You are currently viewing Program MY5G-Ericsson Educate kini sebahagian daripada MDEC Let’s Learn Digital

Program MY5G-Ericsson Educate kini sebahagian daripada MDEC Let’s Learn Digital

  • Post category:Teknologi

Program dalam talian berasaskan 5G dan teknologi berkaitan sedia untuk tenaga kerja dan para pelajar tanpa bayaran

Kuala Lumpur, 16 November 2022 – Ericsson (NASDAQ: ERIC) hari ini mengumumkan penyertaan program dalam talian MY5G-Ericsson Educate sebagai sebahagian daripada program Let’s Learn Digital yang disediakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Program yang ditawarkan secara percuma ini bertujuan untuk memperkenalkan 5G dan telekomunikasi, serta teknologi berkaitan seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Automasi (Automation), Internet Pelbagai Benda (IoT) , dan pembelajaran mesin (machine learning) kepada tenaga kerja dan pelajar universiti pelbagai jurusan yang berminat di Malaysia. Peserta yang berjaya melengkapkan penilaian pada akhir kursus akan memperoleh lencana digital daripada Ericsson. Program ini dibangunkan oleh Ericsson dengan sokongan Digital Nasional Berhad (DNB), iaitu syarikat yang diberi mandat dalam pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G Malaysia.

Ericsson Logo

Inisiatif MY5G-Ericsson Educate ini akan menyokong dan menyumbang kepada ekonomi digital negara dan juga transformasi Industri 4.0. Di samping itu, para pelajar dan pensyarah akan mendapat akses kepada sumber pembelajaran digital berkualiti yang memanfaatkan pengalaman Ericsson selama 145 tahun dalam industri telekomunikasi dan ICT. Program ini juga merangkumi permainan interaktif yang pernah memenangi anugerah yang mengajar sejarah telekomunikasi dan boleh dipertingkatkan dengan penggunaan set kepala VR bagi pengalaman yang lebih imersif.

David Hägerbro, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh berkata, “Kami berbesar hati atas jalinan kerjasama strategik dengan DNB dan MDEC bagi membangunkan inisiatif unik ini di Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara. Penyertaan MY5G-Ericsson Educate dalam program Let’s Learn Digital akan menyediakan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk maju dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin pesat. Negara akan meneruskan pelaburan dalam pendigitalan dan inisiatif ini merupakan pelengkap kepada usaha kerajaan untuk membekalkan rakyat dengan pengetahuan dan kemahiran 5G agar mereka dapat memanfaatkan rangkaian 5G Malaysia sepenuhnya.”

David Hägerbro - Head of Ericsson Malaysia, Sri Lanka and Bangladesh
David Hägerbro – Head of Ericsson Malaysia, Sri Lanka and Bangladesh

Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC berkata, “Kami berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran Ericsson sebagai rakan kerjasama terbaharu dalam inisiatif Let’s Learn Digital. Sumbangan yang ditawarkan juga sejajar dengan strategi dan inisiatif kebangsaan di bawah Malaysia Digital (MD), dalam memudahkan pembangunan dan pemerkasaan semula kemahiran yang diterajui industri dalam kalangan tenaga kerja. Program MY5G-Ericsson Educate juga akan membantu memastikan bekalan tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan masa depan ekonomi digital.”

Para pekerja dan pelajar di peringkat pengajian tinggi atau universiti yang berminat digalakkan melayari laman web MDEC Let’s Learn Digital untuk mendaftar program MY5G-Ericsson Educate. Pendaftaran dibuka sehingga 31 Disember 2022.