Reckitt dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Berganding Bahu Melawan Pandemik COVID-19 melalui sumbangan 386,500 Produk Dettol

Kuala Lumpur, Malaysia, 20 September 2021 – Reckitt baru-baru ini, secara rasminya menyumbangkan lebih 386,500 unit produk kebersihan/kesihatan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (selepas ini disebut PBSMM), iaitu ahli kerabat Persatuan Palang Merah British Kebangsaan selaras dengan perkongsian global Reckitt dalam Pakatan Kerjasama Bantuan Bencana bersama Palang Merah British.

Sumbangan derma produk Reckitt ini akan menyokong inisiatif organisasi itu untuk menangani situasi pandemik COVID-19 yang telah teruk menjejaskan komuniti rentan dan komuniti luar bandar, dan untuk menegaskan sokongan kepada petugas barisan hadapan memerangi wabak yang dahsyat ini. Pihak PBSMM akan berganding bahu dengan 16 pejabat Negeri Persatuan Bulan Sabit Merah di seluruh Malaysia untuk mengendalikan pengagihan peringkat negeri masing-masing, yang akan diperkuatkan lagi dengan 152 pusat pengagihan daerah. Di peringkat negeri dan daerah ini, rangkaian PBSMM akan melakukan pengagihan ke pusat-pusat pemberian vaksin, hospital-hospital kerajaan, klinik-klinik komuniti, rumah-rumah warga emas, rakyat Malaysia secara umum dalam komuniti luar bandar dan kumpulan rentan seperti golongan Gelandangan, Pelarian, dan Orang Tak Bernegara.

Sumbangan derma ini meliputi 386,500 unit Pensanitasi Tangan Dettol, bernilai RM3 juta. Selain derma produk proaktif bagi kesiapsiagaan kecemasan, perkongsian global Reckitt ini juga membabitkan derma RM1.5 juta kepada Kerjasama Bantuan Bencana Palang Merah; derma berupa masa pekerja menerusi inisiatif kesukarelawanan; dan inisiatif pengumpulan dana pekerja. Sejak meletusnya pandemik COVID-19 tahun lalu, Reckitt Malaysia telah memperlihatkan sokongan yang konsisten dan mantap kepada komuniti-komuniti tempatan dengan menjalankan 26 inisiatif derma berjumlah RM1.2 juta. Pihak-pihak penerimanya termasuk hospital, pusat perubatan, program kerajaan dan peruncit.

“Misi Reckitt adalah untuk melindungi, menyembuh dan memelihara dan memandangkan lonjakan bilangan kes baru-baru ini, pihak kami merasakan terpanggil untuk bertindak melindungi rakyat Malaysia dalam perjuangan untuk mewujudkan dunia yang lebih bersih dan lebih sihat,” kata Gonzalo Balcazar, Pengurus Besar Serantau Reckitt Malaysia, Singapura dan Vietnam. Beliau juga berkata, “Krisis ini memerlukan usaha kemanusiaan berskala besar, dan pihak kami gembira dapat berganding bahu dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk memastikan kesinambungan usaha ini. Kempen derma ini selaras dengan perjuangan kami untuk melipatgandakan akses kepada produk-produk kesihatan penting yang menjadi teras perjuangan melawan COVID-19 ini, menanamkan tabiat kesihatan yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia, dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peri pentingnya kekal melindungi diri biarpun selepas selesai menerima vaksin.”

“Kami terhutang budi kepada Reckitt Malaysia atas sumbangan pensanitasi tangan Dettol, yang begitu penting dalam usaha memelihara kebersihan dan penjagaan kesihatan dan aktiviti kesedaran di seluruh negara.  Memandangkan lonjakan bilangan jangkitan COVID-19, maka pihak kami sendiri rasa bertanggungjawab untuk meningkatkan amalan kebersihan dan kesihatan am, terutamanya di rumah dan tempat kerja di mana kita banyak menghabiskan masa kita. Saya yakin sumbangan derma ini akan dapat membantu pencapaian matlamat komuniti kita, bermanfaat dalam mencegah jangkitan virus dalam kalangan individu dan komuniti rentan,” kata Pengerusi PBSMM Kebangsaan, YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Tunku Temenggong Kedah.

 “Pandemik ini adalah suatu krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini bukan sahaja di Malaysia, tetap juga di seluruh dunia”, kata Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman, Pemerintah Bersama Pasukan Petugas Khas dan Ahli Lembaga Pengelola PBSMM yang telah hadir sama dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut. “Sumbangan derma produk kebersihan penting ini akan banyak membantu dari segi sokongan kepada komuniti-komuniti rentan dalam Malaysia melawan bencana COVID-19. Mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan dan menggunakan pensanitasi tangan merupakan benteng pertama pertahanan melindungi diri daripada penularan penyakit dan jangkitan. Diucapkan terima kasih kepada Reckitt dan PBSMM kerana membantu usaha meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia dengan cara menggalakkan amalan penting iaitu penjagaan kebersihan tangan.”

Pesuruhjaya Tinggi British turut dijemput sebagai Tetamu Kehormat untuk memperingati sokongan dan jalinan persahabatan erat komuniti British kepada Malaysia. “Saya sukacita menyaksikan penyerahan bekalan produk kebersihan diri yang didermakan oleh Reckitt kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia,” kata TYT Charles Hay, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia. “Usaha kemanusiaan ini amat bertepatan masanya ketika komuniti global berganding memerangi pandemik ini dan menolong golongan yang kehidupannya terkesan akibatnya. Sumbangan derma Reckitt akan membantu menyokong komuniti-komuniti rentan di Malaysia.”

© 2023 BlackButterfly DesignArts