Program Rintis Sandbox Digital IOT Bakal Meningkat Keupayaan Pembangunan Teknologi Belia Sabah 

Program Rintis pertama di Malaysia Timur akan memacu pembangunan ekosistem IoT untuk merancakkan ekonomi inovasi negeri

Kota Kinabalu, 1 Mac 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melancarkan Program Rintis Sandbox Digital IoT (Sandbox IoT) yang pertama di Malaysia Timur. 

Program ini bertujuan untuk merancakkan pembangunan inovasi bagi membentuk ekonomi negeri Sabah serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Melalui Sandbox IOT ini, dijangka akan menggalakkan pembabitan belia untuk menguji produk/teknologi baharu yang dapat memacu ekonomi negeri, meningkatkan produktiviti sektor awam dan swasta serta secara tidak langsung dapat menggalakkan pembudayaan STI selain daripada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. 

“Pelancaran Digital IoT Sandbox ini merupakan sebahagian daripada pengisian program Flagship di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya untuk menggalakkan pembudayaan STI di kalangan masyarakat di Sabah. Digital IoT Sandbox akan menjadi platform kepada inovator dan usahawan digital menghasilkan produk dan seterusnya menguji kebolehlaksanaannya produk tersebut,” kata Datuk Haji Yakub Khan. 

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, “Sandbox IoT ini dijangka akan mengubah kehidupan rakyat Sabah melalui penggunaan dan pembangunan teknologi. Ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem Internet Benda (IoT) dan secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi inovasi negeri Sabah. 

Beliau turut berkata usaha pendigitalan akan memanfaatkan, antaranya, sektor-sektor perkhidmatan, pertanian, perlombongan dan pelancongan. Percambahan aplikasi IoT dalam perindustrian di negeri Sabah dijangka akan menyumbang RM9.8 bilion kepada pendapatan negara kasar pada 2025. Sandbox IoT bakal bertindak sebagai pusat bersepadu untuk penyelesaian berasaskan IoT, yang dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan sokongan seperti ujian kebolehoperasian dan pembangunan produk dan perkhidmatan IoT. 

Antara impak awal yang disasarkan Sandbox IoT ini adalah pembangunan 20 proof-of-concept melalui pelaksanaan 50 program pembangunan kapasiti yang melibatkan masyarakat setempat. 

Penggunaan aplikasi IoT adalah selaras dengan inisiatif kerajaan pusat untuk menerimapakai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam pelbagai sektor utama di seluruh negara. “Melalui IoT, syarikat-syarikat boleh mengautomasikan proses operasi dan ini secara langsung akan mengurangkan kos buruh. Ia juga mengurangkan pembaziran dan menambahbaik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan daya saing dengan menurunkan kos pembuatan barangan, serta meningkatkan ketelusan dengan pelanggan,” katanya. 

Tambah beliau, Sandbox IoT ini adalah sebahagian daripada inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) di bawah MOSTI. 

Teks ucapan YBM MOSTI di bacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan semasa merasmikan Majlis pelancaran Sandbox IoT bersama YB Datuk Haji Yakub Khan, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Sabah.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara KSTI dengan Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah dan KSTI dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI). 

Kerjasama di antara MRANTI dan KSTI akan bertumpu kepada sokongan pengkomersilan kepada pengamal teknologi tempatan, dan seterusnya menjana peluang ekonomi baharu untuk rakyat Sabah dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

© 2023 BlackButterfly DesignArts