You are currently viewing SMK Iskandar Shah menang pertandingan ‘DIY Made Simple’ peringkat kebangsaan ke-5

SMK Iskandar Shah menang pertandingan ‘DIY Made Simple’ peringkat kebangsaan ke-5

Kuala Lumpur, 8 Disember 2021 — Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Jasin, Melaka muncul sebagai juara pertandingan `DIY Made Simple 2021’ ke-5, anjuran peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Bhd (“MR D.I.Y”) bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares). Juara pertandingan peringkat kebangsaan ini diumumkan ketika majlis penutupan yang diadakan di Universiti Malaya (UM) hari ini.

‘DIY Made Simple’ merupakan pertandingan tahunan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pertandingan ini mengajak para pelajar sekolah menengah untuk mencari cara dan kaedah bagi membaik pulih kemudahan sekolah mereka dengan projek do-it-yourself (DIY) menggunakan bahan kitar semula. Sekolah yang bergelar juara telah mengalahkan 105 buah sekolah yang lain dari 13 negeri pada pertandingan tahun ini yang bertemakan “Green School – Reimagining Plastic Waste For the 21st Century Classroom”.

Pasukan yang terdiri daripada 10 orang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah membawa pulang Hadiah Emas berupa wang tunai bernilai RM4,500 untuk projek ‘Mobile Recycle Bin’ mereka. Kolej Profesional Dungun, Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra, Melaka seri di tempat kedua dan memenangi Hadiah Perak berupa wang tunai bernilai RM3,000 untuk setiap kumpulan. Selain hadiah wang tunai, piala dan sijil, 5 finalis yang menyertai Peringkat 3 ini turut memenangi baucar MR.D.I.Y. sebanyak RM500, manakala ketiga-tiga pemenang turut memenangi baucar MR.D.I.Y. sebanyak RM1,500.

Pertandingan ‘DIY Made Simple’ tahun ini dilancarkan pada Januari 2021 dalam empat peringkat. 105 pasukan telah mendaftar dan menghantar video mereka ketika peringkat pertama. Kemudian, sekumpulan juri yang terdiri daripada wakil dari Universiti Malaya (UM), MR D.I.Y., dan KPM menilai semua penyertaan dan menyenarai pendek 28 pasukan untuk pembentangan kertas kerja dalam Peringkat Dua. Lapan finalis kemudian dipilih untuk Peringkat Tiga di mana pasukan bekerjasama dengan pensyarah dari Fakulti Alam Bina UM untuk menukar idea mereka menjadi realiti. Peringkat Empat, iaitu Peringkat Akhir, diadakan pada hari ini untuk mengumumkan pemenang.

Bercakap ketika upacara pemberian hadiah yang diadakan di UM hari ini, Pengerusi MR D.I.Y. Group, Dato’ Azlam Shah Alias berkata, “Kami gembira dengan pencapaian dan kerjasama kami bersama UM yang berjaya sepanjang lima tahun ini, dan ini merupakan pengalaman yang amat mengagumkan. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada pertandingan ini dan pencapaiannya menyemai kesedaran amalan hijau termasuk budaya kerja do-it-yourself (DIY) dalam kalangan generasi muda, selaras dengan matlamat kelestarian MR D.I.Y., di bawah teras alam sekitar. Terima kasih kami ucapkan kepada UM kerana menganjurkan pertandingan ini dan KPM atas sokongan yang diberikan. Secara keseluruhannya, semua ini adalah untuk mendidik generasi muda kita bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk Malaysia yang lebih baik, dan kami berharap untuk terus melakukannya pada masa akan datang.”

Berkata yang ‘DIY Made Simple’ bukan sekadar satu pertandingan, Dato’ Azlam juga menegaskan bahawa para pelajar dan sekolah sudah semestinya mendapat manfaat yang banyak daripada pertandingan ini. Pertandingan ini bukan hanya mencabar kreativiti dan kemahiran berfikir secara kritis para pelajar untuk menginovasi ciptaan yang lestari dan luar jangkaan tetapi juga menggalakkan perkembangan kemahiran insani seperti komunikasi, kerjasama berpasukan dan kepimpinan. “Sepanjang pertandingan, saya gembira melihat para pelajar dapat meningkatkan perkembangan peribadi mereka disamping memperbaiki kemahiran insani. Selaras dengan budaya DIY, kami berharap para pelajar dapat menyumbang kemahiran mereka untuk kebaikan masyarakat. Ia bermula dengan membantu membaik pulih kemudahan sekolah mereka, dan sentiasa memelihara persekitaran yang kita diami. Apabila dewasa, kami berharap akan dapat melihat mereka menjadi individu yang mempunyai semangat kemasyarakatan yang kuat, yang bersedia membantu mereka yang memerlukan,” kata Dato’ Azlam.

Prof. Dr. Sabri Musa, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Universiti Malaya berkata, “Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak halangan untuk aktiviti perkembangan para pelajar, terutamanya ketika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di seluruh negara. Sejak tahun lepas, kami telah mengubah suai Pertandingan ‘DIY Made Simple’ dan walaupun ketika pandemik, kami gembira kerana pertandingan ini masih mendapat sambutan daripada sekolah di seluruh Malaysia. Kami kagum dengan para pelajar yang telah menunjukkan keberanian dan keazaman mereka untuk cemerlang dalam apa jua keadaan. Tahniah kepada jawatankuasa penganjur, kerana telah mengubahsuai pertandingan ini dengan cermat dan baik sekali bagi meneruskan misi kami untuk menggalakkan aktiviti kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar.”

Acara hari ini menjadi lebih bersejarah dengan pelancaran buku bertajuk “DIY Projects: Design Ideas For Community”, yang mengumpulkan projek yang telah memenangi pertandingan DIY Made Simple dari 2017 hingga 2020. Penerbitan buku ini adalah sebagai tanda peringatan kerjasama antara MR D.I.Y. dan Universiti Malaya dari 2017 hingga hari ini.

“Kami harap MR D.I.Y. akan terus bekerjasama dengan kami sebagai rakan akademik, untuk menjayakan program untuk manfaat masyarakat. Projek kemasyarakatan seperti ‘DIY Made Simple’ tidak akan berjaya tanpa sokongan pelbagai pihak. Dalam usaha berterusan kami untuk memajukan negara, kami berharap untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak di bawah “quadruple helix collaboration”, yang merangkumi universiti, komuniti, industri, dan kementerian dalam menghasilkan program sedemikian pada masa akan datang,” tambah Prof. Dr. Sabri Musa.

Ketika upacara penutupan, pihak penganjur turut mengumumkan “DIY Made Simple 2022” ke-6 yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai MR D.I.Y., layari laman sesawang www.mrdiy.com, dan media sosial, Facebook, dan Instagram.