Temubual Bersama Sazwandi ‘Rider Super Bertanggungjawab’, Pemenang Grab Lejen 2022

Garb Lejen merupakan inisiatif Grab untuk memberi penghormatan dan ganjaran kepada pemandu dan rakan kongsi penghantaran Grab yang berusaha keras untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia dan seterusnya menjadi teladan sebagai seorang wira. Bersempena dengan ulang tahun ke-10 Grab, carian tahunan Grab Lejen kali ini telah mendapat hampir 1,500 penyertaan daripada rakyat Malaysia.

RAMARAMA telah berpeluang untuk menemubual salah seorang pemenang Grab Lejen iaitu Mohd Sazwandi Sumarti yang digelar sebagai ‘Rider Super Bertanggungjawab’. Sazwandi telah mengambil risiko untuk diberi semakan buruk kerana lewat menghantar makan semata-mata untuk membantu seorang warga emas yang pengsan ketika melintas jalan. Semoga sikap tidak mementingkan diri sendiri beliau dapat memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia melalui temubual ini.

Sila kongsikan dengan kami nama penuh anda dan serba sedikit tentang keluarga anda.
Nama saya Mohd Sazwandi Sumarti, berumur 26 tahun dan saya anak kedua dari 5 adik beradik. Saya juga telah mendiri rumah tangga selama 2 tahun.

Bolehkah anda berkongsi dengan kami sedikit tentang diri anda dan apa yang anda lakukan?
Saya bekerja sebagai seorang “office boy” sebelum ini. Selepas itu, saya bekerja sebagai Grab Rider secara penuh masa. Saya juga seorang videographer yang gemar mengambil video mengguna GoPro semasa dan selepas bekerja kerana saya suka merakam untuk mendapat aksi spontan.

Sudah berapa lama anda bekerja sebagai Grab Rider dan mengapa anda memilih bidang ini?
Saya sudah bekerja sebagai seorang Grab Rider selama dua tahun. Saya memilih bidang ini kerana fleksibiliti dan kebebasan yang diberikan. Dari sini juga, saya dapat mendisiplinkan diri untuk bekerja keras untuk keluarga saya.

Apakah cabaran yang telah anda lalui sebagai seorang Grab Rider dan bagaimana anda mencegahnya?
Selama dua tahun di bidang ini, saya telah menghadapi cabaran di mana komunikasi memainkan peranan yang penting. Pelanggan tidak sama, ada masa saya menghadapi dengan pelanggan yang kadang-kadang tidak memahami dan ada masa juga saya menghadapi dengan pelanggan yang sangat baik. Dari situ saya belajar untuk berkomunikasi secara tenang dan sopan. Selain dari itu, cabaran yang saya hadapi sepanjang menjadi seorang Grab Rider adalah saya sering dikejar anjing. Pada mulanya, saya takut. Tapi lama kelamaan selepas itu, saya tahu bagaimana untuk mengelakkan dan selamatkan diri.

Apakah pendapat dan pemahaman anda mengenai Grab Lejen?
Pemahaman saya mengenai inisiatif ini adalah Grab Lejen dapat memberi inspirasi pada orang ramai. Tidak kira agama dan bangsa. Inisiatif ini juga dapat memberi perspektif yang positif  di mana Grab Rider atau pun driver juga mempunyai sikap prihatin dan akan melakukan apa yang mereka boleh untuk membantu.

Bagaimana Grab Lejen memainkan peranan dalam memberi impak sosial yang positif pada anda dan pada kalangan orang ramai?
Grab Lejen adalah sebuah inisiatif yang berkongsi dengan orang ramai tentang kebaikan Grab Rider dan driver perolehi. Banyak video atau cerita yang telah tular mengenai rakan grab yang lain, di mana mereka sering bantu orang, tidak kira pelanggan atau tidak. Dengan adanya inisiatif seperti ini, penyampaian mesej di mana pertolongan harus diberikan dan untuk melakukannya dengan sepenuh ikhlas hati akan sampai pada orang ramai.

