the Curve Raih Anugerah Petaling Jaya Child Friendly City Excellence Award (PJCFCEA) 2024 daripada MBPJ

Diiktiraf kerana menerajui usaha membentuk persekitaran komersial mesra kanak-kanak di Petaling Jaya

the Curve Raih Anugerah Petaling Jaya Child Friendly City Excellence Award (PJCFCEA) 2024 daripada MBPJ

Petaling Jaya, 9 December 2024 –  the Curve – sebuah destinasi liburan kegemaran ramai di Petaling Jaya yang telah mempelopori beberapa inovasi dan konsep termasuk pusat beli-belah pejalan kaki pertama di negara ini – telah muncul sebagai pemenang Anugerah Petaling Jaya Child Friendly City Excellence Award 2024 – Kategori Komersial baru-baru ini. Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Haji Mohamad Zahri bin Haji Samingon dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengiktiraf dan meraikan organisasi dan ruang yang menerajui prinsip mesra kanak-kanak, memupuk keterangkuman, keselamatan, dan penglibatan untuk kanak-kanak dan juga keluarga.

Anugerah ini merupakan inisiatif utama di bawah usaha MBPJ untuk mengekalkan status Petaling Jaya sebagai bandar raya pertama Malaysia yang diiktiraf oleh UNICEF sebagai Bandar Mesra Kanak-kanak, sebuah inisiatif global yang mengiktiraf ruang bandar yang mengutamakan kesejahteraan, hak dan pembangunan kanak-kanak dalam proses perancangan bandar dan juga khidmat masyarakat.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan misi kami untuk mewujudkan persekitaran yang bertenaga, berpusatkan keluarga yang memenuhi pelbagai keperluan pengunjung kami. Sebagai pusat beli-belah kejiranan, kami memahami bahawa kehidupan keluarga memainkan peranan penting dalam setiap komuniti, dan kami berusaha untuk menjadikannya sebahagian daripada misi kami untuk memperkayakan kehidupan keluarga dan memupuk semangat hidup bermasyarakat di Petaling Jaya.” kata En. Jazmi Kamarudin, Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties Berhad.

Kira-kira 11% daripada Ruang Yang Boleh Disewa Bersih (Net Lettable Area /NLA) di the Curve dikhaskan untuk penyewa yang menawarkan produk atau perkhidmatan kepada kanak-kanak, dengan pelbagai jenis kedai jualan, pusat hiburan dan pembelajaran untuk kanak-kanak dan remaja. 

the Curve terkenal dengan ciri-ciri unik yang menggabungkan persekitaran yang mesra dan berpusatkan komuniti dengan kecanggihan moden. Laluan pejalan kaki berbumbung yang lebar, restoran dan kafe al-fresco, dan ruang yang luas membolehkan keluarga bersantai dan menikmati kemudahan yang disediakan dengan selesa. Menampilkan kedai-kedai khusus untuk kanak-kanak seperti Mothercare, Babyshop, Anta Kids dan Cotton On Kids serta hab hiburan seperti Moonbug Cocomelon Playground, The Little Gym dan Wan To Play, the Curve mengekalkan standardnya sebagai destinasi beli-belah yang mesra kanak-kanak. 

the Curve Raih Anugerah Petaling Jaya Child Friendly City Excellence Award (PJCFCEA) 2024 daripada MBPJ

Keselamatan dan kemudahan akses adalah penting dalam reka bentuk dan operasi the Curve. Keluarga boleh menikmati kemudahan yang disediakan seperti papan tanda jelas ke ruang kemudahan khas untuk keluarga, lantai anti-gelincir, serta laluan mesra kereta sorong dan kerusi roda. Selain itu, tempat letak kereta khusus untuk keluarga, pemandu wanita dan orang kurang upaya terletak dengan strategik berhampiran dengan lif dan dikawal oleh kakitangan keselamatan.

Pusat beli-belah ini juga mempunyai bilik penjagaan bayi yang dilengkapi dengan ruang menukar lampin yang bersih, kawasan menyusu anak yang tertutup dan perkakas penyediaan makanan, menawarkan ibu bapa persekitaran yang selesa untuk menjaga anak kecil mereka.

the Curve Raih Anugerah Petaling Jaya Child Friendly City Excellence Award (PJCFCEA) 2024 daripada MBPJ

the Curve merupakan sebuah hab yang meriah di mana keluarga boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan mencipta kenangan terindah. Ia menawarkan pelbagai acara mesra keluarga seperti Merdeka Food Run, Slide the Curve, bengkel membuat piza dengan Italiannies, sesi seni dan kraf, dan kelas lukisan untuk kanak-kanak autisme. Untuk memulakan sambutan musim perayaan hujung tahun, the Curve akan menganjurkan kempen Krismas ‘Gift of Joy” diikuti dengan Pesta Mengira Detik Ambang Tahun Baharu Ulang Tahun ke-20 pada 31 Disember 2024 untuk membawakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada semua.

the Curve Raih Anugerah Petaling Jaya Child Friendly City Excellence Award (PJCFCEA) 2024 daripada MBPJ

Selaras dengan matlamatnya untuk menjadi destinasi gaya hidup yang mudah dikunjungi, the Curve menawarkan sambungan yang lancar ke hab pengangkutan awam berdekatan, termasuk laluan pejalan kaki berbumbung ke MRT, perkhidmatan kereta bugi dan direktori digital yang mesra pengguna. Inisiatif ini memastikan pengalaman pengunjung adalah lebih menyeronokkan tanpa sebarang kerumitan dan seterusnya, mengukuhkan lagi kedudukan the Curve sebagai hab kejiranan yang boleh dipercayai.

Dengan usaha berterusan dalam berinovasi dan memperluaskan penawarannya, the Curve kekal komited untuk membawakan pembaharuan kepada pengalaman beli-belah, menyediakan lebih banyak ruang yang meriah, inklusif dan mesra keluarga untuk generasi akan datang.

© 2024 BlackButterfly DesignArts