) bagi membantu kanak-kanak di dalam komuniti ini dengan menyediakan kelengkapan untuk ke sekolah, sesi motivasi, menggunting rambut dan berkhatan.

Wakil Masjid Ar-Rahah, Ustaz Khairul Hafiz berkata, “Kita perlu belajar menerima penggunaan teknologi dengan hati yang terbuka kerana ia dapat membantu meningkatkan taraf hidup serta ahli masyarakat di sekeliling kita. Menerusi program bersama-sama TNG Digital, kami dapat membentuk pemimpin pelapis yang lebih seimbang”.

Penggunaan QR di Masjid Ar-Rahah bakal membuka peluang kepada masjid-masjid lain di seluruh negara untuk menggunakan teknologi yang sama bagi membantu menyelaraskan operasi harian serta kutipan derma mereka.

“Setiap sumbangan sama ada kecil atau besar, adalah sangat bermakna. Kami berharap melalui penggunaan teknologi, kutipan derma kini mudah dan selamat,” kata Syahrunizam.

Touch ‘n Go eWallet merupakan antara aplikasi e-Dompet yang paling pesat berkembang di Malaysia dengan 2.3 juta pengguna berdaftar.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini, sila kunjungi https://www.tngdigital.com.my/ dan log ke www.facebook.com/touchngoewallet/.   Aplikasi e-Dompet ini boleh dimuat turun melalui  Apple App Store dan Google Play Store.

© 2024 BlackButterfly DesignArts