Tinjauan Herbalife Nutrition Merungkai Pengguna Malaysia Ada Visi yang Jelas Tentang Penuaan Sihat, Namun Amat Mengkhuatiri Penyakit yang Berpuncakan Kelemahan Imuniti

KUALA LUMPUR, 26 Februari 2021 – Syarikat nutrisi global bertaraf perdana, Herbalife Nutrition, baru-baru ini telah menyiarkan penemuan bagi Tinjauan Penuaan Sihat Asia Pasifik 2020 (2020 Asia Pacific Healthy Aging Survey), yang menunjukkan bahawa pengguna Malaysia mempunyai visi yang jelas mengenai penuaan sihat, lebih daripada empat dalam 10 pengguna (44 peratus) mempunyai keyakinan bahawa mereka mampu menginjak usia dengan sihat, namun khuatir mereka akan jatuh sakit akibat kelemahan imuniti, iaitu kebimbangan terbesar mereka.

Untuk merungkai perasaan takut, kebimbangan, keyakinan dan tindakan yang melatari topik penuaan, tinjauan tersebut telah membanci bilangan individu yang sama dalam kumpulan Generasi Z (18 – 23 tahun), Milenial (24 – 39 tahun), Generasi X (40 – 55 tahun) dan Boomer+ (55 tahun dan ke atas) dalam 11 pasaran termasuk Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, dan Vietnam.

“Ini merupakan edisi tinjauan kami yang ketiga dirumus untuk merungkai kekhuatiran yang membelenggu topik penuaan merentasi pelbagai kumpulan demografi dan pasaran di Asia Pasifik, iaitu rantau yang memiliki purata jangka hayat yang tertinggi di dunia,” ujar Steven Chin, Pengurus Besar dan Pengarah, Herbalife Nutrition Malaysia. “Penemuan ini menunjukkan bahawa ramai individu yang bimbang mereka akan jatuh sakit kerana kelemahan imuniti ketika mereka menginjak usia – yang mungkin disebabkan oleh perubahan sikap ekoran penularan wabak semasa. Di samping itu, kami juga telah mendapati bahawa pengguna dalam pasaran Malaysia, yang dikenali atas populasi menuanya, mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan mereka untuk menginjak usia dengan sihat berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain.”

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini dijangka mencapai status masyarakat menua menjelang tahun 2030. Anggaran yang dibuat mencadangkan bahawa 7.2 peratus daripada populasi Malaysia akan berusia 65 tahun dan ke atas menjelang tahun hadapan[1], maka topik mengenai penuaan sihat harus diketengahkan bagi melindungi golongan yang berumur dengan mengambil pendekatan kesihatan awam yang bersifat mencegah seperti menggalakkan gaya hidup sihat. Justeru, kesedaran mengenai keperluan untuk menuju ke arah penuaan sihat perlu ditingkatkan sejak peringkat awal lagi,” tambah beliau.

Mentakrifkan Penuaan Sihat

Apabila diminta untuk mentakrifkan penuaan sihat dalam istilah yang lebih nyata, pengguna Malaysia telah menggambarkan sesuatu yang positif. Responden telah berkongsi bahawa penuaan sihat bermaksud bebas daripada penyakit kronik atau akut (62 peratus), kekal aktif secara mental dan tajam akal (59 peratus), tidak menjadi beban terhadap keluarga kerana kenaikan usia (52 peratus), mampu hidup bebas dan berdikari (51 peratus), serta kekal aktif secara fizikal (49 peratus).

“Penuaan sihat bukan sahaja dimaksudkan dengan kenaikan usia yang membawa jumlah penyakit yang terhad. Ia sebenarnya bermaksud kualiti hidup yang baik dari segi fizikal, rohani, sosial serta mental – dan ia boleh dicapai dengan mengorak langkah awal ke arah penuaan sihat menerusi perubahan gaya hidup yang positif,” jelas Steven.