Anda telah memberi impak sosial dan servis yang baik sehingga dipilih sebagai calon untuk memenangi gelaran Grab Lejen 2022. Boleh anda kongsi dengan kami bagaimana anda memenangi hati rakyat?
Apa yang berlaku adalah saya mempunyai dua pesanan untuk dihantar.Tetapi saya secara tidak sengaja mengambil laluan yang salah di mana saya melihat seorang lelaki tua cuba melintas jalan dengan pejalan kaki. Tetapi saya teruskan perjalanan saya untuk menghantar pesanan pelanggan.  Semasa saya dalam perjalanan untuk menghantar pesanan makanan, naluri saya memberitahu saya untuk membantu orang tua itu. Dengan itu, saya patah balik dan melihat lelaki tua kelihatan seperti dia menghadapi masalah untuk memegang pejalan kakinya dan dia kemudian rebah di tepi jalan. Saya terpaksa lawan arus untuk membantu warga tua itu supaya saya dapat alihkan dia dari dilanggar kenderaan. Setelah selesai, saya mendapati yang dia tiada luka ataupun kecederaaa. Tetapi saya perasan ada darah keluar dari mulut dia dan dia juga mempunyai tiub kencing. Pada masa yang sama, 2-3 orang lagi datang untuk membantu dan salah seorang dari mereka mampu bertutur dalam bahasa mandarin dan menanya warga tua itu ke mana dia mahu pergi. Rupanya, dia mahu jalan balik ke rumahnya selepas mengambil ubat di klinik yang sejauh 8km. Kerana tidak sedap hati dan mulutnya penuh dengan darah, saya panggil ambulans dan tunggu hingga dia dibawa ke hospital.

 Anda berisiko diberi “rating” yang buruk untuk penghantaran lewat. Apakah objektif anda ketika itu?
Sejujurnya saya tidak peduli lagi ketika itu kerana rezeki ada dimana-mana sahaja. Niat saya adalah untuk menolong warga tua itu supaya dia tidak dilanggar oleh mana-mana kenderaan. Saya hanya mahu menyelamatkan dia dan tolong dia. Saya bernasib baik yang dua-dua pelanggan sangat memahami selepas saya meminta maaf dan beritahu sedikit apa yang telah berlaku yang menyebabkan makanan lewat dihantar.

Bagaimana perasaan anda setelah selesai membantu warga tua itu?
Saya berasa lega dan saya anggap semua ini sebagai takdir di mana saya secara tidak sengaja mengambil laluan yang salah hanya untuk menyelamatkan warga tua itu. Saya sebenarnya masih rasa resah. Saya sedang cuba mencarinya kerana saya ingin mengetahui kesihatannya tetapi saya tidak dapat mengesannya. Saya harap saya ada rezeki untuk berjumpa dengannya.

Pada pandangan anda, bagaimanakah kita sebagai Rakyat Malaysia boleh memberi inspirasi kepada org lain untuk berbuat baik?
Pada saya, inspirasi boleh didapati di mana-mana sahaja. Cuma kita mahu bertindak untuk membantu atau pun tidak. Tetapi saya berharap, jika sesiapa di luar sana yang ternampak situasi yang memerlukan pertolongan dari anda, janganlah teragak-agak untuk membantu. Percayalah, rezeki ada dimana-mana sahaja dan anda akan dapat balasan yang baik kerana niat baik anda.

Apakah nasihat yang boleh diberikan pada semua rakyat Malaysia?
Selalulah tolong menolong, tidak kira bangsa atau agama. Dengan adanya orang ramai yang bersikap baik, negara akan sentiasa harmoni dan aman.

Ikuti kisah-kisah Grab Lejen yang lain di https://www.grablejen.com.my/ms

© 2023 BlackButterfly DesignArts