Skuad PUBG Mobile Baharu Yoodo Alliance Sedia Bertempur

Telco Paling Dominan Bagi esukan, Yoodo Berganding Bahu Dengan Gergasi esukan Antarabangsa, Alliance Dalam Satu Usahasama Epik

5 OGOS 2021, KUALA LUMPUR – Para pejuang Yoodo Alliance telah bersiap sedia untuk bertempur! Yoodo, perkhidmatan mudah alih digital sepenuhnya dan boleh diubahsuai yang pertama di Malaysia, telah mengumumkan usahasama strategik bersama Alliance, sebuah organisasi esukan ternama yang berpengkalan di Sweden, untuk dengan bangganya memperkenalkan pasukan PUBG Mobile terbaharu mereka: Yoodo Alliance.

Yoodo Alliance - Skuad PUBG Mobile

“Kami amat teruja untuk berkongsi fasa seterusnya perjalanan Yoodo dalam esukan dan gaming dengan pengumuman Yoodo Alliance,” kata Chow Tuck Mun, Ketua Yoodo. “Sepanjang evolusi Yoodo dalam arena esukan, kami sentiasa menumpukan usaha kami dalam memperkasakan para pemain muda di seluruh Malaysia. Kini, dengan penubuhan Yoodo Alliance, kami berbangga untuk mengetengahkan generasi baharu bagi jaguh handalan PUBG Mobile.”

Tuck Mun turut menambah bahawa ini adalah kali pertama bagi Alliance memasuki pasaran esukan Malaysia, satu bukti bahawa arena esukan di Malaysia telah berkembang pesat untuk menarik perhatian pihak antarabangsa. “Yoodo amat berbangga untuk bekerjasama dengan organisasi terkenal dan ternama di peringkat antrabangsa seperti Alliance. Kami menyasarkan untuk lebih memperkuat dan mendorong bakat tempatan untuk mengharumkan nama Malaysia dalam arena esukan di peringkat dunia.”

Alliance mempunyai latar belakang yang kukuh dalam esukan sejak tahun 2013, dengan lebih 4 juta peminat di seluruh dunia yang sentiasa menyokong organisasi tersebut yang telah, antaranya melahirkan pasukan juara dunia bagi kejohanan Dota 2, mempunyai pemainnya Armada (Adam Lindgren) yang menjadi pemain ke-10 dalam sejarah dimasukkan ke dalam Esports Hall of Fame, serta menjadi pasukan 5 teratas di peringkat global bagi Dota 2, PUBG Mobile, Apex Legends dan Wild Rift.

Yoodo Alliance - Skuad PUBG Mobile

Mengulas tentang pengumuman tersebut, Jonathan Berg, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance berkongsi bahawa organisasi tersebut amat teruja untuk membantu meningkatkan bakat esukan Malaysia bersama-sama Yoodo. “Kami amat berbangga untuk bekerjasama dengan telco paling dominan dalam industry esukan di Malaysia. Seperti rakan kongsi kami, kami juga komited dalam mengembangkan bakat dalam Yoodo Alliance. Dikukuhkan dengan pengalaman kami yang luas dalam esukan, Alliance berfokus untuk menghasilkan pemenang serta meningkatkan lagi perjalanan mereka dalam arena esukan. Memandangkan ini merupakan kali pertama bagi Alliance untuk memasuki rantau Asia Tenggara untuk PUBG Mobile, kami berharap salam perkenalan ini akan memberikan impak yang besar untuk seterusnya berkembang di sini, bermula di Malaysia!”

Masih segar dengan kemenangan di PUBG Mobile National Championship (PMNC) 2021, pasukan yang dinamik ini terdiri daripada: Muhammad Zalmi Hakim Bin Azhar (dengan nama dalam game, atau In-Game-Name, IGN: KIMZ); Muhammad Haikal Adam Bin Razak (IGN: LEX); Muhammad Fahmi Bin Farizal (IGN: PAMI); Mohd Hafizuddin Bin Suaini (IGN: DINX); dan Muhammad Afiq Haikal Amiludin (IGN: TEMAH).  Pasukan ini akan diuruskan oleh Alliance apabila mereka menyertai pelbagai perlawanan PUBG Mobile yang mendatang.

Yoodo Alliance - Skuad PUBG Mobile

Bersama-sama, ahli pasukan ini telah bersedia untuk berjuang di medan pertempuran di bawah panji Yoodo Alliance buat pertama kalinya di PUBG Mobile Pro League (PMPL) MYSG Musim Ke-4, yang akan bermula pada 24 Ogos 2021.

“Pengumuman ini membuktikan sokongan padu Yoodo dalam melahirkan generasi seterusnya dalam bakat esukan,” sambung Tuck Mun. “Menyokong bakat tempatan sentiasa menjadi fokus utama kami ketika Yoodo terus berkembang dan berevolusi, bukan sahaja dalam esukan, bahkan dalam segmen gaya hidup yang lain seperti sukan, muzik dan hiburan, mahupun KPop. Kami tidak sabar untuk melihat keupayaan Yoodo Alliance dan kami berharap para peminat akan menyokong pasukan baharu kami!”

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang rasmi Yoodo di www.yoodo.com atau platform khas yang Yoodo sediakan untuk esukan dan gaming di www.facebook.com/yoodoesports.

© 2023 BlackButterfly DesignArts