PROGRAM AMAL IJM LAND DEEPAVALI CHARITY CHEER MENYINARI KOMUNITI SEREMBAN

Bantuan kewangan dan pakej muhibah membawa harapan dan kegembiraan kepada enam keluarga yang memerlukan

Seremban, 3 November 2023 Menjelang ketibaan Pesta Cahaya tahun ini, IJM Seremban 2 kembali dengan Program Deepavali Charity Cheer yang merupakan program khidmat masyarakat bagi penduduk di Seremban. Program amal ini bertujuan untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan pada musim perayaan supaya mereka dapat menyambut dan menikmati keriangan Deepavali bersama keluarga tersayang.

Program Deepavali Charity Cheer ini mencerminkan komitmen IJM Seremban 2 untuk kekal menjadi tonggak sokongan komuniti yang boleh dipercayai.  Sambutan Deepavali adalah masa untuk kegembiraan dan perpaduan sempena perayaan, dan dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan Masyarakat di Seremban, pemaju hartanah telah menghulurkan bantuan kepada enam keluarga yang memerlukan yang terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah  termasuk ahli komuniti yang bekerja dalam industri intensif buruh.

Encik Chai Kian Soon, Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad berkata bahawa inisiatif tahun ini tertumpu kepada usaha meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan supaya mereka dapat menikmati keriangan Deepavali.

“Kepercayaan kami terhadap kepentingan khidmat masyarakat diperkukuhkan lagi setelah menyaksikan kesabaran dan ketabahan keluarga yang menerima bantuan tahun ini. Usaha kami bukan setakat mengurangkan beban kewangan malah juga untuk mencetuskan harapan dan membangkitkan semangat mereka. Ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan terbesar bagi kami untuk berkhidmat sambil mendatangkan perubahan yang bermakna kepada komuniti di Seremban,” kata Encik Chai.

Setiap keluarga telah menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000 berserta pakej muhibah yang terdiri daripada barangan keperluan bernilai RM600, termasuk beras, minyak masak, tepung, biskut, dan banyak lagi. Antara penerima bantuan tahun ini ialah Puan Tilakawati Muthusamy, seorang ibu tunggal berusia 47 tahun yang mempunyai dua orang anak. Beliau terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai pencari nafkah tunggal setelah suaminya meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser tiroid. Untuk menyara keluarga, beliau kini bekerja sebagai tukang bersih di sebuah sekolah antarabangsa di Seremban, menunjukkan sikap ketabahan dan ketekunan beliau yang luar biasa untuk menyara keluarga.

PROGRAM AMAL IJM LAND DEEPAVALI CHARITY CHEER
MENYINARI KOMUNITI SEREMBAN
Puan Tilakawati Muthusamy (tengah) dan keluarga telah menerima bantuan daripada pasukan IJM Seremban 2 semasa program tahunan Deepavali Charity Cheer.

Penerima bantuan yang lain ialah Puan Ponnamah Arumugam yang berusia 73 tahun, seorang ibu tunggal kepada anak angkatnya, yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil akibat penyakit Parkinson. Selain itu, Puan Komala Tanjoh Maleh dan Yoga Kumar Retnasamy juga merupakan penerima bantuan Program IJM Land myHome tahun ini setelah mereka ditimpa musibah apabila rumah mereka terbakar akibat litar pintas. Berikutan kejadian malang itu, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah adik mereka sementara memperbaiki keadaan kewangan dan mencari jalan untuk membina semula rumah mereka.

PROGRAM AMAL IJM LAND DEEPAVALI CHARITY CHEER
MENYINARI KOMUNITI SEREMBAN
Pasukan IJM Seremban 2 memberi sumbangan kepada Puan Maheswary Tharmalingam dan keluarga dalam bentuk bantuan kewangan dan barangan keperluan sempena meraikan perayaan Deepavali.

Program amal ini juga telah membantu Puan Komathi Selvanathan, Puan Maheswary Tharmalingam dan Puan Lalitha Supramaniam, yang kesemuanya menghadapi cabaran kehidupan dan masalah kewangan yang sama.

“Di IJM Land, kami sedar dan peka akan kepentingan usaha untuk membangkitkan semangat mereka yang memerlukan sambil mendatangkan perubahan yang positif kepada komuniti. Program Deepavali Charity Cheer membuktikan komitmen kami untuk menyemarakkan semangat perayaan dan melahirkan kegembiraan kepada masyarakat. Kami percaya bahawa dengan menghulurkan bantuan, kami boleh mencipta kesan riak positif yang mampu memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan yang merupakan keutamaan bagi setiap sambutan perayaan,” kata Encik Chai.

Program Deepavali Charity Cheer telah diadakan setiap tahun sejak 2018 untuk manfaat komuniti, dan IJM Land berharap untuk meneruskan usaha ini dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kebajikan untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan pada masa yang akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif di atas, sila layari http://seremban2.ijmland.com/

© 2023 BlackButterfly DesignArts