Setel dan Siti Khadijah menderma telekung bernilai RM100,000 kepada 98 rumah anak yatim dan kebajikan menerusi inisiatif Setulus Kasih

Kuala Lumpur, 6 Julai 2022 – Setel dan Siti Khadijah telah menyempurnakan inisiatif bersama mereka iaitu Setulus Kasih yang telah disokong oleh Setel Express sebagai rakan logistik dengan menyumbang sejumlah telekung bernilai RM100,000 kepada 98 buah rumah anak yatim dan kebajikan buat golongan wanita, ibu tunggal serta kanak-kanak yang memerlukan.

Faizal Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Setel Express menyatakan, “Kami berbesar hati atas sambutan baik yang diterima bagi inisiatif Setulus Kasih dan turut bersyukur kerana dapat mengambil bahagian dalam usaha sama antara Setel dan Siti Khadijah untuk berkongsi keihsanan dengan anggota masyarakat yang kurang bernasib baik. Bersama Setel Express sebagai rakan penghantaran, kami dapat memperlihatkan kualiti perkhidmatan kami dengan cara yang begitu bermakna, yakni dengan menyebarkan keceriaan kepada rumah-rumah anak yatim dan kebajikan ini di serata negara. Harapan kami adalah untuk membekalkan khidmat penghantaran yang lancar lagi diyakini buat para pelanggan kami di seluruh negara sebagai komponen dalam tawaran ekosistem Setel buat rakan-rakan peniaga kami serta pengguna akhir.”

Mohammad Munzir Aminuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah berkata, “Kolaborasi yang dijalin dengan Setel serta cabang khidmat penghantaran mereka, Setel Express, telah memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi keihsanan kepada golongan yang memerlukan. Penghantaran telekung kami yang dibuat secara efisien melalui Setel Express ke empat buah rumah kebajikan dan NGO telah membuktikan kualiti perkhidmatan mereka, yang kami percaya turut memberi kepuasan kepada para pelanggan Siti Khadijah.”

Empat buah rumah dan organisasi kebajikan utama yang dipilih sebagai benefisiari inisiatif Setulus Kasih ialah Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Al Hijrah, Kompleks Darul Kifayah, serta Yayasan Kebajikan Muslim (juga dikenali sebagai MyFundAction) yang menguruskan 95 buah rumah kebajikan di bawah organisasinya. Majlis penyerahan sumbangan kepada MyFundAction pada tarikh 9 Jun telah dihadiri oleh Faizal Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Setel Express; Mohammad Munzir Aminuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah; di samping Suraiya Jabarudin, Pegawai Perhubungan Awam (Korporat), dan Zulkifli Baharuddin, Pegawai Perhubungan Awam (Media) – dengan kedua-duanya mewakili MyFundAction.

© 2023 BlackButterfly DesignArts