REDLINE Fitness Games by NISSAN Kembali Untuk Edisi Ketiga!

Acara kecergasan terbesar Malaysia bakal gegarkan MIECC Julai Ini – semua tahap kecergasan dialu-alukan untuk cari REDLINE anda!

REDLINE Fitness Games by NISSAN

Kuala Lumpur, 25 Julai 2025 – REDLINE Fitness Games by NISSAN bakal kembali ke Malaysia untuk edisi ketiga yang dinanti-nantikan pada 26 dan 27 Julai ini, bertempat di Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC). Menyusuli kejayaan dua edisi terdahulu pada 2023 dan 2024, acara tahun ini telah pun mencatatkan penyertaan yang jauh lebih tinggi, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu pertandingan kecergasan paling besar dan inklusif di Asia Tenggara. Lebih 10,000 peserta dan penonton dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri arena REDLINE Fitness Games di hujung minggu yang penuh aksi tersebut.

REDLINE Fitness Games adalah gerakan serantau yang menggabungkan semangat kesukanan dan komuniti. Ia mengalu-alukan pernyertaan semua individu, tanpa mengira tahap kecergasan dan mendorong mereka untuk berani keluar dari zon selesa bagi mencabar diri dalam dunia kecergasan.

Dianjurkan oleh Fresh Events Asia dan disokong oleh penaja utama NISSAN, REDLINE Fitness Games menyediakan platform untuk peminat gim dan gaya hidup aktif menguji had mereka dalam persekitaran yang dinamik dan penuh tenaga.

REDLINE Fitness Games menampilkan satu rangkaian stesen senaman berturutan yang direka untuk menguji kekuatan, stamina, kelincahan dan ketahanan mental. Tahun ini, peserta akan berdepan dengan 12 cabaran yang melibatkan seluruh badan seperti larian 500 meter, SkiErg, BikeErg, RowErg, deadball burpees, sled push & pull, dan The Mule, cabaran membawa beg pasir yang akan bertambah berat.

Turut disertakan adalah senaman seperti Russian twists, squat thrusts, shuttle runs dan sandbag gauntlet; semuanya direka untuk memberi latihan yang seimbang tetapi mencabar dari pelbagai sudut.

Peserta boleh bertanding secara solo, berpasangan atau berkumpulan (relay), dalam kategori lelaki, wanita dan campuran. Para peserta solo boleh memilih daripada tiga tahap kesukaran: Permulaan (Tahap 1), Pertengahan (Tahap 2) dan Mahir (Tahap 3) – memastikan semua individu, dari pelbagai latar belakang dapat menyertai acara ini dengan lebih bermakna dan kompetitif.

Menurut Jeff Ross, Pengurus Besar Fresh Events Asia, daya tarikan REDLINE Fitness Games terletak pada gabungan intensiti fizikal dan semangat komuniti.

“Setiap tahun, REDLINE Fitness Games mengingatkan kita tentang semangat kental dan sokongan sesama peserta. Sejak mula lagi, REDLINE Fitness Games bukan sekadar sebuah acara kecergasan, ia adalah ruang yang dicipta bagi semua, sama ada atlet berpengalaman atau peserta kali pertama untuk menjadi sebahagian daripada satu gerakan yang lebih besar,” kata beliau.

“Kami juga amat menghargai sokongan berterusan daripada NISSAN, MyCEB, Concept2 dan semua rakan kongsi serta pempamer yang menjayakan REDLINE Fitness Games di Malaysia.”

Kembalinya NISSAN sebagai penaja utama acara ini adalah bukti kukuh keserasian jenama tersebut dengan nilai-nilai REDLINE Fitness Games. Menurut Khoo Cheng Pah, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, penglibatan berterusan NISSAN mencerminkan komitmen mereka dalam mempromosikan kekuatan, ketahanan, dan keberanian – semua kualiti utama yang menjadi teras kepada kedua-dua REDLINE Fitness Games dan juga rangkaian produk NISSAN.

”Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada REDLINE Fitness Games sekali lagi! Secara dasarnya, REDLINE Fitness Games adalah tentang melangkaui had prestasi diri. Semangat dan usaha gigih untuk mencapai prestasi tertinggi ini mencerminkan aspirasi NISSAN dalam setiap apa yang kami bina dan lakukan – iaitu sentiasa berkembang dan menjadi lebih baik. Kerjasama ini menjadi amat bermakna buat kami kerana ia lahir daripada wawasan yang dikongsi bersama untuk melangkah lebih jauh,” tambah beliau.

REDLINE Fitness Games 2025 turut mendapat sokongan daripada Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

“Kami gembira dapat menyokong REDLINE Fitness Games yang kini berkembang menjadi acara kecergasan ikonik di Malaysia dan rantau ini. Acara ini mencerminkan pengalaman dinamik berfokus komuniti yang selari dengan misi kami untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk acara sukan dan gaya hidup bertaraf dunia. Kami amat berbesar hati dapat menyumbang kepada kejayaan berterusan acara ini. Dengan sokongan strategik dan maklumat terperinci yang kami berikan, kami memastikan para peserta dapat menikmati pengalaman yang selamat, bermanfaat, dan kaya dengan elemen budaya,” kata Tan Mei Phing, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB.

Edisi ketiga REDLINE Fitness Games di Malaysia juga menjadi pembuka tirai bagi mengembangkan jenama ini ke seluruh rantau Asia Tenggara. Pada Disember 2025 kelak, Bangkok pula akan menjadi tuan rumah REDLINE Fitness Games buat kali pertama, diikuti oleh Vietnam pada awal 2026.

Istilah ‘REDLINE’ merujuk kepada had prestasi maksimum, sama seperti enjin kereta yang dipacu ke tahap tertinggi. Dalam REDLINE Fitness Games, peserta digalakkan untuk mengenal pasti had kemampuan iaitu “REDLINE” masing-masing dan seterusnya mencabar had fizikal dan mental mereka.

REDLINE Fitness Games by NISSAN terus mengembangkan potensi bagi acara kecergasan yang berasaskan komuniti. Ia bukan sekadar pertandingan tetapi pengalaman yang mencabar dari segi fizikal, memberi kepuasan emosi, dan mencetuskan inspirasi.

Untuk maklumat lanjut tentang acara tersebut, sila layari www.redlinefitnessgames.com.

© 2024 BlackButterfly DesignArts