Sunway Property Pemaju Pertama Yang Bekerjasama Dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Dalam Inisiatif Rendah Karbon

Sunway City Iskandar Puteri di Johor dipilih sebagai perbandaran model untuk kerjasama rendah karbon pertama MBIP untuk kehidupan bandar yang mampan.

Sunway Property Pemaju Pertama Yang Bekerjasama Dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Dalam Inisiatif Rendah Karbon

Sunway City Iskandar Puteri, 25 September 2024 – Demi membina masa depan yang lebih hijau, Sunway Property dengan bangganya telah mengambil peranan sebagai pemaju pertama yang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menerajui inisiatif rendah karbon dalam Zon Rendah di Kawasan Iskandar Puteri. Kerjasama strategik ini mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua organisasi untuk memajukan Pelan Tindakan Iklim Iskandar Puteri 2030 (IPCAP 2030) yang bermatlamat untuk mewujudkan persekitaran bandar yang mampan dan mesra alam.

Kerjasama ini menandakan penjajaran strategik antara Sunway Property dan MBIP yang memfokus pada kemampanan, inovasi, dan peningkatan kehidupan bandar untuk perbandaran SCIP. Bersama-sama, mereka akan melancarkan inisiatif utama, seperti menyepadukan teknologi bandar pintar untuk mengurangkan pelepasan karbon, meneroka reka bentuk seni bina hijau, dan mempromosikan penyelesaian pengangkutan mesra alam yang akan mengubah pengalaman kehidupan bandar di SCIP.

“Di Sunway Property, kami berdedikasi untuk menerajui kemampanan dengan memperkenalkan penyelesaian inovatif rendah karbon yang sejajar dengan komitmen alam sekitar kami. Kerjasama dengan MBIP ini mengukuhkan usaha kami dalam membangunkan perbandaran model yang bukan sahaja merangkumi amalan hijau tetapi juga dengan usaha yang aktif ke arah objektif yang digariskan dalam IPCAP 2030. Misi kami jelas, iaitu untuk mewujudkan bandar rendah karbon yang bertenaga sambil menyumbang kepada visi Sunway Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” kata Encik Gerard Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif SCIP.

MOU ini mengetengahkan komitmen Sunway Property terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 11: Bandar dan Komuniti Lestari. Dengan usaha untuk memupuk persekitaran bandar yang inklusif, berdaya tahan dan mampan, Sunway Property mengukuhkan dedikasinya untuk membina komuniti bertenaga yang mengutamakan inovasi dan kemampanan untuk manfaat dan kehidupan yang lebih berkualiti untuk generasi akan datang.

Di samping itu, MOU tersebut turut menekankan peranan penting Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dalam memupuk minda rendah karbon dalam kalangan penduduk, perniagaan dan komuniti. Melalui jangkauan awam, Sunway Property menyasarkan untuk menginspirasikan budaya kemampanan dengan menonjolkan kepentingan peranan setiap individu dalam mengurangkan jejak karbon demi mencapai pelepasan karbon sifar menjelang pertengahan abad.

“Kerjasama dengan Sunway City Iskandar Puteri ini mengukuhkan dedikasi bersama kami untuk membina masa depan yang rendah karbon dan mampan. Dengan menggabungkan teknologi pintar dan amalan mampan, kami bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan karbon, kami juga dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk. MOU ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha untuk membina perbandaran lestari seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Iklim Iskandar Puteri 2030,” kata Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar MBIP.

Selain penambahbaikan infrastruktur, kerjasama ini juga akan memberi tumpuan kepada penglibatan komuniti melalui program pendidikan, pameran dan inisiatif yang dipacu kemampanan yang bertujuan untuk menginspirasikan kesedaran dan tindakan. Penilaian berterusan ke atas usaha ini akan memastikan Sunway Property dan MBIP kekal sejajar dengan matlamat kemampanan tempatan dan antarabangsa untuk memastikan Sunway City Iskandar Puteri kekal sebagai model untuk bandar pintar dan mampan generasi akan datang.

MOU ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-10 Sunway City Iskandar Puteri yang meraikan satu dekad pembangunan mampan dan inovasi untuk perbandaran itu.

Untuk maklumat lanjut tentang Sunway City Iskandar Puteri, dan projek yang sedang dijalankan dan yang akan datang, sila layari https://www.sunwaycityiskandarputeri.com/.

© 2024 BlackButterfly DesignArts