Kuala Lumpur, 6 Januari 2022 – Pusat Beli-belah IPC bersama dengan rakan kongsi sejak sekian lamanya, HOPE Worldwide Malaysia baru-baru ini telah menyempurnakan satu lagi inisiatif CSR yang bertujuan memberi kegembiraan kepada rumah keluarga B40 di Lembah Klang. Kempen Happiness to Homes (Menceriakan Rumah) yang bermula pada 16 September hingga 17 Oktober 2021 berjaya mengumpulkan sebanyak RM89,952. Ini adalah kira-kira 20% lebih tinggi daripada sasaran awalnya iaitu sebanyak RM75,000.
Dengan sokongan daripada para penyewa yang bermurah hati seperti Ben’s Independent Grocers, Harvey Norman, AEON Wellness dan Kedai Buku Popular, kesemua dana telah disalurkan untuk menyediakan tujuh kit keperluan asas rumah termasuklah pakej makanan, kelengkapan elektronik rumah dan pakej peralatan sekolah bernilai RM101,103 pada kos di bawah harga pasaran.
Pada 10 dan 11 Disember 2021, HOPE Worldwide Malaysia telah mengagihkan 300 pakej makanan, 150 keperluan barangan asas rumah, dan 300 kit peralatan sekolah kepada keluarga B40 bertempat di Klinik Sentul.
Mark Tan, Pengurus Pemasaran Pusat Beli-belah IPC berkata, “Di Pusat Beli-belah IPC, kami berasa amat simpati dengan seluruh komuniti sekeliling kami yang terkesan dengan pandemik ini. Malah, bukan sahaja dari kalangan komuniti B40, akan tetapi kesemua mereka yang berada di sekeliling kami – para penyewa kami. Sambil membayangkan keadaan dunia pasca-pandemik, adalah penting bagi kami sebagai jenama dan ahli perniagaan untuk menyedari bahawa kami wujud untuk berkhidmat kepada orang ramai dan memberi kehidupan yang lebih baik untuk semua. Sebagaimana besi menajamkan besi, begitulah juga mengapa kami perlu berusaha untuk mengukuhkan komuniti sekitar kami dan bekerjasama untuk memacu pertumbuhan perniagaan. Oleh sebab itu, kami gembira apabila para penyewa kami ingin turut serta untuk memberi kembali kepada komuniti dan membolehkan kami membeli kesemua barangan tersebut pada harga istimewa.
Walaupun pandemik telah memberi perubahan dalam cara pembelian daripada dalam kedai kepada atas talian, kami tetap gembira melihat ketulusan para pembeli kami untuk kekal bermasyarakat dan berjiwa rakyat. Kami juga berbangga mempunyai rakan kongsi seperti para penyewa kami yang menyumbang barangan, agensi rakan kongsi digital kami, Idotyou yang telah membina platform secara pro bono, serta HOPE Worldwide Malaysia, rakan kongsi NGO yang telah bekerjasama dengan kami sejak tahun 2017 untuk menghubungkan kami dengan keluarga yang memerlukan. Kami mengakui bahawa hanya dengan usahasama dengan para pengunjung, kami mampu melaksanakan sumbangan digital dan kempen kutipan dana pertama kami, Happiness to Homes, dengan jayanya,” tambahnya lagi.
Melalui kempen-kempen seperti ini, Pusat Beli-belah IPC berharap dapat terus membantu secara inovatif dengan bekerjasama dengan para penyewa untuk memberi kembali kepada komuniti serta impak yang positif dan berpanjangan dalam kehidupan orang ramai.