Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Jika anda menyangka Langkawi umpama sebuah oasis yang tenang, serba indah dan damai, anda sebenarnya tidak salah. Namun, ramai tidak mengetahui bahawa di sebalik ketenangan itu tersembunyi pelbagai aktiviti mencabar yang pastinya mampu mengujakan walau peminat sukan lasak yang paling tegar. Pengembaraan yang sukar dilepaskan menanti mereka yang mencari pengalaman mendebarkan, kerana tidak boleh dinafikan bahawa Langkawi sememangnya menawarkan pelbagai aktiviti sedemikian; yang mampu menarik para pencinta alam semula jadi, peminat hidupan liar serta mereka yang dahagakan adrenalin. Langkawi memang mempunyai segala-galanya: daripada pantainya yang serba indah lagi bersih, kepelbagaian flora dan fauna hinggalah kepada keajaiban alam semula jadi yang menakjubkan! Untuk mengetahui dengan lebih lanjut rahsia yang tersembunyi di bumi bertuah ini, berikut adalah senarai aktiviti yang boleh anda lakukan sambil menikmati keindahan kawasan perairan dan landskap tropika di sini

1. Canyoning Air Terjun, Berkayak dan Papan Dayung Berdiri

Canyoning air terjun adalah aktiviti di mana anda menuruni cenuram air terjun hingga ke lantainya dengan menggunakan tali. Pakai abah-abah dengan kemas, beranikan diri dan biarkan jantung anda berdegup kencang ketika anda menuruni cenuram Air Terjun Durian Perangin sambil menikmati pemandangan Gunung Raya, gunung tertinggi di Langkawi. Di penghujung pengembaraan ini, berehat seketika dan berenang di dalam kolam air terjun yang pastinya menyegarkan.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Sementara itu, berkayak telah menjadi salah satu sukan popular dan merupakan cara yang terbaik untuk menerokai kawasan hutan paya bakau di Langkawi. Sesuai untuk mereka yang menggemari aktiviti sukan yang menenangkan, berkayak sememangnya satu pilihan yang tepat. Kebanyakan pengendali di sini menjalankan aktiviti jelajah pulau menggunakan kayak, dan hentian pertama bagi jelajah kayak ialah Gua Kelawar, diikuti dengan kunjungan ke kawasan penternakan ikan dalam sangkar. Akhir sekali, para peserta boleh mendayung kayak mereka untuk menerokai hutan paya bakau sambil menyaksikan sendiri pemandangan indah burung-burung dan haiwan seperti helang laut, layang-layang, bangau, raja udang, ketam rebab, ikan belacak, dan biawak.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Sebagai alternatif, anda boleh mencuba papan dayung berdiri bagi menguji keseimbangan dan ketahanan anda. Tiada apa yang dapat menandingi perasaan berada di atas air, menghayati alunan ombak sambil anda berdiri mendayung di atas papan gelembung secara sendirian, di kelilingi oleh menara batu kapur dan hutan paya bakau. Anda boleh berinteraksi secara terus dengan alam semula jadi kerana papan gelembung ini tidak mempunyai enjin dan mesra alam, suatu perasaan yang tidak mungkin dapat anda rasai jika anda menaiki bot.

2. Aktiviti Lagak Ngeri dan Morac Adventure Park

Inginkan sesuatu yang boleh meningkatkan adrenalin anda? Kuatkan semangat dan berlagak seperti Tarzan sambil anda meluncur merentasi kanopi hutan hujan yang berusia puluhan juta tahun pada kelajuan yang mengujakan. Di sini anda boleh melihat beberapa spesies haiwan terancam seperti Lotong Cengkong dan Burung Enggang sambil anda meluncur melalui celah-celah pokok. Atasi perasaan takut dan gayat anda sambil anda memanjat, merangkak, bergayut dan meluncur di beberapa halangan udara yang tergantung tinggi di atas kanopi hutan hujan, sesuatu yang sangat mengujakan untuk mereka yang bersemangat waja.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Dan jika jantung anda masih belum cukup berdenyut kencang, mari dekati alam semula jadi dengan menyertai ATV Adventure Trail, yang terdiri daripada 9 cabaran dan 4 laluan kembara dalam dua pakej tunggangan selama 1 jam atau 30 minit yang padat dengan aksi. Jurupandu kami yang berpengalaman akan menunjukkan kepada anda keindahan habitat semula jadi Langkawi, menjadikannya sebagai satu pengembaraan yang tidak dapat dilupakan buat anda dan orang yang tersayang.

Sementara itu, Morac Adventure Park yang mempunyai sejarah selama 20 tahun, adalah salah satu lokasi yang menempatkan litar perlumbaan go kart paling profesional di Malaysia. Ia sememangnya tempat di mana para peminat sukan bermotor boleh merasai derauan adrenalin dalam erti kata yang sebenar. Litar ini terletak hanya 8 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chenang dan Pantai Chenang, ia pastinya menjadi destinasi pilihan utama di kalangan pengunjung. Pengalaman menyaksikan perlumbaan go kart sambil melihat matahari terbenam dan kapal terbang mendarat hanya beberapa meter dari litar tersebut memberikan pemandangan yang cantik untuk para penonton.

3. Luncur Udara Tandem

Luncur udara adalah penerbangan bebas yang dilakukan dengan bantuan sayap ringan yang dikuasakan oleh angin. Sesiapa sahaja yang telah mencuba sendiri pengalaman Luncur Udara Tandem yang menakjubkan ini pastinya akan terpesona dengan pemandangan indah kawasan persisiran pantai dari udara. Jika anda sukakan pilihan yang sedikit kurang mencabar berbanding terjun udara, usah bimbang, anda hanya perlu duduk di dalam abah-abah yang selesa dan nikmati pemandangan 360 darjah sambil juruterbang berpengalaman mengemudi luncur udara untuk anda.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

4. Wakeboarding

Wakeboarding ialah salah satu sukan air lasak popular di Langkawi. Ia adalah kombinasi sukan ski air, luncur air dan luncur salji, di mana penunggangnya menggunakan papan lebar untuk berdayung dan meluncur di atas air. Wakeboarding menjadi kegilaan baru di masa kini, dan mujurlah, kawasan peraiaran di Langkawi sememangnya sesuai untuk mencuba sukan ini. Airnya yang jernih membolehkan anda melihat ikan dan terumbu karang sambil berdayung di atas papan itu dan meluncur dengan selamat. Sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak, ia sememangnya adalah aktiviti yang menyeronokkan untuk dicuba!

5. Jet Ski dan Luncur Air

Jet ski adalah salah satu daripada sukan air paling sesuai di Langkawi untuk menerokai destinasi menarik di gugusan kepulauan itu sambil anda meluncur laju di atas permukaan laut yang tenang dan mengunjungi pulau-pulau lain ketika dalam perjalanan, seperti Pulau Tepur, Pulau Singa Besar dan Pulau Dayang Bunting. Anda boleh memilih daripada pelbagai pakej yang disediakan dari satu jam hingga empat jam, dan anda juga boleh berenang di dalam air tawar, mengunjungi pulau pilihan anda, merakamkan pemandangan pulau-pulau yang indah dan melihat burung helang dan camar sambil bersantai menunggang jet ski anda.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Jika anda menginginkan aktiviti yang boleh melonjak adrenalin anda, Pantai Tengah dan Pantai Chenang menawarkan lokasi yang terbaik untuk mereka yang gilakan sukan luncur air. Di situ anda boleh meluncur di atas ombak setinggi 1.5 meter yang dibawa oleh angin kencang.

6. Kembara dan Berbasikal

Untuk penggemar aktiviti kecergasan, Langkawi sememangnya bertuah kerana dikurniakan dengan hutan hujan tropika yang tebal dan subur sesuai untuk aktiviti pengembaraan yang hebat. Tidak kira sama ada anda seorang amatur atau berpengalaman, anda pasti dapat menakluki kembara anda dibantu oleh suasana hijau yang pasti membuat anda lupa tentang hiruk pikuk kehidupan di bandar.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Menariknya, anda juga boleh berbasikal untuk menjelajah keseluruhan Pulau Langkawi tanpa perlu mengikuti laluan yang sama, merangkumi jarak hampir 180 kilometer. Anda tidak perlu bimbang kerana penunggang basikal amatur juga boleh mengayuh secara bersantai sambil menikmati laluan yang indah berlatarbelakangkan ladang getah, kelapa dan sawah padi, dan anda juga mungkin berpeluang untuk melihat beberapa haiwan liar tempatan ketika dalam perjalanan mengelilingi keseluruhan pulau itu.

Kaya dengan ekologi, hutan tropika, flora dan fauna serta cuaca yang baik, kawasan pergunungan di Langkawi sememangnya amat sesuai untuk para peminat aktiviti berbasikal. Apa tunggu lagi? Mari berkayuh di Permata Kedah hari ini!

7. Snorkeling dan Selam Skuba

Cara yang terbaik untuk menerokai kehidupan bawah air Laut Andaman ialah menerusi aktiviti snorkeling dan selam skuba. Kawasan untuk menyelam boleh didapati di sekeliling pulau-pulau kecil di kawasan Chenang. Kunjungi Pulau Pasir untuk melihat arca-arca menarik yang ditenggelamkan ketika menyelam di perairan itu. Inisiatif oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Galeri Seni Kebangsaan ini adalah selari dengan hala tuju LADA ke arah menyokong aktiviti pelancongan yang lebih hijau dan berasaskan komuniti. Sesuai untuk mereka yang baru berjinak dengan aktiviti menyelam dan yang berpengalaman, para penyelam berpeluang untuk melihat penyu, terumbu karang, kuda laut dan pelbagai spesies hidupan laut yang lain.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Snorkeling juga merupakan aktiviti yang wajib dilakukan apabila anda berkunjung ke Pulau Payar untuk menerokai kehidupan marin. Pakar-pakar akan membimbing anda menerusi keseluruhan proses , memastikan pengalaman yang serba lancar dan selamat. Di kelilingi oleh alam semula jadi yang ditawarkan oleh Langkawi, anda berpeluang untuk menikmati pemandangan pantai yang indah, air yang tenang dan ufuk yang cerah. Jika anda menyukai aktiviti air, maka aktiviti yang mendebarkan ini pasti menawan hati anda kerana anda berpeluang untuk melakukan aktiviti snorkeling sambil ditemani oleh ikan tropika yang berwarna-warni dan menghargai keindahan tarikan di bawah air secara lebih dekat.

