You are currently viewing Signature Market memperkasa wanita untuk menjadi ‘UNIQUECORN’

Signature Market memperkasa wanita untuk menjadi ‘UNIQUECORN’

Jalinan kerjasama antara jenama antarabangsa dan tempatan bagi menyemarakkan bulan kesedaran kanser payudara

Kuala Lumpur, 21 September 2021: Jenama barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) terus ke pengguna (DTC) tempatan, Signature Market bakal menganjurkan kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), “Be A Uniquecorn: Embrace Your Uniqueness, Be Your Own Unicorn” disasarkan kepada komuniti setempat dalam usaha mendukung bulan kesedaran kanser payudara. Signature Market juga bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) dan jenama-jenama gaya hidup terkemuka yang lain dalam menjayakan kempen ini.

Menyentuh stigma masyarakat berkaitan dengan kanser, antaranya keguguran rambut, hidup dibelenggu ketakutan, perasaan disisih, terasing dan lain-lain menjadi satu perkara yang amat digeruni. Tidak kira apa jua yang sedang dialami individu terlibat, penting untuk mereka menghadapinya dengan sokongan yang bersesuaian. Untuk belajar menerima dan merasa selesa dengan tubuh sendiri semasa dan selepas rawatan kanser adalah suatu perjalanan bersifat peribadi, yang berbeza bagi setiap wanita. Perubahan pada corak pemikiran amatlah penting agar setiap wanita berani berdiri teguh dan melawan penyakit dan meneruskan kehidupan.

Menyedari kepentingan sokongan moral yang sesuai dalam membantu mereka bangkit semula,  Signature Market dengan visinya untuk menyebarkan ajaran kehidupan yang harmoni akan memainkan peranan penting dalam kempen, ‘Be A Uniquecorn’. Ini bertujuan untuk memperkasakan wanita menerima perbezaan rupa dan bentuk fizikal yang menjadikan setiap individu itu cantik dan unik dengan cara tersendiri. Sehubungan dengan itu setiap wanita layak untuk menjadi ‘Uniquecorn’, seperti mana yang ditekankan Signature Market sejak dari awal penubuhannya.

“Kempen ini dijalankan dengan hasrat memberi kesedaran kepada setiap wanita tanpa mengira cabaran yang dilalui, bahawa pentingnya dalam menerima setiap keunikan yang ada pada diri mereka dan untuk sedar bahawa mereka tidak bersendirian. Di Signature Market, kami menekankan kepentingan untuk membantu dan menjadi penyokong yang kuat dalam pelbagai cara terutamanya terhadap wanita yang sedang melawan kanser. Kami juga berharap kempen ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelanggan,dengan harapan mereka akan lebih prihatin dan dapat merasakan kasih sayang yang tidak terhingga daripada pihak kami,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Signature Market, Edwin Wang.

Mana-mana wanita pastinya sukar untuk menerima kenyataan sekiranya didiagnos dengan penyakit kanser payudara. Tetapi tidak bagi Aimi Yusoff, yang didiagnos menghidap kanser payudara tahap 4. Beliau tidak pernah sekalipun berputus asa untuk melawan penyakitnya. Sepanjang 7 tahun beliau menjalani rawatan sehingga sekarang, beliau sentiasa berusaha sedaya upaya melawan kanser walaupun adakalanya merasa seperti ingin menyerah kalah. Berkat sokongan dan kasih sayang yang berharga daripada ahli keluarga dan rakan-rakan, beliau terus berdiri dan bertarung dengan sekuat mungkin.

“Sebagai seorang pesakit kanser, saya ingin mengingatkan semua bahawa amat penting untuk kita mengenali tubuh badan sendiri serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Saya percaya bahawa pencegahan awal dapat menyelamatkan nyawa. Apa jua yang kita sedang hadapi dalam kehidupan,cara pemikiran kita memainkan peranan penting berbanding masalah itu sendiri. Itu adalah motto yang mendorong semangat saya untuk terus berjuang. Walaupun tidak dinafikan proses kemoterapi amat meletihkan dari segi fizikal, tetapi dengan pemikiran yang positif, ia dapat menaikkan semangat saya untuk terus berjuang. Kempen dan inisiatif mengenai kanser payudara harus diperbanyakkan kerana ia ternyata dapat melakukan perubahan dalam kehidupan ribuan wanita di luar sana,” kata Aimi Yusoff, Duta Kanser Payudara ‘Pink Ribbon’.

Sementara itu, Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Dr Mastura Md Yusof menekankan bahawa penyakit kanser mempunyai kadar sembuh yang tinggi jika dikesan lebih awal dan diberi rawatan yang betul pada waktu yang tepat oleh khidmat pakar. Amatlah penting bagi kaum wanita untuk memeriksa payudara mereka secara berkala bagi melihat sebarang perbezaan kerana ternyata hanya diri sendiri yang lebih tahu akan rupa dan bentuk payudara sendiri. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor penyumbang yang lain, antaranya gaya hidup seperti diet yang kurang sihat, berat badan berlebihan atau obesiti, kekurangan aktiviti fizikal, pengambilan alkohol yang berlebihan, merokok, dan pengambilan suplemen hormon yang boleh dikawal kendiri dalam mengurangkan risiko kanser payudara. Di samping itu,  mempunyai sejarah keluarga yang menghidap sebarang penyakit kanser terutamanya kanser payudara juga meningkatkan lagi risiko.

“Oktober ini, bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, kami akan terus menzahirkan sokongan, bukan sekadar menunjukkan pentingnya meningkatkan kesedaran tetapi juga untuk menyeru supaya semua pihak agar bertindak kepada wanita, masyarakat, kerajaan dan sektor korporat untuk menganjurkan aktiviti pengesanan awal kanser payudara. Ini merupakan satu masa yang tepat untuk kita bersama-sama memberikan sokongan moral dan mendorong mereka ke saluran yang betul dengan berkongsikan pengalaman dan harapan kepada wanita lain yang menempuh perjalanan yang sama. Kami mahu mereka menerima cabaran tersebut dengan melihat secara lebih dalam dengan menerima keunikan diri mereka yang tersendiri,” tambah Dr. Mastura.

Sempena dengan kempen ‘Be A Uniquecorn’ ini, Signature Market akan memperkenalkan jualan edisi khas, iaitu pakej ‘Be A Uniquecorn’ berharga RM35 dan akan dijual bermula 1 Oktober sehingga akhir bulan. Sebahagian daripada hasil penjualan pakej tersebut akan disalurkan ke BCWA. Sebanyak 12 jenama gaya hidup juga akan turut serta dalam kempen ini. Antaranya ialah Marc Jacobs parfum, Chloé parfum, Philosophy, Hair Atelier, XIXILI, Benefit Cosmetics, Agrain, Alcosm, Mis Claire, Neutrovis, Machine, dan Under Armour. Orang ramai digalakkan untuk menyokong kempen ini dan meraikan keunikan setiap wanita. Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti yang akan diadakan sepanjang bulan, kunjungi Instagram rasmi Signature Market, @signaturemarket.