Selangor: Negeri Bersih Dan Selamat Untuk Dikunjungi

Melancong adalah sebuah aktiviti yang menyeronokkan bagi kebanyakan penduduk dunia, tetapi bagi sesetengah orang ianya mungkin sesuatu yang menakutkan terutamanya bagi pelancong yang memilih untuk melakukannya secara berseorangan. Perkara utama yang sering difikirkan oleh kebanyakan pelancong sebelum mengunjungi suatu tempat adalah faktor keselamatan dan kebersihan. Bahkan teori Hierarki Keperluan Maslow menggariskan faktor keselamatan sebagai keutamaan kedua manusia setelah keperluan fisiologi. Sekiranya seseorang dapat merasa selamat di suatu tempat, ianya akan menjadi faktor penarik untuk individu yang sama melawat tempat tersebut.

Selangor adalah salah sebuah Negeri yang menerima kunjungan pelancong yang paling ramai di Malaysia. Hal ini kemungkinan besarnya adalah didorong oleh faktor jaminan keselamatan pelancong ke Negeri ini oleh Pihak Berwajib Negeri. Intipati berikutnya akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang butiran sokongan terhadap jaminan keselamatan pelancong di Negeri Selangor.

Perkara pertama yang terlintas di fikiran pelancong ketika mereka mengunjungi sesuatu tempat adalah kewujudan Unit Polis Pelancong. Berita baik kepada semua penggemar aktiviti pelancongan, Negeri Selangor telah menubuhkan Unit Polis Pelancong yang ditempatkan di sekitar kawasan pelancongan popular seperti Batu Caves, Sepang Goldcoast, KLIA, KLIA2, Subang Sky Park, Boustead Cruise Centre, dan Pusat Membeli-belah terkemuka. Mereka akan melakukan rondaan di sekitar kawasan dan menjaga keselamatan para pelancong untuk membendung sebarang kes jenayah di kawasan terbabit.

 Dengan adanya Unit Polis Pelancong ini, pelancong wanita dan pengembara solo terutamanya, tidak perlu berasa risau tentang keselamatan mereka di Negeri ini. Ibu Pejabat Unit Polis Pelancong pula adalah terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya, yang mempunyai radius yang berdekatan dengan tempat-tempat pelancongan utama di Negeri Selangor.

Seterusnya, aktiviti membeli-belah sering dijadikan sebuah kewajipan ketika melancong, justeru faktor keselamatan semasa membeli-belah turut dititik-beratkan di Negeri ini. Seperti dinyatakan di atas, Pusat Membeli-belah juga ditempatkan dengan Unit Polis Pelancong supaya pelancong dapat berbelanja dengan tenang. Selain itu, terdapat banyak kamera litar tertutup atau CCTV dan pengawal keselamatan yang ditempatkan di premis-premis perniagaan bagi menjaga keselamatan pelancong dan masyarakat awam. Pengawal keselamatan juga telah dilatih dengan pengetahuan tentang semua laluan di premis terbabit. Selain itu, Sunway Pyramid, sebuah Pusat Membeli-belah di Sunway City adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dilengkapi dengan fungsi butang panik. Oleh itu, pelancong boleh berasa yakin bahawa keselamatan mereka berada di tangan yang baik walaupun ketika membeli-belah di Negeri Selangor.

Para pengunjung tarikan semula jadi Negeri ini seperti FRIM Kepong, Sungai Chilling, Taman Eko Rimba Kanching dan Taman Eko Rimba Chongkak Park and Resort tidak perlu risau tentang faktor kebersihan dan keselamatan di tempat ini kerana ianya dijaga dengan baik dan diselenggara oleh syarikat pembersihan yang dilantik mengikut jadual berkala. Para renjer hutan turut ditempatkan di sana untuk membantu menjaga keselamatan para pengunjung apabila diperlukan. Selain itu, terdapat juga tong-tong sampah yang mencukupi untuk menjaga kebersihan kawasan tersebut. Antara salah sebuah usaha untuk kelangsungan kebersihan sekitar adalah Kempen “Clean and Green” hasil usahasama pihak Tourism Selangor dan Firefly Sdn Bhd di Taman Eko Rimba Kanching pada tahun 2018.