8. Kembara Gua dan Melihat Burung

Pulau Langkawi menempatkan sebahagian daripada formasi gua yang paling mengagumkan di Asia Tenggara. Jika anda gemar menerokai sistem gua, maka pulau ini mempunyai beberapa kejutan menarik untuk anda. Gua-gua yang ada di sini adalah sebahagian daripada formasi geologi unik yang telah dianugerahkan dengan status World Heritage Geopark oleh UNESCO.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Kebanyakan daripada formasi geologi purba ini telah terbentuk sejak berjuta tahun yang lalu. Sesetengahnya terletak di kawasan cenuram bukit batu kapur yang sangat curam dan di kawasan hutan hujan yang sukar untuk dimasuki, apatah lagi untuk diterokai. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa formasi gua yang boleh dan kerap diterokai oleh peminat gua. Sesetengahnya boleh diakses dengan berjalan kaki. Sesetengahnya memerlukan bot dan anda boleh menembusinya melalui jalan air dan melihat kehebatan formasi batu kapur pada bahagian syiling gua, tergantung di atas kepala anda.

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Disebabkan oleh suhu yang sederhana lagi konsisten, Langkawi turut menjadi destinasi popular untuk melihat burung. Jika anda peminat aktiviti melihat burung, maka anda boleh menjangkakan purata suhu 32°C  hampir sepanjang tahun. Lebih 200 spesies burung boleh dilihat berterbangan di sekitar Langkawi. Sebahagian daripada burung ini adalah  bermigrasi, manakala selebihnya adalah spesies asal di pulau ini. Jelajah Melihat Burung Langkawi merupakan salah satu cara terbaik untuk mengalami alam semula jadi dan menikmati kawasan pedalaman Langkawi.

9. Kembara Hutan / Menikmati Alam Semula Jadi

Mulakan hari anda dengan ekspedisi hebat ini yang digemari oleh ramai pencinta alam. Berjalan sambil bersantai merentasi hutan tebal Langkawi.  Skytrail Jungle Trekking memberikan pengalaman yang unik  mendaki Gunung Machinchang, banjaran gunung tertua di Malaysia yang menempatkan salah satu daripada hutan hujan tertua di dunia. Pendakian selama 45 minit ini membolehkan anda melihat kehebatan hutan hujan Langkawi sambil ditemani oleh jurupandu pakar dan menaiki kereta kabel yang pasti menyeronokkan. Apabila anda sampai ke puncak gunung tersebut, anda boleh melihat pemandangan panorama yang mengagumkan kawasan hutan hujan, Laut Andaman, dan keseluruhan Pulau Langkawi, suatu pengalaman yang sukar dilupakan.

Setiap tahun, Skytrail Jungle Trekking berjaya menarik ramai peminat aktiviti kembara hutan kerana pengalaman yang ditawarkan olehnya. Seorang pakar alam semula jadi berpengalaman akan menjadi jurupandu anda di sepanjang perjalanan anda bagi menceritakan tentang segala rahsia di sebalik hutan hujan yang mengagumkan ini.

10. Memancing dan Mencandat Sotong

Untuk benar-benar mengalami keindahan Langkawi yang  mempesonakan, anda mesti mencuba aktiviti memancing di sekitar perairan Langkawi yang jernih. Kedua-dua aktiviti memancing sama ada santai atau laut dalam ada disediakan untuk para pemancing. Terdapat pelbagai jenis ikan sedia untuk dipancing seperti kerapu, kakap, alu-alu, wahoo dan banyak lagi. Selain daripada itu, anda juga tidak boleh melepaskan peluang untuk mencuba aktiviti mencandat sotong. Berbeza dengan memancing, mencandat sotong biasanya dilakukan pada waktu malam. Umpan yang boleh bercahaya di dalam gelap diletakkan pada mata pancing bagi menarik perhatian sotong. 

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi

Keindahan pulau ini yang mempesonakan pastinya akan menggembirakan anda dengan pemandangan yang mengagumkan tatkala fajar dan senja di sekitar Pekan Rabu. Sebelum pulang ke tempat penginapan anda, nikmati dulu aktiviti berenang dan makan malam barbeku. Tempah bot anda sekarang!

Rasai Deruan Adrenalin Anda di Langkawi
© 2023 BlackButterfly DesignArts