You are currently viewing Qatar Airways Berkolaborasi dengan Selebriti Malaysia, Cef Wan Sempena Ulang Tahun Qatar Airways ke-25 & Pembukaan Semula Sempadan Malaysia

Qatar Airways Berkolaborasi dengan Selebriti Malaysia, Cef Wan Sempena Ulang Tahun Qatar Airways ke-25 & Pembukaan Semula Sempadan Malaysia

Qatar Airways bekerjasama dengan ikon kulinari antarabangsa, Cef Wan untuk memberi pengalaman kulinari yang menarik kepada para penumpang kelas perniagaan & ekonominya

Kuala Lumpur, 4 April 2022 – Qatar Airways berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama dengan ikon kulinari Malaysia, Cef Wan, untuk memperkenalkan aneka juadah lazat dengan unsur tempatan buat para penumpang sempena sambutan ulang tahun syarikat penerbangan yang ke-25 pada tahun 2022. Qatar Airways juga baru sahaja meraikan ulang tahun ke-20 mengendalikan perkhidmatan Kuala Lumpur – Doha pada Disember 2021. Kerjasama ini juga bertepatan masa dengan pembukaan sempadan Malaysia pada minggu lepas.

Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Cef Wan, akan menyediakan menu istimewa bersama pasukan katering Qatar Airways. Menu ini akan memberi penghormatan kepada makanan tradisional Malaysia, dan menu kelas perniagaan Qatar Airways juga akan menampilkan resipi warisan diraja Malaysia.

“Usaha sama dengan Qatar Airways ini sangat mengujakan, saya bukan sahaja dapat berganding bahu dengan Syarikat Penerbangan Terbaik di Dunia, malah saya turut berpeluang untuk menghasilkan dan mempromosikan kepelbagaian masakan Malaysia di platform antarabangsa. Menerusi menu istimewa Qatar Airways ini, saya berharap saya boleh membuat Malaysia bangga serta menonjolkan tradisi makanan Malaysia yang dekat dengan hati saya kepada para pelancong antarabangsa,” ujar Cef Wan.

“Cef Wan merupakan ikon kulinari yang tidak asing lagi di Malaysia dan Qatar Airways amat teruja dengan kerjasama ini yang menandakan satu titik sejarah penting bagi kami, iaitu ulang tahun Qatar Airways yang ke-25 pada tahun ini, serta ulang tahun ke-20 selama kami berkhidmat di Malaysia. Penumpang Qatar Airways akan berpeluang untuk menikmati sebuah pengalaman kulinari berunsur Malaysia yang diperkenalkan oleh cef tersohor Malaysia dalam pesawat syarikat penerbangan terbaik di dunia,” sebut En. Jared Lee, Naib Presiden Unit Jualan Qatar Airways bagi Asia Tenggara, Pasifik Barat Daya & Subbenua India.

Menu istimewa Cef Wan-Qatar Airways ini akan disajikan mulai pertengahan tahun 2022, untuk kelas ekonomi dan perniagaan bagi laluan Kuala Lumpur – Doha selama satu tahun.

Qatar Airways merupakan salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan yang masih meneruskan operasi sejak wabak COVID-19 mula menular pada awal tahun 2020. Sejak itu, Qatar Airways telah menerbangkan lebih daripada 132,000 orang penumpang ke dalam dan ke luar Malaysia dengan selamat. Pada masa ini, Qatar Airways mengendalikan 14 penerbangan setiap minggu dengan perkhidmatan dua kali sehari antara Kuala Lumpur dan Doha

Dengan perlonggaran sekatan perjalanan antarabangsa, syarikat penerbangan rasmi negara Qatar ini terus membina semula rangkaian keterhubungannya, yang kini mencakupi lebih daripada 140 buah destinasi. Kekerapan penerbangan ke pelbagai hab utama di dunia juga semakin meningkat, dan Qatar Airways menawarkan khidmat keterhubungan yang tiada tandingannya buat para penumpang, memudahkan mereka untuk menukar tarikh atau destinasi penerbangan jika perlu.

Syarikat penerbangan yang memenangi pelbagai anugerah di bawah namanya, Qatar Airways juga baru sahaja diumumkan sebagai ‘Syarikat Penerbangan Terbaik’ di Majlis Penganugerahan Syarikat Penerbangan Dunia 2021, anjuran organisasi penarafan pengangkutan udara antarabangsa, Skytrax. Ia turut dinobatkan sebagai ‘Kelas Perniagaan Terbaik Dunia’, ‘Ruang Istirahat Kelas Perniagaan Terbaik Dunia’, ‘Kerusi Kelas Perniagaan Terbaik Dunia’, ‘Katering Penerbangan Kelas Perniagaan Terbaik Dunia’ dan ‘Syarikat Penerbangan Terbaik di Timur Tengah’. Qatar Airways terus menerajui industri penerbangan dengan memenangi anugerah terulung itu di bawah namanya buat kali yang keenam (2011, 2012, 2015, 2017, 2019 dan 2021).

Qatar Airways juga merupakan syarikat penerbangan global pertama di dunia yang berjaya memperoleh Penarafan 5 Bintang bagi Keselamatan COVID-19 Syarikat Penerbangan daripada Skytrax. Ia menyusuli kejayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA) sebagai lapangan terbang yang pertama di Timur Tengah dan Asia dianugerahkan dengan Penarafan 5 Bintang bagi Keselamatan COVID-19 Lapangan Terbang. Anugerah-anugerah ini memberikan kepastian kepada para penumpang di seluruh dunia bahawa standard kesihatan dan keselamatan syarikat penerbangan ini diberi keutamaan yang tertinggi. Untuk butiran lengkap mengenai segala pendekatan yang diambil di dalam pesawat Qatar Airways serta di HIA, sila layari qatarairways.com/safety.