Putuskan Rantaian Virus Hepatitis

Ramai orang tidak sedar bahawa virus hepatitis boleh menyebabkab penyakit hati kronik yang mendekatkan kita dengan kanser hati. Sempena Hari Hepatis Sedunia ini, Dr Chua Siew Houy menekankan perkara yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia untuk memutuskan rantaian jangkitannya

Putuskan Rantaian Virus Hepatitis

Apabila membincangkan isu kesihatan dan pencegahan penyakit, hanya segelintir yang berfikir untuk melindungi hati mereka. Kebanyakan orang bukan sahaja tidak terfikir, bahkan ramai yang tidak tahupun apa fungsi organ yang penting ini.

Anda mungkin terkejut apabila diberitahu bahawa hati adalah sejenis organ yang juga kelenjar, dan menjalankan pelbagai fungsi untuk memastikan badan sentiasa sihat. Contohnya, hati membantu membersihkan toksin dalam darah dan menyimpan glikogen untuk digunakan sebagai tenaga. Ia juga menghasilkan hempedu, yang membantu memecahkan protein, karbohidrat dan lemak.

Bagaimanapun, fungsi penting ini boleh terancam dengan kehadiran virus hepatitis yang terdiri daripada lima sekawan – hepatitis A, B, C, D, dan E. Mana-mana virus ini boleh menyebabkan hati mengalami keradangan.

“Hepatitis A dan E biasanya merebak apabila manusia mengambil makanan dan/atau minuman yang tercemar, selalunya disebabkan kurangnya penjagaan kebersihan diri atau sanitasi. Keadaan ini dikenali sebagai laluan najis ke mulut. Daya jangkitan virus hepatitis A (HAV) berbeza-beza kerana jika ia berada di tangan, ia boleh kekal dalam keadaan mudah menjangkiti selama beberapa jam, dan beberapa hari jika pada makanan. Bahkan ia dapat bertahan selama beberapa bulan pada makanan sejuk beku, permukaan, dan najis. Punca hepatitis E yang paling lazim ialah memakan hati haiwan yang tidak dimasak sepenuhnya. Manakala, virus hepatitis B, C dan D disebarkan melalui darah dan lain-lain cecair badan yang dijangkiti, di mana virus hepatitis B (HBV) biasanya ‘diwariskan’ dari ibu yang dijangkiti kepada anaknya sama ada ketika hamil atau bersalin. Penyebaran virus hepatitis B, C dan D turut berlaku ketika mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pasangan yang dijangkiti, berkongsi jarum suntikan dan terdedah kepada darah yang tercemar. Virus hepatitis D (HDV) dikenali sebagai ‘virus satelit’ kerana ia bergantung kepada HBV untuk mereplikasi. Oleh itu, ia hanya boleh menjangkiti seseorang yang turut mengalami jangkitan HBV,” kata Dr Chua Siew Huoy, pakar perubatan am dan pakar reumatologi di IMU University.

Menyerang dalam Diam

Putuskan Rantaian Virus Hepatitis

Hepatitis A, B dan C adalah perkara biasa di negara ini dan kebanyakan kes sembuh sendiri tetapi Dr Chua menasihatkan supaya kita tidak memandang ringan keadaan ini – kerana dianggarkan 1 juta orang mendapat jangkitan HBV yang kronik, dan ia menyumbang kepada lebih 80% kes kanser hati di Malaysia.

Oleh kerana jangkitan virus hepatitis tidak bergejala (asimptomatik), maka ramai yang tidak sedar mereka telah dijangkiti. Lebih membimbangkan, walaupun tanpa gejala, individu ini berada dalam keadaan mudah menjangkitkan penyakit dan tanpa disedari mereka mungkin telah menjangkiti orang lain, kata Dr Chua. Sementara itu, bagi yang bergejala, mereka mungkin mengalami:

  • demam
  • keletihan/kelesuan
  • hilang selera makan
  • mual dan/atau muntah
  • sakit perut (abdomen)
  • air kencing berwarna gelap
  • jaundis (kulit/mata jadi kekuningan)
  • najis berwarna pucat

Satu-satunya cara untuk mengesahkan kehadiran virus hepatitis ialah melalui ujian darah. Oleh kerana kebanyakan kes tidak bergejala, virus hepatitis biasanya dikesan secara kebetulan ketika ujian saringan rutin. Menerusi kempen saringan hepatitis B kronik (CHB) dalam komuniti di Malaysia, didapati hanya 13% daripada orang yang diuji positif CHB menyedari mereka menghidap hepatitis B. Oleh itu, saringan dan vaksinasi di samping gaya hidup sihat amat penting untuk merapatkan dan memutuskan rantaian jangkitan hepatitis.

