Shopee-MDEC Sumbang RM109 Juta untuk Menyokong Perniagaan Tempatan Melalui Jualan Murah Keluarga Malaysia @DE DAGANG

Para penjual bakal tambah baik jualan melalui peningkatan keterlihatan platform, selain subsidi jualan dan penjual menerusi program tersebut

Kuala Lumpur, 13 September 2022 – Shopee dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan menyumbang sejumlah RM109 juta untuk menyokong para penjual tempatan melalui Jualan Murah Keluarga Malaysia @DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG) antara sekarang hingga bulan Disember 2022. Melalui program ini, Shopee dan MDEC akan memadankan sumbangan masing-masing yang berjumlah hingga RM54.5 juta dari setiap pihak bagi memberikan subsidi jualan dan subsidi penjual kepada penjual tempatan.

Subsidi ini akan membolehkan kira-kira 100,000 peniaga tempatan memacu jualan dalam talian, terutamanya mereka yang terlibat khususnya dalam bidang eksport, pelancongan dan produk kraf. Ia juga bertujuan meningkatkan kepercayaan rakyat Malaysia untuk membeli daripada perniagaan tempatan, serta memastikan penjual kekal berdaya maju dan berdaya saing. Semasa membeli produk-produk tempatan ini, rakyat Malaysia bakal menikmati penjimatan hingga 20% atau hingga RM500 pada setiap transaksi melalui diskaun, pulangan tunai dan baucar penghantaran.

Sepanjang tahun lalu, kempen Shop Malaysia Online (SMO) dan Go-eCommerce Onboarding menyaksikan sokongan padu daripada penjual dan pengguna yang menjana lebih daripada 10 juta pesanan secara keseluruhan. 85% daripada PKS mikro yang mengambil bahagian dalam kedua-dua kempen tersebut merupakan penjual baharu kepada Shopee. Huiyan Pan, Ketua Pemasaran Jenama di Shopee Malaysia, berkongsi bahawa JMKM@DE DAGANG akan membantu peniaga tempatan menurunkan kos operasi, memanfaatkan peluang baharu dalam talian, serta mengukuhkan kebolehsuaian dan daya tahan perniagaan tempatan.

“Bersama dengan MDEC, kami dapat memacu sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global memandangkan sumbangan tambahan ini akan menghubungkan penjual tempatan kepada lebih ramai pelanggan yang mengutamakan aspek digital. Kami akan terus meningkatkan usaha kami dalam mempromosikan produk keluaran tempatan demi memberi impak yang lebih besar kepada ekonomi Malaysia,” tambah Pan.

Shopee sentiasa mencari cara baharu bagi menawarkan lebih nilai, variasi dan kemudahan dalam keperluan dalam talian harian seperti bahan makanan, peralatan rumah dan banyak lagi. Ini termasuk sokongan yang lebih lagi untuk komuniti luar bandar dan komuniti tempatan sebagai sebahagian daripada usaha demi menjadikan e-dagang untuk semua.

Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC berkata: “MDEC akan terus memangkin pertumbuhan e-dagang di Malaysia melalui kerjasama rapat dengan rakan kongsi ekosistem digital. Melalui program ini, kami berharap dapat membantu perniagaan tempatan dan komuniti yang tidak berapa stabil dari segi ekonomi untuk mencapai khalayak yang lebih luas serta memasarkan produk dan perkhidmatan mereka tanpa mengira lokasi. Ini juga akan membantu mengekalkan pendapatan ramai dan meminimumkan kehilangan pekerjaan.”

Untuk maklumat lanjut mengenai Program JMKM@DE DAGANG, layari https://shopee.com.my/m/DE-dagang.

Shopee-MDEC Sumbang RM109 Juta untuk Menyokong Perniagaan Tempatan Melalui Jualan Murah Keluarga Malaysia @DE DAGANG – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts