Pos Malaysia Perkukuh Langkah Anti-Penipuan Melalui Kerjasama dengan PDRM

Pos Malaysia Perkukuh Langkah Anti-Penipuan Melalui Kerjasama dengan PDRM

Kuala Lumpur, 7 Februari 2024 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Kumpulan”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, telah memperkukuhkan komitmennya untuk memerangi ‘penipuan’ (scam) dengan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak. Dalam inisiatif terkini, Pos Malaysia mengadakan sesi kesedaran anti-penipuan untuk pekerja barisan hadapan dan pelanggannya di Pejabat Pos Besar di Ipoh. Sesi yang dikendalikan oleh JSJK PDRM Perak itu bertujuan untuk melengkapi semua pihak dengan pengetahuan terkini mengenai taktik penipuan yang menyalahgunakan jenama Pos Malaysia yang sangat dipercayai.

Pendekatan proaktif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Pos Malaysia untuk menangani lambakan kes penipuan, di mana terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam kes penipuan yang menyamar sebagai wakil Pos Malaysia. Kerjasama strategik dengan PDRM adalah sebahagian daripada kempen anti-penipuan yang akan dilakukan di seluruh negara, dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran awam tentang taktik penipuan yang melibatkan syarikat logistik, terutamanya Pos Malaysia.

Pos Malaysia, dengan kerjasama PDRM, akan memulakan kempen pelopor pada bulan Mac, yang didedikasikan untuk meningkatkan kesedaran melalui aktiviti penglibatan di kawasan perumahan, kampung dan daerah perniagaan di Perak. Inisiatif strategik ini menandakan permulaan kerjasama di seluruh negara, dengan rancangan untuk perluasan ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat. Kempen ini akan merangkumi pengedaran risalah maklumat (admail), penempatan sepanduk dan poster di pejabat pos, dan pengeluaran video pendidikan di media sosial. Inisiatif ini akan dilanjutkan ke seluruh negara tahun ini untuk memperluaskan jangkauan usaha kesedaran ke negeri-negeri lain.

DSP Suresh Kumar A/L Muniandy dari JSJK Perak telah berkongsi dengan kakitangan Pos Malaysia pengetahuan berharga tentang mengenal pasti panggilan, e-mel, teks dan siaran media sosial yang mencurigakan. Dilengkapi dengan pengetahuan ini, para kakitangan Pos Malaysia diperkasakan untuk menasihati pelanggan dan menyalurkan kesedaran ke rangkaian mereka sendiri, menyumbang kepada usaha kolektif memerangi penipuan pembungkusan.

Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia menekankan pentingnya kewaspadaan orang ramai, dengan menyatakan, “Pos Malaysia mendesak orang ramai untuk mengesahkan apa-apa permintaan pembayaran dengan menghubungi khidmat pelanggan kami di 1300-300-300 secara langsung, atau melawat laman web kami www.pos.com.my. Kerjasama kami dengan PDRM menandakan komitmen kami untuk mendidik kakitangan dan orang ramai tentang mengenal pasti dan mengelakkan penipuan pembungkusan.”

“Di Pos Malaysia, kami bersemangat untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang. Ia kekal menjadi tanggungjawab kami sebagai institusi negara yang dipercayai untuk melindungi pelanggan kami daripada penipuan, dan memperkukuhkan dedikasi kami terhadap integriti, ketelusan dan kebolehpercayaan,” tambahnya.

Menekankan taktik yang digunakan oleh penipu, DSP Suresh Kumar berkata, “Penipu kini semakin maju dengan aliran zaman, menggunakan taktik seperti menghantar pesanan teks palsu kononnya daripada Pos Malaysia, meminta yuran tambahan atau maklumat peribadi untuk penghantaran pembungkusan. Melalui kerjasama yang diperkukuh antara PDRM dan Pos Malaysia, kami berikrar untuk membendung peningkatan kes penipuan secara berkesan. Orang ramai perlu kekal waspada dan dengan segera melaporkan sebarang panggilan atau pesanan teks yang mencurigakan kepada PDRM.”

Individu yang menghadapi cubaan penipuan digalakkan untuk menghubungi talian Pusat Tindakan Penipuan Negara (National Scam Response Centre) di 997 atau membuat laporan di balai polis berdekatan.

© 2023 BlackButterfly DesignArts