Siapakah Yang Berjaya?

Siapakah Yang Berjaya?

Perspektif kejayaan ini luas. Namun kita seringkali dijumudkan oleh doktrin takrif kejayaan dengan jutawan, kekayaan, hartawan dan tahap kewangan.

Apakah maksud kehidupan yang berjaya? Jawapan yang bakal kita dapat dari soalan ini pasti berbeza-beza.

Apa pun jawapan itu, bergantung kepada bidang, skop tugas, tanggungjawab serta keinginan.

Tujuan saya berkongsi ini ialah untuk memberikan satu penilaian dari sudut yang agak berbeza.

Jika semua manusia dinilai dari segi “kejayaan” wang ringgit atau dari segi tahap “jutawan” dan “hartawan”, sebab itulah ramai yang hanya akan ke ceramah atau taklimat oleh jutawan. Apa yang “jutawan” cakap semua betul dan menjadi ikutan. Sebab apa? Sebab dia jutawan ataupun sebab dia berjaya bagi ramai oranh jadi jutawan.

 Tidak salah sama sekali menjadi jutawan dan hartawan, dan itu ialah salah satu penilaian namun, tetapi apa yang saya cuba ketengahkan ialah kita jangan memandang enteng kepada kerjaya lain yang mungkin tidak menjadikan individu itu jutawan. Tetapi ada kejayaan masing-masing. 
Jika semua manusia ingin menjadikan objektif sebagai jutawan dan usahawan, siapa yang akan mengajar anak anda disekolah? Siapa yang akan membuat jalan raya untuk anda bergerak bertemu jutawan tadi? Siapa yang akan menjaga kaunter membayar bil telefon anda untuk anda menghubungi jutawan?

Siapa yang akan jaga pintu pagar sekolah? Siapa akan memandu bas atau van anak ke sekolah? Siapa yang akan membasuh kenderaan anda di kedai basuh kereta sebab anda dah jadi jutawan dan tiada masa basuh kereta?
Siapa nak masak di kantin sekolah? Siapa nak jadi DJ ketika anda memandu? Siapa nak jadi imam solat subuh sebelum anda ke sekolah? Siapa nak jaga kaunter tiket kapal terbang untuk anda pergi bercuti? 
 Siapa nak baiki kereta anda di workshop? Siapa nak “tune” kereta anda jika nak masuk “MSF”, Rally atau membeli ECU racing? Siapa nak jaga lalu lintas?

Siapa nak jadi tentera jaga keamanan? Jika semua jadi usahawan dan jutawan, hatta anda nak beli air kelapa di gerai pun tiada orang nak jual sebab semua dah jadi boss dan jutawan.

Ini sekadar analogi. Apa yang saya cuba terangkan ialah kita patut melihat kejayaan sesebuah kerjaya itu didalam konteks masing-masing. Jadi usah kita hanya fokus menjadi jutawan.

Fokus menjadi insan berjaya dalam bidang masing-masing dengan integriti, amanah,motivasi tinggi, penuh adab, merendah diri, ada sikap suka membantu dan sebagainya.

Parameter dan elemen kejayaan ini harus diterjemahkan kepada anak-anak sejak sekolah lagi agar mereka memahami kehidupan.

Tuhan menjadikan manusia ini dari pelbagai variasi dan berpuak-puak. Masing-masing ada kekuatan .

Tugas utama kita ialah berusaha, tawakkal dan teris berjaya dalam bidang masing-masing.

Jack Ma ada berkata:
 “Ketika kamu belum berjaya dan sukses, semua kata bijakmu terdengar seperti kentut.  Tetapi ketika kamu kaya dan sukses, kentutmu terdengar sangat bijak dan menginspirasi.”

Bagi saya, apa yang penting kita ada keinginan untuk tingkatkan tahap prestasi diri baik dari sudut apa pun. Dan yang penting usah takbur dan usah mengumpat serta memberikan komen negatif pada orang lain.

Kita dilahirkan sebagai bayi yang tidak punya apa-apa lalu kita membesar kerana dipinjamkan nyawa dan hidup oleh Tuhan serta dipinjamkan kejayaan sementara nyawa masih ada.

Jadi tugas kita dibumi ini cuba menjadi insan yang baik, dengan berusaha membuat kebaikan sedikit demi sedikit pada setiap hari.

“Usaha Itu Tangga Kejayaan”. Pepatah  yang sering kita dengar. Umpama menaiki tangga, tanpa usaha pasti tidak akan dapat mendaki untuk kepuncak yang tinggi. Selangkah demi selangkah kaki diangkat, perlukan kudrat dan tenaga.

Kita dapati banyak sekali ayat-ayat  Al Quran dan hadis yang menyeru  umatnya supaya sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Usaha dan amalanlah yang menjadi perkara yang  dinilai oleh Allah SWT  sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, 
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.” (Surah At-Taubah,ayat 105).

Sesungguhnya manusia dikurniakan oleh Allah SWT dengan rezeki dan nikmat yang berbeza. 

Ada yang kaya, cerdik, sihat, sempurna sifatnya dan sebagainya.  
Semua kelebihan yang dianugerahkan oleh Illahi  sebenarnya bukanlah lesen percuma  untuk kita sebagai hamba-Nya berlagak sombong, bongkak, takabbur   terhadap mereka yang ditimpa nasib malang dan kurang bernasib baik.

