Rakyat Malaysia pilih Jepun, Australia dan Indonesia sebagai destinasi perjalanan utama: Kajian Visa

Kuala Lumpur, Malaysia, 31 Oktober 2023 – Hasil kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh Visa memaparkan lima destinasi antarabangsa utama yang ingin dikunjungi rakyat Malaysia pada musim percutian akan datang, termasuk Jepun, Australia, Indonesia, Thailand, dan Singapura. Kajian Hasrat Perjalanan Global Visa (Global Travel Intentions Study[1]), yang merupakan tinjau selidik untuk memahami pandangan pengguna global yang terbesar dan paling lama, telah dikendalikan sekali lagi baru-baru ini untuk memahami tabiat dan pilihan kembara rakyat Malaysia.

Lima destinasi antarabangsa lain yang ingin dikunjungi oleh rakyat Malaysia termasuk Korea Selatan, Tanah Besar China, United Kingdom, Brunei, dan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR). Di samping itu, responden tinjau selidik menyatakan bahawa mereka bercadang untuk melakukan 2.7 perjalanan antarabangsa dalam tempoh 12 bulan akan datang. Daripada jumlah tersebut, 40 peratus daripada responden ingin mengunjungi semula destinasi sama yang pernah dikunjungi mereka dalam tempoh 12 bulan lepas. Baki 60 peratus responden pula berkata mereka bercadang untuk menerokai destinasi yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.

Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia berkata, “Visa dengan sukacitanya berkongsi hasil penemuan daripada kajian kami yang menunjukkan permintaan yang menggalakkan bagi perjalanan rentas sempadan. Maklumat ini dikongsi dengan rakan-rakan institusi kewangan kami supaya mereka boleh lebih memahami pilihan perjalanan rakyat Malaysia dan membina kempen relevan yang memberi ganjaran kepada pemegang kad apabila mereka mengembara dan membayar menggunakan Visa.“

Pendorong penting utama untuk rakyat berjalan ke luar negara ialah istirahat (62 peratus), meneroka dan mempelajari sesuatu yang baharu (44 peratus), memulakan pengembaraan menarik (41 peratus), membeli-belah (41 peratus), dan memberi ganjaran kepada diri sendiri (20 peratus). 

Kajian mendapati bahawa para pengembara Malaysia menggunakan kad secara meluas untuk membuat persiapan sebelum perjalanan, terutamanya bagi perbelanjaan besar seperti tempahan penginapan awal (76 peratus) dan tambang penerbangan (61 peratus). Di destinasi mereka, pengembara Malaysia menggunakan kad apabila membeli-belah (41 peratus), menjamu selera (36 peratus), dan semasa menjalankan aktiviti (36 peratus).  

Daripada mereka yang ditinjau selidik, hampir sembilan daripada 10 pengembara Malaysia (88 peratus) lebih suka menggunakan kad domestik utama mereka untuk membayar tambang perjalanan luar negara, dengan kad kredit sebagai pilihan nombor satu (49 peratus) diikuti oleh kad debit (35 peratus) dan kad prabayar (16 peratus).  Di samping itu, lebih daripada sembilan dalam 10 (92 peratus) responden berkata mereka menggunakan kad masing-masing untuk membuat bayaran tanpa sentuhan.

Dari segi penggunaan kad, kebanyakan pengembara Malaysia berkata kesenangan ialah faktor penting yang menentukan perbelanjaan mereka. Pembayaran menggunakan kad ialah kaedah pembayaran paling menyenangkan, terutamanya bagi perbelanjaan seperti pengangkutan tempatan (awam & swasta), menjamu selera, membeli-belah, dan aktiviti lain.

Walaupun terdapat peningkatan kos berkaitan perjalanan, sebahagian besar pengembara Malaysia tidak bercadang untuk melakukan perubahan besar kepada rancangan perjalanan antarabangsa mereka. Secara khusus lagi, lebih daripada lapan dalam 10 responden (81 peratus) berkata mereka sedar akan kenaikan kos perjalanan. Bagaimanapun, kesemua mereka, kecuali dua peratus, bercadang untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

© 2023 BlackButterfly DesignArts