Kebimbangan Melibatkan Penuaan

Lebih daripada separuh (64 peratus) pengguna Malaysia percaya bahawa perbincangan mengenai cara untuk menua secara sihat perlu bermula antara usia 30 dan 49. Alasan paling lazim yang digunakan untuk menangguh pembicaraan mengenai penuaan adalah mereka masih muda, disusuli dengan keutamaan yang diberikan ke atas kesihatan dan gaya hidup semasa mereka.

Bagi golongan yang mengkhuatiri isu penuaan, dua pertiga (64 peratus) pengguna mula dibelenggu dengan topik ini dalam lingkungan usia antara 30 dan 59, dengan isu melibatkan tulang dan sendi menduduki tangga teratas sebagai isu kesihatan spesifik yang dikhuatiri, disusuli dengan isu berkenaan dengan mata dan jantung.

Ketakutan yang Dikaitkan dengan Penuaan

Hanya 28 peratus pengguna Asia Pasifik telah meluahkan keyakinan bahawa mereka mampu menambah usia secara sihat. Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa pengguna Malaysia (44 peratus) secara amnya berasa lebih yakin.

Merentasi pelbagai kumpulan demografi, pengguna seperti Boomer+ (57 peratus), Milenial (43 peratus) dan Generasi Z (41 peratus) mempamerkan keyakinan yang lebih tinggi terhadap keupayaan mereka untuk menua secara sihat berbanding Generasi X (39 peratus).

Firasat yang dizahirkan bahawa mereka akan jatuh sakit akibat kelemahan imuniti muncul sebagai kebimbangan yang terbesar berkait dengan penuaan.

  • Dua dalam lima (36 peratus) responden bimbang mereka akan jatuh sakit kerana kelemahan imuniti selari dengan kenaikan usia.
  • Satu dalam lima (24 peratus) bimbang bahawa tanda-tanda penuaan yang kelihatan akan mengubah penampilan mereka.
  • Satu dalam sepuluh (10 peratus) bimbang mereka tidak mampu hidup secara berdikari kerana kemerosotan dalam keupayaan tubuh mereka.

Berkenaan dengan kesan berpotensi melibatkan penuaan yang akan dialami oleh pengguna:

  • 57 peratus responden percaya bahawa mereka akan mengalami kemerosotan dalam tahap kecerdasan mental;
  • 43 peratus percaya bahawa mereka berkemungkinan besar akan menghidap penyakit kronik atau akut;
  • 38 peratus percaya bahawa aktiviti fizikal mereka akan terbatas dan keupayaan tubuh mereka akan merosot selari dengan kenaikan usia.
Tinjauan Penuaan Sihat Asia Pasifik 2020

Mengorak Langkah ke Arah Penuaan Sihat

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna Malaysia memahami betapa pentingnya penuaan sihat, hampir sembilan dalam 10 pengguna (88 peratus) telah mengambil tindakan untuk memudahkan penuaan sihat. Langkah yang diambil meliputi:

  • Membuat pilihan pemakanan yang lebih baik (79 peratus).
  • Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dengan lebih kerap (56 peratus).
  • Melibatkan diri dalam aktiviti atau hobi merangsang minda (54 peratus).
  • Pergi ke pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap (50 peratus).
  • Mengambil makanan tambahan yang dapat membantu dalam perjalanan penuaan sihat (48 peratus).

Merentasi seluruh kumpulan demografi ini, sebahagian besar (93 peratus) pengguna yang berumur seperti Boomer+ telah mengambil langkah ke arah penuaan sihat berbanding golongan muda seperti Generasi X (87 peratus), Milenial (87 peratus) dan Generasi Z (87 peratus).

“Meskipun kita tidak mampu mengelakkan proses penuaan, langkah proaktif boleh diambil untuk membantu tubuh kita menambah usia secara lebih sihat. Hanya dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang betul, di samping melakukan aktiviti fizikal secara berkala, kita mampu menjurusi gaya hidup yang menunjangi penuaan sihat,” simpul Steven.


[1] http://healthyageing.org/index.php/are-we-ready-for-an-ageing-malaysia/

© 2023 BlackButterfly DesignArts