Kuala Lumpur, 29 Mac 2024 – Türkiye menawarkan pelbagai pilihan percutian pada setiap musim buat pengunjungnya. Salah satu tarikan yang bertahan begitu lama di negara ini ialah tradisi mandian dan spa Turki terkenal yang sudah menjadi sebahagian daripada geografinya sejak zaman dahulu. Menikmati budaya mandian ini di Pamukkale, salah satu daripada landskap yang paling menakjubkan di dunia, ternyata merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang hanya boleh ditemui di destinasi luar biasa ini.
Travertines Denizli Pamukkale
Pamukkale, terletak di barat Türkiye iaitu kira-kira 20 kilometer dari Denizli, sememangnya satu keajaiban semula jadi yang sebenar dengan travertine seputih salji dan kolam berteres yang begitu mempesonakan menyerupai air terjun beku. Sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO, travertine berkenaan kelihatan seperti kelompok awan yang dihiasi dengan kolam air panas berlatarkan warna biru kehijauan. Berendamlah dalam kolam air mineral yang mempunyai ciri penyembuhan ini dan temui keindahan Pamukkale yang cukup menawan dengan lebih dekat.
Keajaiban Alam yang Mempesona
Dianggap sebagai destinasi impian untuk ramai pengunjung, Pamukkale terkenal dengan travertine seputih salji yang indah, yang terbentuk daripada interakasi antara oksigen dan air terma (panas). Gandingan sempurna antara sejarah dan alam semula jadi, travertine Pamukkale berserta air mineralnya, juga dipercayai memilki sifat penyembuhan. Setiap tahun, pengunjung dari seluruh dunia berpusu-pusu mengunjungi destinasi yang memukau pandangan ini, terpesona dengan landskap yang mengagumkan dan memenuhi keinginan untuk meremajakan diri. Harus difahami bahawa kebanyakan travertine adalah dilindungi lantaran strukturnya yang halus. Namun begitu, pengunjung bebas berjalan di beberapa kawasan travertine yang mengandungi kolam mandi kecil berbentuk teres. Untuk menjaga travertine tersebut, pengunjung haruslah membuka kasut dan stoking mereka sebelum memasuki kolam mandi berkenaan.
Air Penyembuhan Purba
Bersebelahan dengan travertine Pamukkale adalah Kota Purba Hierapolis yang mengagumkan, juga sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO. Sekitar 2,500 tahun lalu, Raja Eumenes II dari Pergamon yang terpesona dengan keindahan travertine tersebut, telah membina sebuah kota berhampiran kawasan berkenaan. Demi memperingati Hiera, isteri kepada Telephos iaitu pengasas legenda Pergamon, lantas wilayah berkenaan digelar Hierapolis. Dalam kesusasteraan, Hierapolis dirujuk sebagai Kota Suci, dan suasana mempesonakan bandar purba yang terpelihara dengan begitu baik sekali ini amat bertepatan dengan gelarannya. Saat anda meneroka teater, kuil, monumen air pancuran, makam, agora dan gimnasium, anda seakan-akan dibawa ke zaman silam dengan bersiar-siar di sepanjang jalanan berbatu yang wujud dua ribu tahun yang lalu. Beberapa kisah sekitar Ploutonium yang dipercayai menjadi pintu masuk ke neraka semasa Zaman Rom, juga agak menarik.
Kota Purba Hierapolis
Pengembaraan Abadi
Hierapolis dengan kewujudannya yang serba megah sekitar travertine tersebut, sudah sekian lama dianggap sebagai hab utama untuk penyembuhan dan kesejahteraan disebabkan kehadiran mata air panas menyegarkan di kawasan berkenaan. Sepanjang sejarahnya, Hierapolis terkenal dengan air panas untuk tujuan penyembuhan, dan berabad kemudian, kota purba tersebut terus menarik kehadiran pengunjung yang inginkan kualiti terapeutik dan meremajakan diri pada kolam air berkenaan. Berendam di dalam Kolam Purba yang dikelilingi oleh tiang antik dan marmar ternyata satu pengalaman unik. Menampilkan suhu sepanjang tahun sebanyak 36 darjah, Kolam Purba ini terkenal dengan gelaran Kolam Cleopatra – legenda menyatakan bahawa Ratu Mesir, Cleopatra yang terkenal itu pernah mandi di kolam tersebut. Manjakan diri dalam kehangatan air kolam, berenang di tengah-tengah runtuhan purba dan hayati persekitaran yang begitu asli.
