Tingkat Promosi Pelancongan Domestik, Jelajah ‘Pusing Selangor Dulu’ Ke Negeri Johor

Shah Alam, 3 Ogos 2022 – Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi promosi pelancongan rasminya, Tourism Selangor akan menganjurkan program promosi untuk pasaran domestik iaitu Jelajah Pusing Selangor Dulu ke Negeri Johor bagi tahun 2022. Program jelajah untuk kali ke-enam ini akan memulakan siri jelajah pada Tahun 2022 ke Negeri Johor di Paradigm Mall Johor Bahru yang akan bermula pada 13 dan 14 Ogos 2022.

Pada tahun 2019 dan 2020, Tourism Selangor telah melaksanakan program seumpama ini di beberapa buah negeri seperti Negeri Kedah, Johor, Perak dan Terengganu yang dahulunya program ini dikenali sebagai Jelajah Persona Selangor. Pada Tahun 2022 ini, Tourism Selangor mengambil inisiatif untuk mempergiatkan semula aktiviti promosi pelancongan domestik bersempena kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu kepada pelancongan tempatan terutama Selatan Semenanjung Malaysia.

En Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor dalam satu kenyataan berkata, “Jelajah Pusing Selangor Dulu – Johor 2022 ini lebih memfokuskan kepada pasaran pelancongan domestik di Negeri Johor yang telah mencatat kedatangan pelancong yang tertinggi ke Negeri Selangor pada tahun 2021 ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam tahun-tahun sebelum ini kerana ianya memberi peluang kepada produk-produk pelancongan Negeri Selangor memperkenalkan dan mempromosikan produk pelancongan mereka dengan jualan terus kepada orang ramai. Justeru itu, program ini dapat meningkatkan semula hasil pendapatan ekonomi pelancongan serta memajukan ekonomi pelancongan Negeri Selangor.”

“Untuk tahun ini, misi jelajah di negeri Johor terbahagi kepada 2 bahagian iaitu sesi Sesi Business to Business (B2B) bersama agensi pelancongan di Johor yang akan diadakan pada 12 Ogos 2022, dan sesi Sesi Business to Customer (B2C) yang akan dijalankan pada 13 dan 14 Ogos 2022 di Paradigm Mall Johor Bahru.” Tambah beliau.

Tingkat Promosi Pelancongan Domestik, Jelajah ‘Pusing Selangor Dulu’ Ke Negeri Johor

Pada siri jelajah yang akan datang ini Tourism Selangor akan menjalinkan usahasama bersama pihak Malaysia Airlines dan GM Klang sebagai rakan strategik. Malaysia Airlines bekerjasama dengan pihak Tourism Selangor melalui platform dan aplikasi ‘Journify’ (https://myjournify.com) manakala pihak GM Klang juga mengadakan usahasama untuk memperluaskan lagi jenamanya  sebagai pusat borong  terbesar melalui Tourism Selangor ke Negeri Johor.

Sebanyak 5 pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada Negeri Selangor akan mengambil bahagian di booth pameran jelajah seperti Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Klang.

Manakala sebanyak lebih 15 operator dan produk pelancongan akan mengambil bahagian dalam booth pameran dengan menawarkan jualan pakej pelancongan menarik dengan diskaun promosi sehingga 50% untuk para pengunjung seperti, Malaysia Airlines, GM Klang, Jumpstreet Malaysia, Chocolate Museum @ Kota Damansara, Selangor Fruit Valley, Farm in the City, HL Restaurant & Café, Sky Mirror, Avani Sepang Goldcoast Resort, Homestay Banghuris, Le Meridien Petaling Jaya, Park Inn by Radisson, The Blanket Hotels, dan Eastin Hotel.

Antara pengisian dan aktiviti menarik yang akan disediakan kepada para pengunjung pada siri jelajah ini adalah promosi kerjasama Tourism Selangor bersama Animonsta Studio melalui animasi BoboiBoy, Persembahan kebudayaan daripada Pertubuhan Kembara Anak Seni Selangor (PKAS) dan Orang Asal Kaum MahMeri, demonstrasi kraftangan, sesi ‘Meet & Greet’ bersama Che Puan Juliana Evans, Duta Pelancongan Kempen Pusing Selangor Dulu, sesi ‘Happy Hour’ dan banyak lagi.

© 2023 BlackButterfly DesignArts