Razer dan World Bekerjasama Memerangi Isu Bot Pihak Ketiga Permainan Dalam Talian

Razer ID verified by World ID
Razer ID verified by World ID’ merupakan kerjasama global bertujuan meningkatkan pengalaman permainan bagi jutaan pemain dalam era permainan AI

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 — Dalam dunia di mana permainan yang dikuasakan oleh AI menjadi norma baharu, usaha untuk melindungi pengalaman pemain dalam dunia digital menjadi semakin penting berbanding dulu. Razer, jenama gaya hidup terkemuka global untuk para pemain, dan World, perintis protokol terbuka yang komited untuk memajukan setiap individu, mengumumkan kerjasama yang menekankan kepentingan pemain manusia di tengah-tengah revolusi permainan AI.

Razer ID verified by World ID’ baharu ialah teknologi pembuktian manusia daftar masuk tunggal (SSO) tercanggih dan selamat, direka untuk mengesahkan identiti pemain sebenar bagi Razer ID. Dibangunkan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, autentik, dan imersif, teknologi ini akan memastikan setiap akaun Razer ID dikendalikan oleh individu sebenar, sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keselamatan dalam ruang digital.

Razer ID ialah SSO bersepadu Razer yang digunakan untuk mengakses semua perkhidmatan dan perisian Razer dalam ekosistemnya, termasuk pemecut permainan, alat konfigurasi perkakasan berasaskan awan bersepadu untuk penyesuaian penuh, perkhidmatan pembayaran, dan program ganjaran permainan. Permainan yang adil bermula dengan pemain sebenar, dan integrasi Razer ID dengan permainan bagi membolehkan mod permainan ‘manusia sahaja’ adalah penting untuk memastikan keadilan dalam permainan dan persekitaran permainan yang lebih dipercayai.

‘Razer ID verified by World ID’ turut menawarkan pelbagai manfaat besar kepada pembangun permainan. Teknologi ini membolehkan mereka mencipta ruang yang lebih dinamik, di mana pemain sebenar boleh menguasai landskap digital tanpa gangguan bot. Penyelesaian ini dapat membantu pembangun memperkenalkan langkah-langkah anti bot yang canggih, memperkukuh perlindungan terhadap gangguan dalam permainan melalui pengesahan manusia, serta memudahkan pengesahan pemain untuk proses daftar masuk yang lebih lancar.

Direka khas untuk industri permainan, SSO baharu ini akan digunakan buat kali pertama dalam TOKYO BEAST, sebuah permainan yang berlatarbelakangkan bandar futuristik Tokyo pada tahun 2124, di mana manusia hidup bersama android autonomi canggih. Dengan sistem pertempuran yang sangat strategik, permainan ini menggabungkan elemen berasaskan ramalan dengan gaya permainan konvensional bagi mencipta pengalaman hiburan kompetitif yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Akaun yang disahkan sebagai milik manusia adalah penting dalam TOKYO BEAST bagi mengekalkan keaslian permainan dan melindungi pemain daripada ancaman bot, penipuan, dan penyebaran maklumat palsu. Ini kerana pemain berpeluang untuk mengumpul NFT unik dalam permainan yang menggabungkan pemilikan digital dengan pengalaman permainan yang lebih imersif.

Selain itu, pemain juga boleh membuat pembelian dalam permainan melalui Razer Gold, perkhidmatan pembayaran permainan serba lengkap yang menggabungkan pelbagai kemudahan seperti e-dompet, kedai dalam talian, kad hadiah dan pelbagai saluran pembayaran, memudahkan transaksi pembelian barangan digital dan kandungan dalam permainan di seluruh dunia.

“Selaras dengan perkembangan AI dalam dunia permainan, kami berazam untuk memperkasakan para pemain dan pembangun permainan dengan alat yang mereka perlukan untuk melaksanakan transformasi ini dengan yakin dan selamat,” kata Ketua Pegawai Korporat Razer, We-Pin Choo.