 Jauhilah daripada memiliki sifat-sifat mazmumah ini. Allah SWT Maha Mengetahui lagi  Maha Berkuasa.

Dia mampu menarik balik segala apa yang diberikan kepada kita dengan sekelip mata sekiranya  hanyut  dalam keangkuhan dan kesombongan. 
Hal ini jelas dihuraikan dalam ayat yang bermaksud :
 “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu(kerana memandang rendah ) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi  dengan berlagak sombong ; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong   takbur  lagi membanggakan diri . (Surah Luqman , ayat 18).

Dalam paradigma Islam, kejayaan memang tidak hanya dilihat dari aspek duniawi, namun juga ukhrawi.

Untuk itu, kita inginkan suatu sistem atau pola kehidupan yang memungkinkan kita untuk dapat meraih kejayaan di dunia sekaligus di akhirat. Satu hal yang sejak awal harus direnungi bahawa kejayaan dunia jangan sampai menutup peluang kita untuk meraih kejayaan di akhirat.
Justeru kejayaan hakiki adalah saat kita berjumpa dengan Allah SWT nanti.
Apalah ertinya di dunia dipuji habis-habisan, segala kedudukan digenggam, harta berlipat ganda, namun ternyata semua itu tidak ada sekecil-kecil pun di sisi Allah SWT.

Orang yang berjaya sebenarnya, adalah orang yang mengenali Allah SWT, berani taat kepada Allah SWT dan berjaya menjauhi segala larangan-Nya. 
Orang yang benar-benar berjaya adalah orang terus-menerus berusaha membersihkan hati.

Di sisi lain dia terus meningkatkan kemampuan untuk mempersembahkan pengabdian terbaik , di mana hal itu akan terlihat dari keikhlasan dan kemuliaan akhlaknya.

Kejayaan akhirat akan kita raih di samping kejayaan dunia yang didapati dengan tidak melakukan larangan Allah.

Betapa bernilai ketika kejayaan dunia diperoleh seiring ketaatan kita kepadaAllah.

Oleh kerana itu jangan merasakan kejayaan itu hanyalah pada saat mendapatkan sesuatu. Luaskan skop pemikiran, bahawa kejayaan kita adalah ketika kita mampu mempersembahkan yang terbaik dari hidup ini untuk kemaslahatan manusia.

Selama orang itu bekerja dengan baik dan benar, taat beribadah dan akhlaknya mulia, dia boleh menjadi orang yang berjaya!

Mungkin dia hanya seorang pekerja am bawahan dalam syarikat. Saat bekerja ia melakukannya sepenuh hati. Ia bekerja dengan baik. Dalam pekerjaannya itu ia menjaga solatnya, tidak berkata dusta dan ia benar-benar menjaga kelakuannya terhadap majikan. Bukankah itu langkah menempa sebuah kejayaan yang besar?

Begitu juga boleh berjaya hanya bekerja sebagai guru.

Ia tidak begitu dikenali. Ke sekolah pun mungkin dengan berjalan kaki. Tetapi dengan tulus ia tetap menjalankan pekerjaannya. Boleh jadi ia lebih mulia daripada majikan yang jarang mengenal sujud di hadapan Allah SWT. Sebab apalah erti gelaran professornya bila tidak memiliki kemampuan mengenal Tuhannya sendiri.

Atau mungkin seorang peniaga kecil. Dia jujur dan tidak pernah mengurangi timbangan. Untungnya juga tidak terlalu banyak. Tetapi ia tetap mulia dalam pandangan Allah SWT. Dibandingkan pengusaha besar yang licik, suka menyuap juga tamak.

Maka, demi Allah. Kedua-duanya akan sampai kepada kematian. Adapun yang mulia di hadapan-Nya tetap orang yang jujur.

Maka berhati-hatilah, bukan gelaran yang membuatkan seseorang itu lebihbaik.  Itu semua hanyalah ‘topeng’. Semuanya itu tidak beerti apa-apa jika peribadinya sendiri tidak berkualiti. Oleh kerana itu, jangan kita hormat kepada orang yang tidak menjadikan kemuliaannya untuk taat kepada Allah .

Allah berfirman di dalam al-Quran, “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seoranglaki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsadan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orangyang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang palingtaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi MahaMendalam Pengetahuan-Nya.” (Al-Hujurat : 13)

Jadi, yang paling mulia bukanlah orang yang paling banyak gelarannya atau orang yang paling kaya dan dianggap paling berjaya.

Ekonomi negara hancur bukan disebabkan oleh kurangnya orang pintar, tapi lebih disebabkan oleh kurangnya orang yang berakhlak mulia.
Dunia hancur bukan disebabkan oleh kita yang tidak mengerti hal politik, tapi lebih disebabkan oleh orang-orang yang zalim, licik, tamak dan tidak bermoral.

Semoga ada manfaat dari perkongsian ini insyAllah. Yang baik dari Allah pastinya dan buruk itu dari saya. Maaf atas segala kesalahan dan ini merupakan peringatan buat diri dan pembaca insyaAllah.

Scroll to Top