Taylor’s University dan The Actors Studio Ijazah Konservatori Seni Persembahan Pertama Di Malaysia

Kuala Lumpur, 26 Februari 2020 – Atas dasar komitmen yang berterusan demi mengecapi kecemerlangan dalam bidang pendidikan, Taylor’s University menjalin usaha sama dengan The Actors Studio dengan melancarkan Program Ijazah Konservatori dalam Seni Persembahan yang pertama Di Malaysia. 

Ianya merupakan satu kejayaan bersejarah dalam bidang seni persembahan juga bagi pihak Taylor’s University & The Actors Studio (TUTAS). Program Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) yang ditawarkan ini dikelola oleh Taylor’s School of Liberal Arts & Sciences, melalui visi terasnya iaitu, membina inovasi, keterangkuman dan masyarakat bersifat reflektif menerusi seni dan sains sosial.

Program konservatori membolehkan para pelajar fokus kepada subjek yang dipilih, serta mampu mengembangkan pemahaman terhadap konsep seni serta berpeluang mempelajari latihan yang berkaitan dengan bidang pengkhususan mereka. 80% daripada Program Konservatori TUTAS ini melibatkan tugasan praktikal, para pelajar boleh memilih antara dua trek: Persembahan atau Teater Teknikal. Pemohon yang berminat perlu melalui proses uji bakat berpandu selama dua hari (kumpulan dan individu) sebagai syarat kelulusan masuk.

Modul program merangkumi persembahan, pengarahan, tarian dan muzik hingga ke teater teknikal, pencahayaan pentas, bunyi pentas, sinografi dan lain-lain. Program ini melibatkan pendekatan pembangunan profesional yang teliti untuk mempersiapkan para pelajar agar mereka dapat mengharungi kerjaya dalam seni teater dan persembahan. Para pelajar akan dididik tentang pendekatan teoretikal dan praktikal serta metodologi yang diguna pakai dalam seni teater yang dibimbing oleh barisan pakar-pakar industri seperti Joe Hasham OAM, Dato’ Dr. Faridah Merican, Chris Higgs, Ian Chow, Mark Beau de Silva, Omar Ali, Sandee Chew, Sayyid Shafiee, Tung Jit Yang dan Yusman Mokhtar.

“Seni persembahan memainkan peranan yang penting dalam masyarakat yang pada masa kini disajikan dengan pelbagai jenis informasi dan hiburan. Kita dapat menyaksikan kreativiti dan ekspresi diri individu semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat, dan kami ingin melihat landskap seni persembahan yang matang di Malaysia. Konservatori yang dilancarkan melalui usaha sama Taylor’s University dan The Actors Studio, dijenamakan sebagai TUTAS, bermatlamat untuk memupuk bakat-bakat individu agar mereka dapat menerajui industri ini di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujar Naib Canselor merangkap Presiden Taylor’s University, Profesor Michael Driscoll.

Profesor Michael juga memaklumkan bahawa para pelajar dapat memanfaatkan Rangka Kurikulum yang memberikan peluang kepada mereka mengembangkan skop pelajaran dengan mengambil minor atau kursus lanjutan dalam bidang lain yang diminati untuk meluaskan ilmu pengetahuan dan meningkatkan tahap kebolehpasaran para graduan. Antaranya ialah Minor dalam perniagaan, pendidikan, keusahawanan, pemasaran, rekaan media kreatif, atau psikologi, kursus lanjutan dalam muzik, tarian, persembahan atau teater teknikal.

Pelajar dapat meneroka pelbagai jenis kerjaya sama ada sebagai pelakon, pengarah, penulis skrip, pengajar, juruteknik, pereka kostum mahupun pengurus acara. Mereka juga dapat menubuhkan pusat latihan sendiri.

Di samping membimbing pelajar untuk menavigasi dunia seni persembahan, TUTAS turut memastikan pelajar diberikan akses kepada standard dan kemudahan bertaraf dunia di Taylor’s University dan klpac, yang meliputi pendedahan kepada ikon serta pakar industri, termasuk latihan industri di dalam dan luar negara.

“Kami yakin bahawa kerjasama yang terjalin ini mampu menyediakan satu platform yang tepat bagi para mahasiswa menghadapi landskap industri yang kian berubah serta memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang kekal relevan pada masa akan datang,” tambah beliau.

Sejak penubuhannya pada tahun 1989, The Actors Studio berjaya memainkan peranan yang penting untuk memupuk dan memperkasakan banyak syarikat dan individu yang terlibat dalam seni persembahan serta bertanggungjawab melangsungkan pertumbuhan arena seni persembahan Malaysia. Diasaskan oleh pasangan suami isteri, Dato’ Dr. Faridah Merican dan Joe Hasham OAM, kepakaran The Actors Studio masih tidak dapat ditandingi.

“Kolaborasi TUTAS ini amat bermakna dan bakal menjadi sebuah peristiwa bersejarah bagi industri seni persembahan Malaysia. Buat julung kalinya, Program Ijazah Konservatori  menawarkan dua trek persembahan dan teater teknikal,” ujar Dato’ Dr. Faridah Merican, pengasas bersama The Actors Studio.

“Masa hadapan industri seni persembahan negara ini bergantung kepada bakat-bakat kreatif generasi muda. Oleh itu, program Ijazah Konservatori Seni Persembahan TUTAS akan membantu untuk memastikan warga belia Malaysia dapat mengecapi kecemerlangan di tanah air dan di persada antarabangsa,” simpul Joe Hasham.

Sesi pengambilan pelajar baru Program Sarjana Muda Seni Persembahan TUTAS akan dibuka pada bulan Mac 2020, anda dijemput hadir ke sesi uji bakat pada 14 dan 16 Mac menerusi https://university.taylors.edu.my/performing-arts.html.

© 2023 BlackButterfly DesignArts