Menolak Arus Hepatitis

Vaksinasi adalah kaedah yang berkesan untuk melindungi daripada jangkitan HAV dan HBV, di mana vaksin hepatitis B diberikan kepada bayi dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran. Selepas itu, dos susulan akan diberikan dalam bentuk vaksin kombinasi pada umur 2, 3 dan 5 bulan.

Bagi yang tidak pasti mengenai status vaksinasi mereka atau berada dalam kelompok berisiko tinggi mendapat HBV perlu menjalani ujian untuk mengetahui status imun mereka dan mempertimbangkan untuk mengambil dos penggalak jika diperlukan, nasihat Dr Chua. Golongan ini termasuklah:

  • pesakit yang menghidap penyakit hati kronik
  • mereka yang lemah sistem imunnya
  • orang yang mengambil dadah secara suntikan intravena
  • lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki
  • pengembara yang pergi ke tempat yang tinggi keendemikan hepatitis
  • kakitangan penjagaan kesihatan

Rawatan virus hepatitis yang ada kini bertujuan menghapuskan virus dan mencegah perkembangan penyakit hati. Ibu hamil yang diuji positif hepatitis B, terutama yang tinggi beban virusnya, boleh diberikan ubat antivirus, di samping suntikan vaksinasi hepatitis B dan immunoglobulin untuk anak mereka sejurus selepas dilahirkan untuk mengurangkan risiko penularan HBV perinatal, sekali gus meminimumkan risiko si anak mengalami CHB di kemudian hari. Walaupun setakat ini tiada vaksin untuk hepatitis C, namun ada rawatan yang berkesan dalam bentuk ubat antivirus tindakan terus (direct-acting antiviral, DAA), terapi yang berkesan dengan kadar kejayaan melebihi 95%, katanya.

Bagi mengurangkan lagi risiko jangkitan pada diri sendiri dan mengelakkan ia disebarkan kepada orang lain, maka amat penting untuk menjaga kebersihan diri dan mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat. Langkah ini bermula di rumah iaitu dengan:

  • mengelakkan sebarang sentuhan dengan darah dan cecair badan yang dijangkiti
  • mencuci tumpahan darah dengan peluntur
  • menutup sebarang luka
  • membuang barangan yang ada kesan darah (termasuk produk feminin wanita) dalam beg plastik berasingan untuk mengelakkan pencemaran
  • memastikan sanitasi yang baik
  • mencuci tangan dengan sabun dan air hingga bersih sebelum makan dan selepas menggunakan tandas

Selain itu, penting juga untuk:

  • mengelakkan aktiviti berisiko tinggi seperti hubungan seks yang tidak terlindung dan menyuntik dadah
  • memastikan sebarang jarum yang digunakan untuk akupunktur, menindik badan dan tatu adalah baharu dan steril
  • berhati-hati memilih makanan, kerana hepatitis A dan E biasanya tersebar melalui makanan dan air tercemar, terutamanya dalam makanan seperti kerang mentah
  • mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum dimakan

“Semua langkah berjaga-jaga ini – saringan, vaksinasi dan gaya hidup – adalah penting untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan dan mencegah hepatitis daripada terus menular dalam masyarakat kita,” kata Dr Chua. “Ingat, vaksinasi bukan sahaja melindungi diri anda tetapi orang lain juga, khususnya mereka yang paling rapat dengan anda.”

Putuskan Rantaian Virus Hepatitis
Dr Chua Siew Huoy, pakar perubatan am dan pakar reumatologi di IMU University.

© 2024 BlackButterfly DesignArts