Seterusnya, setiap restoran dan premis makanan di Malaysia diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia secara berkala dan dinilai dari segi kebersihannya dari masa ke masa. Oleh itu, semua restoran dan premis makanan di Selangor juga dinilai secara kerap dan pelancong mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan dari restoran kelas A atau B di Negeri ini. Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor telah melaksanakan garis panduan atau SOP yang lebih ketat untuk penilaian premis makanan dan minuman. Peraturan inu adalah untuk memastikan bahawa pemilik restoran mengikuti kriteria yang diperlukan dalam menjalankan perniagaan mereka. Hal ini membantu orang ramai dan pelancong untuk merasa lebih yakin dalam mendapatkan makanan yang disediakan dengan bersih dan selamat dimakan.

Tambahan pula, pasca penularan wabak Covid-19 telah menyaksikan pelaksanaan peraturan atau SOP yang lebih ketat di premis-premis makanan di seluruh Negeri Selangor. Baru-baru ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah mengetatkan garis panduan bagi penilaian gred premis makanan dan minuman di kawasan seliaan mereka. Walaupun disarankan agar orang awam memilih untuk membungkus makanan atau mendapatkan perkhidmatan penghantaran makanan, namun mereka masih boleh menjamu selera di premis makanan dengan mempraktikkan jarak sosial yang disarankan serta kedudukan meja ditetapkan sekurang-kurangnya 1-meter antara satu sama lain.

Kerajaan Negeri Selangor turut memperkenalkan Aplikasi SELangkah: Langkah Masuk dengan Selamat, iaitu aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia untuk mengawal pergerakan orang ramai di Negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sebuah kenyataan pada 4 Mei berkata, applikasi ini dibangunkan bagi mengesan pergerakan orang ramai di Negeri Selangor secara maya dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di Negeri ini. Aplikasi SELangkah yang dikendalikan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menggunakan konsep asas kawalan automatik yang pantas dan mudah sebagai inisiatif pendaftaran individu sebelum memasuki sesuatu premis perniagaan di Negeri ini. Dengan hanya mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit bagi mendaftar maklumat mereka secara maya, pengesanan kontak dapat dibuat jika terdapat kes Covid-19 di premis yang telah mereka kunjungi. Akses Aplikasi ini turut dikongsi bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan pengesanan individu untuk proses saringan kesihatan atau kuarantin yang lebih efisien.

Premis-premis perniagaan di Negeri Selangor turut digesa untuk menjalankan penyaringan suhu dan meletakkan cecair pembasmi kuman di premis mereka. Sesetengah premis turut meletakkan syarat pengunjung perlu memakai topeng pelindung mulut dan muka serta menghadkan jumlah pengunjung dalam premis mereka pada satu-satu masa bagi mengelakan berlakunya kesesakan. Sebanyak lebih 700,000 pengusaha premis perniagaan telah mendaftar untuk kegunaan Applikasi SElangkah setakat 7 Mei.

Seterusnya, terdapat banyak pilihan tempat penginapan yang boleh dipilih oleh pelancong di Negeri Selangor seperti hotel, chalet, homestay, pangsapuri dan lain-lain. Sebilangan besar penginapan ini yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan adalah selamat untuk pelancong. Kebanyakan hotel turut dilengkapi dengan kawalan kamera litar tertutup 24 jam atau CCTV dengan fungsi kunci elektronik bagi mengelakkan sebarang aktiviti pecah-masuk.

Susulan dari penularan wabak Covid-19, para operator hotel dan penginapan di Negeri Selangor turut digesa untuk menuruti garis panduan yang ketat, khususnya yang digariskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Malaysian Association of Hotels (MAH).

Pertama, para operator hotel diminta untuk memastikan langkah-langkah penjarakan sosial dipraktikkan oleh penginap dan memastikan semua staf menerima latihan berkenaan garis panduan yang telah ditetapkan susulan penguat-kuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Langkah-langkah pembersihan menggunakan peralatan pembersihan dan pembasmian kuman turut perlu dipertingkat terutama di kawasan yang sering disentuh seperti suis lampu, pemegang pintu, alat kawalan jauh televisyen, punat lif dan kad elektronik bilik. Untuk menjamin keselamatan makanan, kakitangan dapur perlu mematuhi garis panduan seperti menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, dan memakai topeng dan sarung tangan semasa penyediaan makanan. Protokol kebersihan yang lebih ketat dan kawalan kualiti udara turut diperkenalkan untuk menjamin keselamatan para penginap.

Selain itu, Kelab-kelab Golf di Selangor kembali beroperasi pasca Covid-19 dengan menjalankan garis panduan yang ketat untuk memastikan keselamatan para pemain golf. Ahli Kelab Golf diwajibkan untuk mendaftar masuk manakala bukan ahli perlu mengisi Borang Deklarasi Kesihatan. Mereka kemudiannya perlu melalui saringan kesihatan wajib. Selain itu, kereta elektrik atau buggy ditambah kuantiti serta dipasang dengan plastik pemisah antara pemandu dan penumpang, para pemain golf juga perlu memastikan jarak 1-meter dipatuhi ketika beratur dan pondok pemula atau starter hubs tidak dibuka untuk umum. Hal ini bagi memastikan pengusaha Kelab-kelab Golf di Selangor dapat kembali beroperasi, dengan memberikan penekanan kepada aspek keselamatan dan kebersihan. Malah, sesetengah Kelab Golf di Selangor seperti Kota Permai Golf & Country Club turut mengambil langkah yang lebih menjamin kebersihan dengan pengenalan “contactless ball extractor” atau mesin pelancar bola secara automatik bagi meminimakan sentuhan secara terus.

Tuan Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor dalam sebuah kenyataan berkata, “Tourism Selangor menyambut baik keputusan Kerajaan untuk membuka semula sektor pelancongan domestik bermula 10 Jun lalu. Umum mengetahui, industri pelancongan merupakan antara yang paling terjejas beberapa bulan kebelakangan ini. Justeru, susulan dari pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), operator produk pelancongan di Negeri Selangor boleh mula beroperasi dengan merangka strategi-strategi baharu bagi menggamit perhatian pengunjung serta membina semula sektor ekonomi”.

“Untuk merancakkan lagi pelancongan domestik, Tourism Selangor telah memperkenalkan Kempen “Pusing Selangor Dulu!” yang memfokuskan kepada pasaran pelancongan domestik. Tourism Selangor juga sedang mempergiat perancangan pelaksanaan E-Travel Fair 2020 di landasan digital sebagai salah sebuah inisiatif untuk mempromosi dan memasarkan pakej-pakej pelancongan Negeri Selangor secara efektif, di samping menampilkan tawaran diskaun dari para operator pelancongan Negeri. Seterusnya, Tourism Selangor akan berkerjasama dengan penggiat Media tempatan dan antarabangsa untuk Program “Media FAM Trip”, dan juga berkolaborasi bersama penggiat industri untuk program promosi pelancongan seperti Program Jelajah Pesona Selangor dan sesi Business-to-Business (B2B) yang akan dirangka secara berkala” tambah Tuan Azrul Shah.

Berdasarkan segala kenyataan di atas, ianya jelas bahawa Negeri Selangor sememangnya adalah sebuah Negeri yang selamat dan bersih untuk dikunjungi oleh para pelancong. Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor serta penggiat industri pelancongan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan tempat-tempat pelancongan di Negeri ini selamat untuk dikunjungi para pelancong dengan menitik-beratkan kepada garis panduan atau SOP, dan protokol kebersihan yang lebih ketat terutamanya di Pusat Membeli-belah, tempat penginapan, pengangkutan awam, restoran, premis perniagaan dan Kelab-kelab Golf.

Garis panduan ini dilihat semakin diperinci dan diperketat susulan penularan wabak Covid-19. Pihak Tourism Selangor turut giat mempromosikan pelancongan Negeri ini dengan sentiasa mengemas-kini laman sesawang rasmi, Selangor.travel dan laman media sosial dengan tarikan Negeri Selangor bagi menarik-minat para pelancong domestik dan antarabangsa untuk merangka percutian dan perjalanan mereka ke Negeri Selangor pada masa hadapan. Negeri Selangor khususnya mengalu-alukan kedatangan pelacong domestik ke Negeri ini, selaras dengan Kempen “Pusing Selangor Dulu!” yang sedang meniti dalam kalangan penggemar aktiviti pelancongan di Malaysia.Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi dan terbaharu Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Selangor: Negeri Bersih Dan Selamat Untuk Dikunjungi
© 2023 BlackButterfly DesignArts