“Membina komuniti pemain yang disahkan sebagai manusia adalah penting untuk memastikan keadilan dalam permainan. Untuk memupuk persaingan yang saksama, pembangun perlu membina pengalaman permainan yang boleh dipercayai, hanya untuk pemain manusia sahaja tanpa sebarang gangguan daripada bot AI. Dengan kerjasama World, kami dapat memastikan bahawa pemain sebenar sentiasa diutamakan, mewujudkan pengalaman permainan yang lebih adil, imersif, dan direka khusus untuk manusia.”

Diasaskan oleh Sam Altman dan Alex Blania, World menawarkan teknologi pembuktian manusia digital revolusioner, World ID, yang mengesahkan keunikan individu secara anonim sambil melindungi privasi mereka. Berbeza dengan sistem pengesahan tradisional, World ID hanya mengesahkan bahawa seseorang itu adalah manusia yang unik, tanpa mendedahkan identiti sebenar mereka. Ini membolehkan pengguna kekal anonim sambil meningkatkan kepercayaan terhadap dunia dalam talian yang semakin dipacu oleh AI. 

“World ID membolehkan para pemain membezakan antara interaksi manusia sebenar dan kandungan yang dijana oleh AI, semuanya sambil melindungi privasi mereka,” kata Ketua Pegawai Produk Tools for Humanity, Tiago Sada yang juga merupakan penyumbang utama kepada World. “Kerjasama ini menandakan langkah penting ke arah membina sebuah ekosistem permainan yang lebih selamat dan boleh dipercayai, bermula dengan ilmu kepakaran serta pengalaman luas Razer dalam memahami keperluan para pemain dan komuniti global keseluruhannya.”

Bot AI mengubah pengalaman permainan para pemain

Tinjauan pihak ketiga[1] yang dijalankan terhadap pemain mendapati bahawa AI dan bot telah mengubah landskap permainan digital—namun bukan ke arah yang lebih baik.  Sebanyak 59% pemain mengadu bahawa mereka sering berdepan dengan bot pihak ketiga, yang tidak dibenarkan dalam permainan. Malah, 7 daripada 10 pemain mengatakan bahawa bot berkenaan “merosakkan” persaingan dalam mod berbilang pemain (71%) dan menjadikan sesetengah permainan itu kurang menyeronokkan (74%). Hampir 1 daripada 5 pemain (18%) mengambil keputusan untuk berhenti bermain disebabkan oleh gangguan bot. Sebahagian besar pemain (71%) juga bersetuju bahawa pembuktian manusia dalam talian adalah penting.

Selain itu, hampir 3 daripada 5 pemain menyatakan bahawa mereka mahu mengetahui sama ada mereka bersaing dengan bot atau manusia. Malah, 75% pemain yang bermain lebih daripada 10 jam seminggu lebih cenderung memilih platform permainan dalam talian yang menggunakan teknologi biometrik untuk mengesahkan bahawa pemain lain adalah manusia sebenar.

‘Razer ID verified by World ID’ menawarkan penyelesaian tepat untuk membantu para pemain dan pembangun permainan menangani masalah ini. Seiring dengan evolusi industri permainan, Razer dan World sentiasa komited untuk terus menerajui penyelesaian berinovatif yang mengutamakan pemain manusia – menjamin pengalaman permainan yang lebih autentik, mewujudkan permainan yang adil, dan memberikan lebih nilai kepada seluruh komuniti permainan.

Pelancaran di Seluruh Dunia

Selepas pelancarannya, para pemain boleh menggunakan Razer ID mereka untuk mengakses World App. Dalam aplikasi tersebut, mereka perlu mencipta akaun World ID untuk pengesahan sebagai manusia.

‘Razer ID verified by World ID’ akan tersedia di negara berikut: Argentina, Australia, Austria, Chile, Colombia, Costa Rica, Ecuador, Jerman, Guatemala, Indonesia, Jepun, Malaysia, Mexico, Panama, Peru, Filipina, Poland, Portugal, Singapura, Korea Selatan, Thailand, dan Amerika Syarikat.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila kunjungi https://rzr.to/worldid.


[1] Tinjauan pihak ketiga dijalankan oleh Echelon Insights dan ditauliahkan oleh Tools for Humanity.

© 2024 BlackButterfly DesignArts