Signature Market Meneruskan Perjalanan Lestari Mereka dengan Pelancaran Butik Pengalaman Biofilik yang Pertama pada Julai ini

Sebagai sebuah hab yang menghubungkan komuniti kejiranan, kedai yang baru diperkenalkan itu menyasar untuk memberikan sedikit ketenangan dan lari daripada kesibukan bandar menerusi elemen biofilik

Kuala Lumpur, 15 Julai 2022 — Julai ini, Signature Market akan melancarkan butik pengalaman atau ‘experience store’ flagship mereka di Arcoris Mont Kiara. Dilengkapi dengan ruangan yang khusus untuk karya seni di dalam persekitaran mesra alam sekitar, butik  baharu itu bakal menempatkan beberapa jenama termasuklah  Plant Origins Experience Store dan SEE Cafe yang baru dilancarkan, menawarkan pengalaman unik kepada rakyat Malaysia.

Inspirasi di sebalik butik pengalaman Signature Market ini bertitik tolak daripada komitmen jenama itu untuk membantu pelanggan setia mereka dengan menyediakan sebuah ruang yang berupaya meningkatkan tahap kesihatan mental dan rohani mereka. Sebagai sebuah jenama yang sangat menitikberatkan gaya hidup sihat, sememangnya menjadi matlamat pengasasnya untuk kedai ini menggabungkan elemen biofilik yang dapat menggalakkan kesihatan mental dan fizikal.

“Di Signature Market, kami percaya bahawa kehidupan sihat bukan sahaja mengenai pemakanan sihat dan senaman. Butik pengalaman (Experience Store) ini membuktikan komitmen kami dalam usaha membantu alam sekitar dan masyarakat, sebab itulah kami telah mencipta sebuah ruang yang dapat memberikan sebuah pengalaman yang tenang dan santai, termasuklah ruang peribadi yang disediakan khusus sesuai untuk melepaskan lelah dengan tenang selama beberapa jam. Kami percaya bahawa tiada yang lebih penting selain daripada menjaga kesihatan mental kita, oleh itu kami berharap agar para pelanggan kami yang berkunjung ke ruangan ini boleh mengambil peluang untuk lari daripada kesibukan, berehat dan berhubung dengan diri mereka sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Signature Market, Edwin Wang.

Di dalam kedai itu, para pengunjung akan menemui sebuah ruang galeri seni dan bengkel peribadi yang menganjurkan pelbagai sesi menarik pada setiap minggu yang dibuka kepada umum. Di tengah-tengah butik tersebut, terdapat sebuah tangga yang direka bentuk indah (dinamakan sebagai ‘stairs of abundance’) yang menampilkan karya seni daripada tumbuh-tumbuhan hiasan dalaman sebagai simbol maksud limpahan nikmat yang sebenar – di mana semua orang akan menjadi bertambah makmur apabila mereka bersatu padu.

Apabila pelanggan melangkah jauh ke dalam kedai tersebut, mereka akan menjumpai sebuah bilik tersembunyi yang direka khusus untuk Plant Origins, jenama di bawah naungan Signature Market. Bagi mereka yang telah membuat janji temu, mereka boleh mengikuti sesi aromaterapi secara peribadi yang membolehkan mereka merasai sendiri pengalaman menggunakan minyak essential jenama itu, yang mewujudkan suasana tenang dan mesra kepada semua pengunjungnya. 

Signature Market Experience Store turut menempatkan SEE Cafe baharunya yang menghidangkan kopi istimewa yang disediakan oleh barista terkenal seperti David Leong Weng Wai dan Cino Lim dari Barista Guild Asia – sebuah pusat latihan kopi, penganjur kejohanan kopi, dan rakan jenama FMCG ini. Selain daripada mempunyai kepakaran dalam seni pembuatan kopi, Barista Guild Asia telah mencipta mocktail  100% berasaskan tumbuhan pertama di Malaysia menggunakan sirap buah-buahan yang ditapai, yang hanya boleh didapati secara eksklusif di SEE Cafe.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan, kafe biofilik ini turut menawarkan pelbagai jenis kek yang serba indah, sarapan berasaskan tumbuhan dan hidangan yang pastinya memikat selera, serta minuman gaya hidup yang digabungkan dengan snek enak Signature Market – menjadikannya sebagai tempat yang paling sesuai untuk rakan-rakan dan keluarga berhimpun, bertemu, dan juga mengadakan majlis keraian.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini, sila kunjungi Signature Market dalam Instagram, Facebook, YouTube, atau laman sesawang rasminya.

© 2023 BlackButterfly DesignArts