Kolam Cleopatra di Pamukkale
Dari Kolam ke Muzium
Bangunan terkenal lain di Hierapolis termasuklah Teater Purba dan Muzium Hierapolis. Teater tersebut menyerlah antara teater pada Zaman Rom di lembangan Mediterranean disebabkan corak seni pahatnya yang tersendiri yang menggambarkan kisah-kisah mitologi serta keindahan bangunan pentas dan deretan tempat duduknya. Mengambil tempat di bahagian puncak teater yang mempesonakan ini sambil memerhatikan seluruh kawasan dalam serba ketenangan berjam-jam lamanya ternyata satu pengalaman yang begitu luar biasa. Mandian Rom, yang pernah menjadi pusat mandian air panas yang terkenal, telah diubah fungsinya sebagai muzium arkeologi. Di Muzium Hierapolis, anda akan temui koleksi artifak menarik yang ditemui sewaktu penggalian di kawasan runtuhan berhampiran seperti Laodikeia dan Tripolis. Khazanah ini dipamerkan di tengah-tengah struktur Mandian Rom berkubah yang mengagumkan, hasil binaan daripada batu blok travertine.
Teater Purba
– Cara ke sana: Sekiranya anda merancang perjalanan ke Pamukkale, penerbangan ke Lapangan Terbang Denizli Çardak ternyata mudah. Penerbangan harian dari Lapangan Terbang İstanbul mengambil masa kira-kira 1 jam dan 10 minit. Sebaik tiba, anda boleh menyewa kereta, mengambil teksi atau perkhidmatan shuttle untuk tiba ke Pamukkale dengan mudah dalam tempoh kira-kira satu jam.
– Mesti Lakukan: Untuk meningkatkan pengalaman anda di Pamukkale yang serba tenteram, cubalah aktiviti menyeronokkan seperti paragliding atau belon udara panas. Pengembaraan ini menyediakan perspektif yang mengagumkan tentang kota purba Hierapolis dan travertine yang serba menakjubkan.
– Mesti Lawat: Laodikeia, salah satu daripada Tujuh Gereja yang disebut dalam kitab Bible, terletak hanya 15 km dari Pamukkale dan Denizli. Ia merupakan tempat penting untuk dilawati di wilayah ini.
– Mesti Beli: Pamukkale yang masyhur dengan hasil tenunannnya, memang terkenal dengan kain Buldan yang dihasilkan daripada fabrik kapas menggunakan teknik tradisional. Lantaran teknik tenunannya yang unik dan pewarna yang dipilih dengan teliti, kain buldan terkenal dengan manfaat kesihatan yang dimilikinya, ketahanannya serta bersifat hypoallergenic.
– Mesti Makan: Hidangan yang paling digemari di bandar ini ialah kebab Denizli yang diperbuat daripada daging kambing berjus dan dimasak dalam ketuhar batu tradisional secara teliti. Anda juga boleh menikmati rasa enak gözlemes yang dibakar menggunakan kayu.
– Dan Jangan Lupa! Untuk memaksimumkan masa di Pamukkale, apa kata anda memilih penginapan berhampiran dengan kemudahan air panas. Anda boleh nikmati urutan yang menenangkan di sana, berendam di kolam air panas malah, memanjakan diri dengan mandian lumpur yang menyegarkan. Satu lagi tarikan popular di Denizli ialah Mata Air Panas Karahayıt di mana anda boleh berehat dan menyegarkan diri.