Ramadan bukan sahaja bulan paling suci dalam kalendar Islam, tetapi ia juga merupakan bulan berpuasa, muhasabah diri, dan peningkatan diri untuk umat Islam.
Sepanjang tempoh bulan Ramadan, umat Islam menahan diri dari makan dan minum dari subuh hingga ke senja dan berbuka puasa bersama orang tersayang dengan menikmati hidangan istimewa Ramadan, juadah bazar, atau hidangan bufet.
Menguruskan aktiviti fizikal dan melakukan senaman sepanjang Ramadan bukanlah mudah – lebih-lebih lagi apabila seseorang itu berpuasa dan tidak makan dan minum. Menurut tinjauan pendapat yang dijalankan oleh BMC Public Health, 50% umat Islam yang berpuasa bersetuju bahawa aktiviti fizikal mereka menurun dengan ketara sepanjang empat minggu Ramadan.
Tetapi dengan langkah-langkah yang betul, ianya tidak mustahil untuk memasukkan senaman ke dalam jadual anda, dalam masa yang sama berhati-hati untuk tidak membebankan badan anda. Mereka yang berpuasa boleh menggunakan aplikasi mudah alih seperti Muslim Pro bukan sahaja untuk memantau solat dan waktu berpuasa, tetapi juga mengakses kandungan gaya hidup yang relevan seperti rutin senaman dan resipi Ramadan.
Kami bercakap dengan usahawan kecergasan, Nawal Alhaddad, tentang cara memasukkan senaman ke dalam rutin Ramadan anda. Selain itu, pembaca boleh melihat siri senaman mesra Ramadan di aplikasi Muslim Pro!
1. Mulakan dengan perlahan dan tenang
Bagi sesiapa sahaja yang berminat dengan aktiviti senaman, matlamat yang biasa kita dengar adalah untuk ‘melakukan senaman dengan lebih gigih’; berlari satu pusingan lagi, angkat yang lebih berat, atau bersenam selama 30 minit lagi.
Walaupun badan anda secara amnya mampu mengekalkan aktiviti seperti senaman, namun pada bulan Ramadan (terutamanya minggu pertama), anda harus mengurangkan intensiti senaman anda dan hanya melakukan senaman yang ringan selama satu atau dua minggu untuk membolehkan badan anda beradaptasi dengan rutin puasa. Ini boleh dilaksanakan melalui pengurangan jumlah hari bersenam, menggunakan pemberat yang agak ringan atau senaman yang lebih pendek. Menyesuaikan badan anda ke dalam rutin barunya akan menjadikan senaman harian satu kebiasaan pada bulan Ramadan.
2. Pilih masa anda
Pada bulan Ramadan, masa senaman anda mungkin memerlukan beberapa pengubahsuaian, terutamanya sekitar tempoh berpuasa dan ketika berbuka puasa. Nawal berkata masa kegemaran peribadinya untuk bersenam pada bulan Ramadan adalah pada waktu petang – kira-kira sejam sebelum berbuka puasa – jadi anda tidak perlu menunggu terlalu lama sebelum makan. Selain itu, senaman adalah cara terbaik untuk meningkatkan selera makan!
Jika anda tidak mampu bersenam dengan perut yang kosong, pertimbangkan untuk bersenam pada waktu malam selepas anda berbuka puasa. Sebagai alternatif, jika anda sering bangun pada awal pagi, cuba bersenam sebelum atau selepas sahur – ia akan menjadi cara yang baik untuk membuatkan anda rasa lebih bertenaga dan bersemangat untuk memulakan hari anda!
3. Diet yang sihat
Semasa Ramadan kita dikelilingi dengan bermacam-macam makanan yang lazat – walaupun sudah tentu anda dapat menikmatinya, ia juga penting untuk mengamalkan kesederhanaan dan memastikan anda mendapat nutrien yang diperlukan oleh badan.
Sekiranya anda ingin bersenam sepanjang Ramadan, anda harus mengutamakan makanan yang kaya dengan protein untuk membantu tubuh anda pulih dari aktiviti fizikal dan juga puasa anda. Walaupun ayam dan daging lembu sering menjadi pilihan apabila kita bercakap tentang sumber protein, namun kita juga boleh mempertimbangkan pelbagai jenis ikan seperti tuna atau salmon, serta tumbuh-tumbuhan seperti kacang hitam dan lentil. Elakkan makanan berminyak juga akan membantu anda untuk tidak berasa lesu ketika berpuasa; sebaliknya, ambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat untuk memastikan anda kenyang dan bertenaga. Betik, bayam, dan kubis bunga antara beberapa makanan yang menjadi pilihan dalam senarai teratas kami!
4. Cuba gaya senaman baru
Aktiviti dan senaman intensiti tinggi mungkin tidak dapat dilakukan pada bulan Ramadan, bergantung pada tahap tenaga anda. Sama ada bermain bola sepak dengan rakan-rakan atau memaksimumkan pemberat anda setiap minggu di gim, perkara-perkara ini boleh menjadi sukar apabila anda berpuasa.
Ramadan adalah peluang yang ideal untuk bereksperimen dengan sesuatu yang baru yang membolehkan badan dan otot anda terus bergerak, walaupun pada kadar yang lebih perlahan. Yoga adalah amalan yang sangat baik untuk meningkatkan kekuatan otot dalam masa yang sama anda juga akan berasa lebih relaks. Berbasikal dan berenang juga adalah dua latihan berimpak rendah yang boleh anda lakukan pada kelajuan anda sendiri.
5. Fahami badan anda
Akhir sekali, badan anda akan memberitahu anda apa yang anda perlukan – yang perlu anda lakukan ialah berhenti dan fahaminya. Walaupun senaman akan membawa kepada kesihatan keseluruhan yang lebih baik, penting untuk anda fahami bahawa badan anda memerlukan masa untuk beradaptasi dengan situasi baru.
Jangan risau jika anda tidak berada di tahap kecergasan terbaik anda pada bulan Ramadan ini. Terdapat banyak kaedah lain untuk kekal cergas tanpa melebihi keupayaan badan anda. Adalah penting bahawa anda menghormati badan dan menjaganya dengan baik dan sepatutnya sepanjang bulan Suci ini.
Usahawan Kecergasan