Sempena Hari Wanita Antarabangsa ini, Pusat Perubatan Sunway melancarkan ‘Her Stories’, siri digital 12 episod bertujuan mempromosikan kesihatan wanita

Selain daripada itu, ‘Her Stories’ turut menampilkan artikel sisipan dan berkaitan yang akan diterbitkan pada setiap Isnin di laman sesawang Pusat Perubatan Sunway

SUNWAY CITY, SELANGOR, 1 Mac 2022 – Lebih daripada separuh populasi dunia adalah wanita. Namun, sehingga ke hari ini masih ada beberapa topik perbualan berkaitan kesihatan wanita dianggap sebagai tabu. Sempena Hari Wanita Antarabangsa tahun ini,
Pusat Perubatan Sunway , Bandar Sunway  melancarkan ‘Her Stories’, sebuah siri digital istimewa yang menerokai kuasa fizikal, emosi dan sosial yang mempengaruhi tubuh wanita dan bagaimana mereka boleh berusaha untuk mencapai tahap kesihatan dan kebahagiaan yang lebih baik.

‘Her Stories’ adalah sebuah siri bual bicara 12 episod yang menampilkan hos dan pengacara TV, Cheryl Samad bersama-sama dengan barisan tetamu yang terdiri dari kalangan wanita berpengaruh bagi membicarakan secara terbuka topik-topik berkaitan kesihatan, penjagaan diri dan pengalaman yang mengubah hidup mereka. Tetamu-tetamu yang dimaksudkan termasuklah personaliti terkenal seperti Xandria Ooi, Choo Mei Sze, Profesor Dr Elizabeth Lee, Datin Dr Halina Yunos dan disertai oleh pakar perubatan dari Pusat Perubatan Sunway.

“Her Stories” bertujuan untuk meningkatkan suara wanita terutamanya mengenai pengalaman yang unik kepada mereka. Topik berkaitan kesihatan wanita melangkaui kesihatan fizikal,  ia turut termasuk hak wanita untuk mendapatkan maklumat yang selamat, inklusif dan tepat; dan akses wanita kepada komuniti yang saling menyokong.

Itulah sebabnya, kami bersama-sama dengan tetamu ‘Her Stories’, ingin menggalakkan perbualan sedemikian bagi meningkatkan tahap kesihatan wanita dan kanak-kanak. Kami berharap para penonton dapat mengambil iktibar daripada topik perbualan, kisah-kisah dan juga kesukaran yang diketengahkan ini. Dan kongsikan ia dengan wanita-wanita di dalam kehidupan anda yang boleh mendapat manfaat daripada bual bicara ini,” kata Joanne Tay, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.

Mengikis Tabu Berkaitan Kanser

Siri ini akan dimulakan dengan episod yang menampilkan hos, usahawan, dan penceramah yang dihormati, Choo Mei Sze. Beliau pernah disahkan menghidap kanser kolorektal pada usia 20-an dan beliau berkongsi kisah bagaimana beliau berjaya melawan kanser yang kebiasaannya menyerang lelaki pada usia 50-an; dan Dr Jennifer Leong, Pakar Onkologi Klinikal di Pusat Perubatan Sunway, berkongsi kepentingan membuat ujian saringan dan kenapa kanser tidak boleh lagi dianggap sebagai satu enigma dan sumber ketakutan. Dalam suasana yang santai dan ceria, kedua-dua wanita ini merungkai mitos mengenai kanser dan membincangkan cara untuk memberikan maklum balas terhadap nasihat yang tidak diperlukan daripada ‘makcik-makcik bawang’.

Bagaimana dengan Kehamilan Lewat Usia?

Adakah penting untuk mencari ginekologi yang betul? Dan adakah hubungan di antara doktor dan pesakit dapat mempengaruhi kesan terhadap tahap kesihatan wanita? Apakah sebenarnya yang dicari oleh doktor semasa melakukan ujian Pap Smear? Di sini Xandria Ooi, akan berkongsi pengalamannya bersama Cheryl mengenai perjalanan beliau menjadi seorang ibu ketika mencecah usia lewat 30-an. Pakar ginekologi yang pernah merawat Xandria iaitu Dr Janani Sivanathan, yang juga pakar perubatan kehamilan dan fetus di Pusat Perubatan Sunway, turut muncul di dalam siri ini bagi berkongsi apa yang perlu wanita muda tanyakan kepada pakar ginekologi mereka dan mengapa ianya sangat penting bagi mereka menjaga kesihatan sistem pembiakan mereka sendiri.

COVID-19, Kerjaya dan Tanggungjawab Ibu

Ibu yang bekerja sepenuh masa boleh mendapat manfaat dan akan terhibur dengan episod yang menampilkan Datin Dr Halina Yunos yang bertugas di Unit Kawalan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Sunway dan isteri kepada angkasawan Malaysia Dato Dr Sheikh Muszaphar. Sepanjang tiga episod, Datin Dr Halina akan berkongsi pendapatnya secara kasual mengenai perancangan keluarga, ujian dan dugaan menjadi seorang ibu dan doktor sepenuh masa, dan pada masa yang sama menguruskan enam anak dan kesihatan mereka semasa COVID-19.

Identiti dan Penuaan

Kita hidup di dalam masyarakat yang mengabaikan perbualan mengenai isu penuaan; sehingga memudaratkan kesihatan wanita. Professor Dr Elizabeth Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway, dan Datin Dr Wendy Lim, pakar Gastroenterologi dan Hepatologi di Pusat Perubatan Sunway, membicarakan cara-cara untuk menangani stereotaip berkaitan penuaan, terutamanya bagi wanita. Mereka juga membincangkan kepentingan kesihatan gastroenterologi ketika meningkat usia dan kenapa pemikiran konvensional mengenai penuaan boleh menghalang wanita daripada menikmati kehidupan mereka sepenuhnya.

Saksikan ‘Her Stories’ di saluran YouTube rasmi Pusat Perubatan Sunway atau di laman Facebook rasmi mereka mulai 1 Mac 2022. Episod-episod ini akan ditayangkan pada setiap Selasa, dan artikel sisipan mengenai kesihatan wanita akan diterbitkan pada setiap Isnin di  www.sunwaymedical.com mulai 7 Mac 2022. Sertai sesi bual bicara ini dengan berkongsi kisah anda dan tanda pagar #SunMedHerStories.

© 2023 BlackButterfly DesignArts