Subang Jaya, Bandar Moden Penuh Tarikan Pelancongan

Sejak dibangunkan pada tahun 1976, Subang Jaya kini menjadi kawasan yang maju dan moden. Bandar Subang Jaya telah menerima status sebagai sebuah Bandaraya susulan pengisytiharan naik-taraf Majlis Perbandaran Subang Jaya kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Bandaraya ini sangat unik dan menarik kerana dilengkapi dengan pelbagai aspek seperti kemudahan pengangkutan awam yang baik serta kawasan institusi pengajian tinggi seperti kolej dan universiti, pusat membeli-belah dan komersial, hospital, kawasan hiburan dan banyak lagi. Oleh itu, berikut merupakan keunikan Bandaraya Subang Jaya yang perlu anda ketahui:

1) BANDAR MINES WELLNESS

Bandar Mines ini dirasmikan pada tahun 2011 oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang kini merupakan sebuah bandar peranginan dan kesihatan. Tempat ini terkenal dengan hotel-hotel mewah, tempat penjagaan kesihatan yang berkualiti, dewan besar dan banyak lagi. Destinasi pelancongan yang sering dikunjungi di Mines Wellness City adalah seperti The Mines Golf Club and Resort, The Mines Beach Resort & Spa, Malaysia International Exhibition & Showroom (M.I.N.E.S), The Mines Shopping Fair, dan juga The Mines Waterfront Business Park.

2) BANDAR SUNWAY

Bandar Sunway terkenal sebuah kawasan pelancongan yang menarik yang boleh dikunjungi. Antara tarikan di sini adalah taman tema air Sunway Lagoon yang digabung dengan taman hiburan, rumah hantu serta taman hidupan liar. Terdapat juga pusat membeli-belah Sunway Piramid yang menawarkan aktiviti ice skating, memanah, permainan boling dan banyak lagi selain daripada aktiviti membeli-belah. Terdapat juga Sunway Pyramid Hotel, Sunway Resort Hotel and Spa, Sunway Clio Hotel, Sunway Medical Centre, dan juga Sunway University di Bandar ini.

3) BANDAR PUCHONG

Bandar Puchong telah wujud hampir 120 tahun yang lalu di mana ia bukan sahaja terkenal dengan sektor ekonomi dan indusrti, malah juga sektor pelancongan. Tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Bandar Puchong ini adalah seperti Farm in The City, Muzium Warisan Melayu, kawasan mural atau seni jalanan yang menarik untuk bergambar, pusat aktiviti lasak Enerz Extreme Park, galeri jahitan pertama di Malaysia; Sewing World Gallery, Taman Saujana Hijau untuk aktiviti santai dan banyak lagi.

4) KAWASAN INSTITUT PENDIDIKAN TINGGI

Bandaraya Subang Jaya juga merupakan hab pendidikan tinggi yang mana ia mempunyai banyak kolej dan universiti antarabangsa yang terkenal seperti Kolej Taylor’s University, Kolej Inti, Kolej Segi, Kolej ALFA, Kolej Metropolitan dan banyak lagi. Jika anda ingin menyambung pelajaran anda ke peringkat yang lebih tinggi, Bandaraya Subang Jaya mempunyai banyak insititut pengajian tinggi ternama yang boleh anda pertimbangkan.

5) MEDICAL AND WELLNESS

Bandaraya Subang Jaya merupakan destinasi pelancongan perubatan dan kesihatan terkemuka Negara. Terdapat beberapa hospital terkemuka di Subang Jaya seperti QHC Medical Centre, Subang Jaya Medical Centre dan Sime Darby Medical Centre. Bukan itu sahaja, terdapat juga pusat kecantikan dan spa yang boleh dikunjungi seperti Beauty Palace Muslimah Spa, SOTHYS Premium Facial, De Skin Beauty Saloon, Ridz Okumura Salon dan banyak lagi.

6) SS15

SS15 terkenal sebagai hab makanan dan kedai-kedai hipster untuk anda luangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan. Jika singgah di SS15, anda boleh ke kedai makan dan kafe terkenal seperti Rojak dan Cendol SS15, Xing Fu Tang, Nasi Lemak Warisan Sambal Opah, Gold Chilli, Mezcla Burrito Bar, Warung Cikgu, kedai Korea K Street Café dan banyak lagi. Di sini boleh diibaratkan sebagai syurga makanan kerana terdapat banyak pilihan makanan yang digemari para “food hunter”.

Bandaraya Subang Jaya bukan sahaja moden dan pesat membangun malah pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya juga berusaha mengekalkan kawasan persekitaran yang harmoni dan bersih serta sering mengadakan program dan karnival seperti “Kayuhan Jom Sihat”, aktiviti senamrobik, program penanaman pokok, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan banyak lagi. Akhir kata, pihak Tourism Selangor mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah atas pengisytiharan naik-taraf status Majlis Bandaraya Subang Jaya.Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

© 2023 BlackButterfly DesignArts