Sering bangun untuk kencing malam: Bukan sahaja warga tua, golongan yang lebih muda turut menghadapinya

Bangun dua kali atau lebih pada waktu malam menunjukkan kemungkinan adanya masalah kesihatan yang tersembunyi

KUALA LUMPUR, 13 Mac 2020: Di kalangan rakyat Malaysia, bangun di waktu malam untuk ke tandas adalah sesuatu yang lazim: sama ada pada malam hujan yang dingin atau ketika musim panas apabila lebih banyak air diminum bagi menyejukkan badan sebelum waktu tidur.

Walaupun bangun sekali di waktu malam untuk membuang air kencing tidak menjadi masalah, jika ia berlaku dua kali atau lebih, ia mungkin mendatangkan masalah yang lebih besar, bukan sekadar mengganggu tidur. Kekerapan bangun untuk membuang air kencing dikenali sebagai nocturia dalam istilah perubatan dan boleh dihidapi oleh golongan lelaki dan wanita.

Berdasarkan kepada satu tinjauan populasi berkenaan kelaziman nocturia di kalangan orang-orang dewasa di Malaysia yang telah dilaksanakan di antara bulan Mei sehingga September 2019 kelaziman nocturia pada keseluruhannya (dengan sekurang-kurangnya satu kali setiap malam) adalah 57% dengan peningkatan kelaziman di kalangan orang yang lebih berumur.

Lebih separuh (56%) daripada 4,616 responden percaya bahawa pembuangan air kencing di waktu malam adalah bukan satu masalah perubatan.

Apa yang lebih membimbangkan adalah di antara 2,646 reponden yang mengalami nocturia, 62% masih percaya nocturia bukanlah suatu masalah perubatan dan 74% daripada mereka tidak mendapatkan rawatan perubatan untuk keadaan tersebut.

Walaupun hampir 40% daripada responden yang mengalami nocturia telah mengenal pasti bahawa pengambilan air yang berlebihan di waktu malam sebagai punca, nocturia juga menunjukkan kemungkinan terdapatnya masalah kesihatan tersembunyi dan kritikal yang perlu diambil perhatian termasuk, tekanan darah tinggi, diabetes, dan penyakit buah pinggang.

Berlainan dengan kepercayaan orang ramai, nocturia bukan sahaja dihadapi oleh warga tua tetapi golongan dewasa yang lebih muda juga. Menurut laporan tinjauan tentang nocturia 2017 yang diterbitkan dalam International Journal of Clinical Practice, 2% sehingga 18% daripada mereka yang berumur dalam lingkungan 20-40 tahun turut mengalami nocturia secara klinikal (pembuangan air kencing dua kali atau lebih dalam satu malam).

Dalam satu tinjauan populasi rakyat Malaysia pada tahun 2019, dilaporkan 66% daripada responden (berumur dalam lingkungan 31 – 40) bangun untuk membuang air kencing sekurang-kurangnya sekali setiap malam dan sehingga 58% daripada mereka yang berumur 51 ke atas telah menunjukkan simptom nocturia. Ini membuktikan bahawa kejadian nocturia tidak bergantung kepada usia!

Kira-kira 60% daripada mereka yang mengalami gangguan tidur akibat nocturia turut mengalami kelesuan, 43% mengalami kesukaran menumpukan perhatian dan 41% mengalami perasaan buruk, yang mengakibatkan kemelesetan produktiviti, imuniti dan kualiti hidup. Ia juga boleh menyebabkan kemurungan, memberi kesan yang negatif kepada kemampuan kognitif dan ingatan serta meningkatkan risiko penyakit Alzheimer. Mereka yang mengalami nocturia juga terdedah kepada risiko jatuh, kemalangan di jalan raya dan tempat kerja, dan jika dibiarkan, akan menambahkan risiko penyakit kardiovaskular dan diabetes.

Menurut tinjauan populasi 2019, di kalangan 2,646 responden yang mengalami nocturia,  19% mempunyai masalah  kardiovaskular termasuk tekanan darah tinggi, kegagalan jantung atau hypotension, 17% mempunyai masalah berdengkur dan 14% mempunya masalah metabolik termasuk diabetes dan masalah tiroid.

Mereka yang bimbang tentang kemungkinan nocturia harus mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor untuk mengenal pasti jika ada masalah kesihatan yang tersembunyi. 

Berita baik untuk mereka yang mengalami nocturia, ia boleh dipulihkan dengan rawatan. Langkah pertama yang boleh dilakukan untuk merawat nocturia adalah dengan mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat untuk mengelakkan terjadinya masalah kesihatan yang lebih tenat.

  • Kurangkan makan dan minum sebelum waktu tidur: Kurangkan makan dan minum dua jam sebelum tidur terutamanya minuman yang mengandungi alkohol dan kafein
  • Membuat rekod: Pantau rutin harian, kekerapan kencing dan betapa penatnya anda di waktu siang akibat terpaksa bangun dengan kerap di waktu malam.
  • Pergi ke tandas sebelum tidur: Jadikan prosesbuang air kecil sebelum masuk tidur sebagai satu amalan.
  • Lebihkan senaman: Tingkatkan tahap kecerdasan dengan melakukan senaman, terutamanya senaman lantai pelvis, jika perlu.
  • Kurangkan garam: Kurangkan pengambilan garam dalam pemakanan harian.
  • Jaga berat badan: Kepada yang mempunyai masalah berat badan berlebihan/ obes,  kurangkan berat badan kepada berat yang bersesuaian.
  • Elakkan merokok dan menonton TV apabila anda bangun untuk membuang air kecil.
  • Angkat kaki melebihi aras jantung: Kepada yang mengalami peripheral oedema, angkatkan kaki melebihi aras jantung beberapa jam sebelum masuk tidur.
  • Ambil bahan-bahan diuretic di waktu siang: Kepada yang mempunyai preskripsi ubat yang mempunyai kesan sampingan meningkatkan air kencing, ambil ubat tersebut di waktu tengahari.

Jika bantuan farmaseutikal diperlukan, doctor boleh menetapkan rawatan yang bergantung kepada keadaan pesakit.

Untuk maklumat lanjut tentang cara menangani nocturia, sila layari www.waketowee.com.

© 2023 BlackButterfly DesignArts