Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway tersenarai dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek

SMC melakar sejarah apabila Malaysia julung kali tercalon dalam ranking berprestij

Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway tersenarai dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek

Bandar Sunway, 29 Februari 2024: Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) berjaya menempatkan diri dalam senarai 250 hospital terkemuka dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024.

Dalam usaha meletakkan penanda aras bagi hospital di seluruh dunia dalam bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi, ranking 2024 dibuat berdasarkan tinjauan global komprehensif yang dijalankan dalam kalangan doktor, pengamal penjagaan kesihatan profesional dan para pentadbir merentasi empat benua, serta data daripada tinjauan pesakit dan metrik kualiti hospital.

Pencalonan dari 30 negara yang terdiri daripada 2,400 buah hospital yang disenarai pendek, termasuk hospital awam, hospital pengajar universiti dan pusat perubatan swasta, hanya 250 hospital terkemuka disenaraikan dalam senarai global. Tahun ini merupakan kali pertama hospital dari Malaysia meletakkan posisi dalam ranking tersebut.

“Kami amat berbesar hati kerana SMC, walaupun boleh dianggap hospital yang masih hijau, telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia dalam ranking yang membariskan nama-nama seperti Mayo Clinic (Amerika Syarikat), Hospital Besar Singapura, Hospital Diraja Prince Alfred (Australia), dan Hospital Universiti Tokyo (Jepun),” kata Dato’ Lau Beng Long, Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway.

Ditubuhkan pada tahun 1999, SMC merupakan hospital kuarterner swasta terbesar di Malaysia dengan kapasiti 724 katil berlesen dan terdiri daripada lebih 40 bidang kepakaran. Ia juga mendapat akreditasi daripada The Australian Council on Healthcare Standards.

“Ini adalah cara terbaik untuk meraikan ulang tahun ke-25 kami pada tahun ini, seiring dengan sasaran untuk meningkatkan lagi standard penjagaan menerusi rawatan inovatif berpusatkan pesakit, pendigitalan dan menyediakan perkhidmatan klinikal yang komprehensif,” kata Dato’ Lau.

Pengumuman itu dibuat selepas SMC dinobatkan sebagai hospital pediatrik terbaik di Malaysia dan di tempat ke-28 di Asia Pasifik dalam pencalonan Hospital Khusus Terbaik Newsweek Asia Pasifik 2023 baru-baru ini. SMC juga tersenarai dalam 75 hospital terbaik bagi kategori Neurologi, Kardiologi dan Onkologi dalam tinjauan yang sama.

Ini adalah tahun keenam Newsweek bekerjasama dengan firma penyelidikan pasaran global dan data pengguna terkemuka, Statista, Inc., untuk menilai dan meletakkan kedudukan hospital terbaik di seluruh dunia.

© 2023 BlackButterfly DesignArts