Première Hotel Serah Bantuan Pasca-Banjir Sempena Tahun Baru Cina

Mengakhiri Musim Perayaan dengan Kebaikan

Klang, 16 Februari 2022 – Berikutan banjir besar di beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini, Première Hotel, perniagaan pelaburan dan pengurusan hartanah di bawah WCT Holdings Berhad (“Kumpulan WCT”) telah membantu mangsa banjir  yang terjejas teruk di Taman Maznah, Klang, dengan menyerahkan bekalan segar bagi meringankan beban mereka.

Selangor merupakan antara negeri yang mengalami banjir yang amat teruk di negara ini berikutan dengan hujan lebat berterusan dan telah  mengakibatkan ramai penduduk kehilangan rumah, barangan berharga serta persiapan perayaan mereka yang turut musnah dibawa arus. Keluarga-keluarga ini telah melalui situasi yang amat mencabar di mana mereka telah kehilangan hampir seluruh harta benda akibat banjir yang teruk.  Oleh itu, melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, Première Hotel berharap agar ia dapat meringankan bebanan dan kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat yang terjejas.

Christopher Chan, Pengurus Hotel Première berkata “Dalam keadaan yang amat sukar ini, di mana COVID-19 masih lagi berleluasa, kita haruslah sentiasa mengingati mereka yang telah mengalami kerugian dan kehilangan besar berikutan dengan banjir teruk yang melanda. Kami telah mengenal pasti beberapa keluarga yang terjejas di daerah Klang dan telah mengarahkan kakitangan kami untuk turun padang bagi membantu mengagihkan barang-barang keperluan kepada mangsa-mangsa tersebut. Ia amat menyayat hati apabila melihat kemusnahan sekeliling yang berlaku akibat banjir dan semestinya ia bukanlah suatu tugasan yang mudah untuk membersihkan kawasan tersebut. Pada masa ini, mereka amat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kita semua.”

Sebagai sebahagian daripada usaha Première Hotel dalam membantu mangsa banjir, barang-barang keperluan seperti bahan-bahan masakan, biskut, kopi, sup cendawan dan susu telah diberikan kepada keluarga-keluarga tersebut. Selain itu, sempena Tahun Baru Cina, setiap keluarga turut menerima ‘ang pow’ sebagai suatu tanda ucapan selamat dan kerahmatan sepertimana yang dipercayai dalam budaya masyarakat Cina.

Heng Yak Kit, bapa kepada tiga anak, yang rumahnya terjejas teruk dan juga merupakan pencari nafkah buat keluarganya berkata “ Ketika kita menyambut kedatangan tahun baru, orang ramai meraikan permulaan baru dan mengharapkan hari-hari mendatang yang lebih baik. Namun sebaliknya, kami menyambut kedatangan tahun baru dengan cara yang berbeza berikutan dengan peristiwa tidak diingini yang kami hadapi. Sudah pasti, saya berasa amat sedih melihat rumah serta harta benda kami yang telah musnah akibat banjir. Namun begitu, kami amat bersyukur melihat orang ramai mengambil berat melalui bantuan banjir yang diberikan kepada kami. Dengan keadaan kami pada ketika ini, kami amat menghargai bantuan tersebut kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami.”

Lambungan Kemakmuran, atau lebih dikenali sebagai Yee Sang, merupakan bahagian yang penting dalam perayaan Tahun Baru Cina kerana ia dipercayai dapat memberi tuah dan kekayaan. Bagi menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baru Cina, pihak Première Hotel telah menghantar set istimewa Yee Sang khas dari Restoran Royal Gourmet hotel kepada setiap keluarga untuk dinikmati bersama yang tersayang.

“Tahun ini, berikutan dengan kemusnahan akibat bencana banjir, perayaan Tahun Baru Cina kami tidaklah semeriah tahun-tahun yang lalu. Tahun ini tiada perjumpaan makan malam, hiasan tanglung atau bunga api buat kami. Meskipun tidak banyak yang tinggal bersama kami setelah kejadian banjir tempoh hari, namun kami amat bersyukur dengan kebaikan yang ditunjukkan masyarakat terhadap kami. Hadiah Yee Sang yang diberikan amatlah bermakna dan menggembirakan hati kami.” ujar Twe Kai Huat salah seorang daripada mangsa banjir di Taman Maznah, Klang.

Première Hotel menggalakkan aktiviti kesukarelawan yang didorong oleh pekerja atau kakitangan dan dengan kelonggaran sekatan baru-baru ini berikutan dengan pandemik, pihak hotel berharap untuk melaksanakan lebih banyak program komuniti di lapangan pada masa akan datang sambil mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Melangkah ke hadapan, kewujudan Première Hotel akan kekal relevan dan akan sentiasa menyokong keperluan komuniti kerana Première Hotel akan terus terlibat secara aktif dalam inisiatif filantropi sebagai usaha untuk menyumbang kepada komuniti.

Première Hotel Serah Bantuan Pasca-Banjir Sempena Tahun Baru Cina – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts